Setiap ropol dan flounces pada busana ini diinspirasikan daripada gyri serta neuron otak.
Kreativiti Nursyifa Sofea Shah Rizal berjaya menghasilkan ilusi kedalaman, pergerakan dan tekstur beralun menyerupai struktur paling kompleks dalam tubuh manusia.
Walaupun tiada pengalaman menjahit atau fesyen tetapi bukan halangan buat pereka muda berusia 24 tahun ini untuk menterjemahkan koleksi bertajuk Cerebral Architecture.
Kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, keunikan koleksinya terletak pada penggunaan lipatan, lapisan dan flounces yang intensif.
Ia sekali gus menghasilkan visual kompleks tetapi masih mengekalkan siluet tersusun dan berstruktur.
Malah, gabungan elemen organik dan seni bina menjadikan koleksi tersebut tampil berani dan berkonsep.
“Inspirasi diperoleh melalui kajian anatomi otak manusia, khususnya bentuk gyri yang kompleks tetapi berfungsi secara sistematik.

“Bentuk itu kemudian diterjemahkan ke dalam rekaan fesyen sebagai simbol pemikiran manusia yang berlapis, tersusun dan dinamik,” katanya selepas Pertunjukan Fesyen UiTM 2026 baru-baru ini.
Siap dalam tiga bulan
Koleksi rona merah ini menampilkan potongan berstruktur dengan perincian ropol, flounces, lipatan berulang dan pembinaan bentuk berskala besar.
Tempoh tiga bulan diambilnya untuk menyiapkan keseluruhan tiga helai busana tersebut.
Antara cabaran utama yang dihadapi ialah untuk menghasilkan lipatan yang konsisten dan kemas.
Selain itu, Nursyifa Sofea perlu memastikan pembinaan struktur kekal stabil walaupun menggunakan elemen berlapis dan dramatik dalam tempoh masa yang terhad.
Biarpun tidak memenangi sebarang anugerah dalam pertunjukan fesyen itu, koleksi Cerebral Architecture tetap meraih perhatian umum apabila video mengenainya mencapai lebih dua juta tontonan di platform TikTok.
“Saya datang daripada latar belakang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam jurusan perniagaan.
“Di sebalik cabaran dan kekangan pengalaman, saya berjaya menyiapkan koleksi ini hasil usaha konsisten, ketekunan serta semangat tidak mudah berputus asa,” katanya.










