POLIGAMI sering dibicarakan dari sudut hukum, syariat dan soal keadilan. Namun, jarang ia dilihat daripada sisi paling sunyi dan rapuh iaitu perjalanan emosi seorang isteri.
Hakikatnya, di sebalik lafaz akad yang sah dan perbincangan tentang halal serta wajib, tersembunyi gelora perasaan yang tidak semua mampu memahami.
Perasaan ini sering dipendam sendiri, disimpan jauh di sudut hati dan perlahan-lahan memakan jiwa jika tidak diberi ruang untuk difahami dan disembuhkan.
Menurut penceramah wakil Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (HARMONI), Rohaya Abdullah, bagi wanita yang sudah melalui lebih dua dekad alam perkahwinan, menerima hakikat suami berkahwin lagi bukanlah satu perkara kecil.

Walaupun perkahwinan itu sah di sisi syariat dan undang-undang, emosi seperti terkejut, marah, sedih, cemburu dan kecewa adalah reaksi awal yang sangat normal.
Emosi ini bukan tanda iman yang lemah, sebaliknya bukti hati seorang isteri itu masih hidup dan mampu merasa.
Apabila suami menyatakan hasrat atau membuat keputusan untuk berpoligami, hentakan emosi pertama selalunya sukar dikawal.
Hati seorang isteri diburu pelbagai persoalan terutamanya mengenai tentang kekurangan diri, pengorbanan yang telah dicurahkan, serta nilai dirinya dalam perkahwinan yang dibina bertahun-tahun.

Harmoni di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam.
Justeru, katanya, dalam usaha membina poligami yang harmoni, peranan suami sangat besar dan tidak boleh dipandang ringan. Suami tidak seharusnya menghukum, memarahi atau meremehkan emosi isteri pertama.
Malah, isteri juga tidak wajar dipaksa untuk segera reda kerana reda bukan satu arahan, tetapi sebuah proses yang memerlukan masa, kesabaran dan empati.
“Penerimaan sebenar jarang hadir dengan segera. Ada isteri yang mengambil masa bertahun-tahun untuk benar-benar memahami hikmah di sebalik takdir ini.
“Namun, apabila seorang isteri mula meletakkan Tuhan di tengah-tengah ujiannya, perspektif itu perlahan-lahan akan berubah.
“Perlu difahami, poligami bukan bermaksud kehilangan suami, sebaliknya penambahan ahli keluarga dan perluasan silaturahim,” jelasnya ketika ditemui selepas penganjuran Bengkel Poligami Harmoni di Yayasan Restu, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, baru-baru ini.
Perjalanan ini juga mengajar seorang isteri untuk belajar berhenti seketika sebelum membuat keputusan.
“Rasa ingin marah, menjerit, meminta cerai atau menyalahkan semua pihak adalah perasaan yang sangat manusiawi.
“Namun, apabila kita berhenti sejenak, menarik nafas dan menyerahkan emosi kepada Tuhan, sering kali terbuka jalan penyembuhan yang tidak disangka,” katanya.
Dalam proses penyembuhan itu, memaafkan menjadi satu langkah yang sangat besar. Namun, memaafkan bukan bermaksud melupakan luka atau menafikan kesakitan. Ia sebenarnya adalah hadiah paling berharga untuk diri sendiri.
Apabila seorang isteri memilih untuk memaafkan, dia sedang membebaskan hatinya daripada belenggu dendam dan kepahitan. Dari situlah hubungan perlahan-lahan mula sembuh, rumah kembali tenang, anak-anak lebih bahagia dan kehidupan kembali bernafas.
Rohaya berkata, poligami yang harmoni hanya boleh dibina dengan kesabaran, empati dan keberanian emosi.
LUKA, REDA ISTERI PERTAMA
Menurut perkongsian seorang daripada peserta bengkel itu, Hidayah Abdullah, poligami berlaku dalam perkahwinannya pada 2017, namun dia hanya mengetahui perkara tersebut dua tahun kemudian, iaitu pada 2019.

Katanya, jarak masa itu bukan sekadar angka, tetapi tempoh yang cukup panjang untuk membuatkan hati seorang isteri runtuh berkali-kali.
“Sebagai seorang perempuan, apabila tiba-tiba mengetahui suami sudah berkahwin lain, dunia terasa sempit. Soalan demi soalan datang tanpa jawapan, tanpa mampu difahami,” katanya.
Walaupun hakikat itu pahit, Hidayah memilih tidak membiarkan dirinya tenggelam terlalu lama dalam kesedihan.
Dalam tempoh 10 bulan selepas mengetahui perkara tersebut, dia memaksa diri untuk bangkit, bukan kerana sudah reda, tetapi kerana sedar anak-anak dan kewarasan diri sendiri perlu diselamatkan.
Hidayah mengakui, pada awalnya dia bukanlah penyokong poligami. Malah, seperti ramai wanita lain, dia pernah berada dalam kelompok yang menolak poligami sepenuhnya.
Namun, dalam masa yang sama, dia belajar memahami pernikahan itu sendiri bukan satu dosa, walaupun prosesnya menyakitkan.
PERTEMUAN PERTAMA DENGAN MADU
Detik paling mencabar bagi Hidayah adalah apabila dia membuat keputusan untuk bertemu dengan madu, bersama anak-anak. Keputusan itu bukan kerana terpaksa, tetapi kerana dia mahu berdepan realiti demi penyembuhan hatinya.
“Dengan penuh tawakal, saya memulakan pertemuan itu dengan doa. Saya berdoa agar diberi satu harapan, dan pada masa yang sama, lidah serta hati ini dijaga agar tidak melukakan sesiapa,” katanya.
Pertemuan itu berlangsung tanpa drama. Mereka sekadar duduk dan makan bersama, sementara anak-anak diperkenalkan dengan penuh hikmah dan tertib.
Namun, dalam kesederhanaan itu, tercetus satu momen kecil yang mengubah keseluruhan perspektif Hidayah terhadap situasi yang dihadapi.
HATI ‘CAIR’ LIHAT ANAK MADU
Ketika makan bersama, Hidayah melihat suaminya melayani seorang anak kecil iaitu anak kepada isteri kedua hasil perkahwinan terdahulu.
Dia menyaksikan sendiri bagaimana suaminya menyuap dan melayan anak itu dengan penuh kasih sayang.
“Dalam detik itu, hati saya yang selama ini terluka tersentuh dengan satu kefahaman besar. Saya tidak rasa cemburu. Sebaliknya, saya melihat hikmah syariah itu. Anak itu tidak bersalah dan dia berhak mendapat kasih sayang seorang ayah,” katanya.
Buat pertama kali, Hidayah melihat poligami bukan dari sudut kehilangan, tetapi dari sudut khidmat dan tanggungjawab.
Dia tidak menafikan segalanya masih sukar selepas itu. Luka tidak sembuh dalam sehari, tetapi sepanjang proses penyembuhan tersebut, dia mempelajari satu hikmah yang paling besar.
“Selagi kita tidak mampu mendoakan kebaikan untuk madu, selagi itulah hati kita belum benar-benar sembuh.
“Doa itu bukan semata-mata untuk orang lain, tetapi untuk membebaskan diri sendiri daripada belenggu marah dan dendam.
“Apabila doa kebaikan mula terlafaz, hati juga mula lapang, sedikit demi sedikit,” ujarnya.










