Kuasai tujuh bahasa jadi jambatan dunia buat Saidah

Kuasai tujuh bahasa jadi jambatan dunia buat Saidah

Sejak di bangku sekolah, Saidah sudah dikelilingi rakan-rakan dari pelbagai negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI wanita yang membesar dalam kepelbagaian budaya, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya jambatan yang menghubungkan manusia, emosi dan dunia yang berbeza.

Dibesarkan di Switzerland sejak kecil, Nursaidah Salim, 27, tidak pernah asing dengan perbezaan.

Anak kepada ibu berbangsa Cina dan bapa berbangsa Melayu ini dibesarkan dalam kehidupan seharian yang penuh dengan kepelbagaian kaum, kepercayaan dan cara hidup.

Sejak di bangku sekolah, Saidah sudah dikelilingi rakan-rakan dari pelbagai negara termasuk Russia, Itali, Vietnam, Sri Lanka, Tibet, Bosnia, Serbia dan Albania.

Persekitaran itulah yang secara tidak langsung menanam minatnya terhadap bahasa dan budaya asing.

“Saya belajar bahasa kerana saya mahu lebih dekat dengan kawan-kawan saya. Saya mahu faham cara mereka berfikir, bergurau dan mengekspresikan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, di sebalik kehidupan kosmopolitan di Switzerland, ibu bapanya tidak pernah membiarkan Saidah terputus daripada akar jati diri.

Bapanya, meskipun dikenali sebagai seorang yang ceria dan menghiburkan, sangat tegas dalam soal adab, sopan santun dan bahasa Melayu.

Di rumah, Saidah dan adik-beradik diwajibkan bertutur dalam bahasa Melayu, manakala bahasa lain hanya digunakan di luar.

“Papa selalu pesan supaya kami tidak lupa asal usul walau di mana pun kami berada,” katanya.

BAHASA DAN IDENTITI

Bahasa Inggeris merupakan bahasa pertama yang diperkenalkan kepadanya, namun bahasa pertuturan yang benar-benar membentuk dirinya ialah Swiss-Jerman atau Schwiizerdütsch.

Pada usia empat tahun, Saidah mula belajar bahasa Jerman di tadika, satu pengalaman yang disifatkannya sebagai sangat mencabar.

Dia mengakui pernah berasa terasing dan kecewa kerana sukar menyesuaikan diri dengan bahasa baharu itu.

Namun, satu kenangan bersama gurunya, Frau Frei, menjadi titik perubahan dalam hidupnya.

“Perkataan Jerman pertama yang saya pelajari ialah ‘Wolke’ (awan). Ia menjadi simbol permulaan perjalanan bahasa saya,” katanya.

Seiring masa, Saidah turut menguasai bahasa Itali hasil pergaulan rapat dengan rakan-rakan, selain bahasa Perancis yang dipelajarinya di sekolah sebagai bahasa kedua wajib.

Walaupun menguasai pelbagai bahasa selain Melayu dan Inggeris, termasuk Jerman (Hochdeutsch), Swiss-Jerman, Perancis, Itali dan Mandarin.

Baginya, menguasai pelbagai bahasa terjadi secara semula jadi, bukan kerana hasrat menjadi poliglot.

CABARAN

Namun, kehidupan Saidah berubah sepenuhnya apabila keluarganya berpindah ke Malaysia ketika usia remajanya.

Peralihan itu disifatkannya sebagai cabaran paling besar dalam hidup.

Dia yang kini bekerja sebagai tutor bahasa terpaksa memulakan segalanya dari awal, termasuk menyesuaikan diri dengan budaya, bahasa dan mentaliti yang sangat berbeza.

“Saya kehilangan kawan, rasa seperti orang asing di tanah sendiri dan sering disalah faham,” katanya.

Saidah turut berdepan pengalaman dibuli kerana kelainannya, menyebabkan dia berpindah ke empat buah sekolah berbeza.

Walaupun sukar, proses penyesuaian berterusan akhirnya membentuk dirinya menjadi lebih kuat dan matang.

SETIAP BAHASA, SATU WATAK

Menariknya, Saidah percaya setiap bahasa yang dituturkannya membawa keluar sisi dirinya yang berbeza.

“Swiss-Jerman buat saya ceria. Itali buat saya romantik dan lantang. Jerman buat saya serius. Bahasa Melayu pula buat saya lebih puitis dan lembut,” katanya.

Bagi Saidah, bahasa bukan sekadar bunyi dan tatabahasa, tetapi cerminan budaya, emosi dan keperibadian.

Kini, keupayaan bertutur dalam pelbagai bahasa menjadi kelebihan besar dalam kerjaya dan kehidupan sosialnya.

“Saya suka bila orang rasa ‘di rumah’ apabila saya bercakap dalam bahasa mereka,” katanya.

MISI TANPA PENGHUJUNG

Walaupun menerima pujian dan kekaguman, Saidah mengakui tidak semua pihak selesa dengan kelebihannya.

Namun, dia memilih untuk terus berkongsi dan memberi inspirasi, terutama kepada generasi muda.

Baginya, menguasai bahasa bukan sekadar fasih bertutur, tetapi menghormati budaya, adab dan cara hidup sesuatu masyarakat.

“Saya akan merendahkan diri sepenuhnya apabila belajar bahasa baharu. Saya mahu benar-benar faham mereka,” katanya.

Saidah menyimpan impian untuk terus mempelajari bahasa sehingga ke akhir hayat.

“Apabila kita tahu lebih banyak, kita sedar sebenarnya kita tahu sangat sedikit. Dunia ini terlalu besar untuk tidak diterokai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN