TREND berbelanja besar untuk produk penjagaan kulit semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan wanita, sehingga meja solek dipenuhi pelbagai produk berjenama.
Namun, meskipun rutin penjagaan diamalkan secara konsisten, wajah masih kelihatan kusam dan tidak bermaya.
Antara puncanya ialah pengaruh media sosial apabila ramai mudah terpedaya dengan produk tular yang dipromosikan pempengaruh.
Hakikatnya, produk mahal atau popular tidak semestinya sesuai untuk semua jenis kulit.
Pakar dermatologi, Dr. Wan Syameen Afira Wan Ahmad Kamal berkata, keberkesanan produk penjagaan kulit tidak bergantung kepada harga semata-mata, sebaliknya ditentukan oleh kandungan bahan aktif serta kualiti formulasi.

“Kulit yang sihat bukan diukur berdasarkan tona cerah atau gelap, tetapi pada tahap kesihatan kulit itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, dari sudut perubatan, kulit yang sihat memiliki tekstur yang licin, kelihatan tegang dan anjal serta mempunyai tahap kelembapan yang seimbang tanpa penghasilan minyak berlebihan.
Warna kulit juga kelihatan sekata dan bebas daripada masalah pigmentasi, iritasi, keradangan, kemerahan atau sensitiviti melampau.
Katanya, faktor utama yang menentukan keberkesanan produk ialah bahan aktif dan formulasi, bukannya tanda harga semata-mata.
TIDAK JAMIN HASIL TERBAIK
Dr. Wan Syameen berkata, harga sesuatu produk boleh menjadi tinggi disebabkan faktor penjenamaan, pemasaran, strategi promosi dan pengaruh trend semasa, bukannya kerana perbezaan ketara dari segi kualiti bahan.
“Ada produk pada harga sederhana yang mempunyai kandungan dan kualiti hampir setara dengan produk berjenama mahal,” katanya.
Namun, beliau tidak menafikan terdapat sesetengah bahan yang memang mahal kerana melibatkan penyelidikan saintifik, teknologi serta perlindungan paten.
Bahan yang masih dalam tempoh paten lazimnya lebih tinggi harganya dan hanya menjadi lebih mampu milik selepas paten tersebut tamat.
Produk yang terlalu murah juga boleh menimbulkan persoalan tentang tahap kualitinya.
Justeru, pengguna perlu memahami bahan aktif yang digunakan serta mengenali jenis kulit sendiri kerana tidak semua produk sesuai untuk setiap individu.
RUTIN LENGKAP, KULIT MASIH KUSAM
Kulit yang kelihatan kusam walaupun rutin penjagaan sudah lengkap sering berpunca daripada keadaan kulit sebenarnya tidak sihat.
Masalah seperti radang kulit atau ekzema boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan kurang lembapan, sekali gus kelihatan tidak berseri.
Penggunaan produk yang tidak sesuai, pengambilan retinol secara berlebihan atau amalan pengelupasan kulit (exfoliation) yang terlalu kerap boleh merosakkan lapisan perlindungan kulit.
Keadaan ini menyebabkan kulit menjadi merah, mudah sensitif dan tampak kusam.
Masalah dehidrasi, pigmentasi seperti jeragat, jerawat serta kesan penuaan pramatang akibat pendedahan kepada cahaya matahari turut menyumbang kepada penampilan kulit yang tidak sihat.
“Kesemua faktor ini boleh menyebabkan kulit kelihatan kurang berseri walaupun produk yang digunakan dianggap berkualiti,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan kulit merupakan organ badan seperti organ lain, justeru kesihatannya tidak boleh bergantung kepada rawatan luaran semata-mata.
Tekanan fizikal dan emosi, kurang tidur serta perubahan hormon boleh memberi kesan ketara kepada keadaan kulit.
Dari sudut pemakanan pula, kajian menunjukkan diet yang kurang diproses dan rendah gula lebih baik untuk kesihatan kulit kerana makanan yang mencetuskan keradangan boleh mempercepatkan proses penuaan.
Penyakit dalaman seperti masalah buah pinggang, tiroid atau jantung juga berpotensi mempengaruhi penampilan kulit sehingga kelihatan kusam.
PILIH PRODUK DENGAN BIJAK
Menurut Dr. Wan Syameen, kefahaman tentang penjagaan kulit memainkan peranan penting supaya penggunaan produk benar-benar mendatangkan hasil.
Langkah awal ialah mengenal pasti jenis kulit sendiri sama ada sensitif, kering, berminyak atau mudah berjerawat kerana faktor genetik memainkan peranan penting.
Secara asasnya, rutin penjagaan kulit boleh diringkaskan kepada tiga langkah utama iaitu pembersihan, pelembapan dan perlindungan daripada sinaran matahari.
Pencuci muka yang digunakan tidak perlu terlalu keras atau bersifat pengelupasan agresif, sebaliknya memadai dengan produk yang lembut.
Katanya, setiap produk yang digunakan akan diberikan tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu untuk melihat keberkesanannya.










