Kebanyakan restoran di negara ini lazimnya menyediakan bufet berbuka puasa dengan pilihan menu moden atau hidangan tradisi yang biasa ditemui.
Berbeza pula di Grandmama’s Pavilion Damansara Heights, yang memperkenalkan tema bufet Ramadan Sajian Nenda, sebuah penghormatan kepada resipi klasik rumah Malaysia yang diwarisi turun-temurun.
Ketua Chef Masakan Melayu di Grandmama’s, Chef Raja Kamaroszaman berkata, Sajian Nenda diinspirasikan daripada masakan nenek yang merupakan satu perayaan warisan, budaya dan kebersamaan.
“Matlamat kami adalah untuk mencipta pengalaman makan yang bukan sahaja memuaskan selera, tetapi juga mendalami penghargaan terhadap akar kulinari Malaysia.
“Setiap hidangan direka untuk mengimbau sambil menampilkan citarasa tempatan yang autentik,” katanya
Antara juadah kegemaran yang ditampilkan ialah kambing golek, daging salai wagyu, masak lemak cili api, mi kari udang galah, serta pencuci mulut tradisional melayu.
Menariknya, Grandmama’s menawarkan hidangan klasik yang menyenangkan dan kegemaran warisan yang disediakan menggunakan bahan segar dan pes buatan sendiri dari dapur pusat yang disahkan halal.
Bufet ini tersedia dari 23 Februari hingga 17 Mac, dengan harga RM89++ seorang, manakala warga emas dan kanak-kanak menikmati kadar istimewa RM59++. Terdapat juga promosi Buy 4, Get 1 Free untuk tempoh 23 hingga 27 Februari.
Selain bufet terbuka di Pavilion Damansara Heights, pelanggan korporat dan berkumpulan boleh menempah di Pavilion Arena bagi pengalaman berbuka puasa yang eksklusif.
“Objektif utama Sajian Nenda bukan sahaja memuaskan selera tetapi juga mendidik orang ramai tentang kekayaan warisan kulinari Malaysia dan mengeratkan ikatan keluarga serta komuniti,” katanya.










