TIADA yang lebih membuka selera selepas seharian berpuasa berbanding lauk-pauk kampung.
Juadah seperti gulai daging kawah nangka muda diiringi menu seperti kambing golek bakar, mi goreng kawah dan ayam percik akan memberikan rasa puas bukan sahaja kepada mereka yang berpuasa tetapi sesiapa sahaja yang berkunjung ke restoran 10Binjai, Perdana Kuala Lumpur City Centre (Perdana KLCC).
Menurut Pengurus Besar hotel tersebut, Zakaria Ismail, fokus utama bufet ini adalah untuk mengembalikan keaslian rasa masakan tradisi dalam suasana yang selesa dan mesra.
Katanya, walaupun harganya dianggap murah berbanding hotel lain, namun kualiti dan rasa masih menjadi fokus dalam penyediaan setiap juadah.
“Walaupun harga yang ditawarkan adalah murah berbanding harga tahun-tahun sebelum ini namun bahan mentah yang digunakan masih lagi berkualiti. Itu tiada kompromi.
“Bezanya, pada tahun ini kita lebih mempelbagaikan menu tanpa perlu menggunakan bahan luar. Sebagai contoh, menu murtabak yang sering ditawarkan pada tahun-tahun sebelum ini, tidak boleh dipelbagaikan kepada jenis makanan lain.
“Tahun ini, satu daripada menu Ramadan pada tahun ini ialah shawarma. Kiosk penyediaan shawarma sudah tersedia di hotel. Daging shawarma pula boleh dipelbagaikan dengan penggunaan jenis roti yang berbeza seperti roti pita atau tortilla.
“Dengan kepelbagaian ini, pelanggan mempunyai banyak pilihan walaupun datang daripada bahan mentah yang sama. Kami mahu tetamu bukan sahaja menikmati makanan yang enak, tetapi juga merasai kemeriahan berbuka puasa bersama insan tersayang,” katanya.
Turut tersedia ialah pelbagai jenis sup seperti sup gearbox, sup tulang, sup urat dan sup ayam tersedia untuk memanaskan perut selepas seharian berpuasa.
Deretan pencuci mulut seperti Puding Roti Mentega Panas bersama Sos Kastard, aneka pastri serta minuman menyegarkan menjadi penutup manis kepada hidangan iftar. Turut tersedia ialah buah-buah tempatan sebagai pemanis mulut.
Harga yang ditawarkan boleh dikatakan yang termurah bagi hotel yang terletak di tengah ibu kota iaitu RM129 bagi dewasa dan RM59 untuk warga emas dan kanak-kanak.
Bufet Ramadan Perdana KLCC yang bertemakan Iftar dengan Cita Rasa Tradisi akan berlangsung dari 20 Februari hingga 18 Mac 2026 di restoran 10Binjai.










