MOTIF smocking menjadi pilihan pereka muda ini bagi menggambarkan sisik naga dalam koleksinya, The Legend Dragon of Kinabalu.
Nuri Maisarah Nelisa Abdul Kafi berkata, elemen itu memberikan tekstur dan dimensi yang unik pada permukaan fabrik.
Katanya, motif dijahit tangan sepenuhnya sebagai simbol ketelitian dan nilai warisan kraftangan tradisional.
“Proses ini mengambil masa yang sangat panjang kerana kesemua empat rekaan disiapkan sendiri tanpa bantuan mesin khas.
“Ia menuntut ketelitian, kesabaran dan konsistensi bagi memastikan hasilnya kemas serta berseni,” katanya baru-baru ini.

Kesemua empat rekaan yang ditampilkan dalam koleksi itu berwarna hijau zamrud.
Rekaan Nuri Maisarah Nelisa turut diserlahkan dengan motif corak cetakan yang diinspirasikan daripada elemen mistik dalam legenda tersebut.
Corak itu diolah untuk menimbulkan suasana magis, penuh simbolik dan spiritual, selari dengan aura naga Kinabalu yang agung dan penuh kuasa.
Gabungan teknik tradisional dan elemen naratif mitos itu menghasilkan satu rekaan yang bukan sahaja estetik, malah membawa nilai cerita dan identiti budaya tempatan yang mendalam.
“Cabaran juga timbul dalam penghasilan corak cetakan bermotif mistik itu dan beberapa kali percubaan dilakukan termasuk bagi pemilihan warna, teknik cetakan serta penyesuaian pada fabrik.
“Saya perlu merancang motif sesuai, membuat kajian visual tentang simbol naga, serta mengolah reka bentuk agar selari dengan konsep mistik yang ingin disampaikan,” katanya.










