KESIHATAN intim wanita jarang dibincangkan secara terbuka walaupun ia memberi kesan besar terhadap kualiti hidup.
Perubahan hormon, proses melahirkan anak serta fasa putus haid boleh menyebabkan pelbagai masalah pada bahagian kelamin, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa dari segi fizikal dan emosi.
Justeru, rawatan menggunakan teknologi laser Fotona SP Dynamis tampil sebagai alternatif pemulihan faraj tanpa memerlukan sebarang pembedahan.
Menurut doktor estetik Klinik Neya, Dr. Nor Thaqifah Ishak, rawatan tersebut dapat menguatkan tisu sokongan dan memulihkan fungsi semula jadi faraj.
Katanya, masalah faraj longgar sering dialami selepas bersalin dan boleh menjejaskan keselesaan ketika melakukan hubungan intim bersama pasangan.
“Penggunaan laser dalam rawatan ini membantu menjadikan dinding faraj lebih tegang dan anjal secara semula jadi.
“Menariknya, walaupun melibatkan teknologi laser, rawatan ini tidak menyebabkan kesakitan kepada pesakit,” katanya.
Rawatan laser fotona turut sesuai untuk wanita yang mengalami masalah kencing tidak terkawal.

Masalah seperti kebocoran air kencing ketika batuk, ketawa atau bersin sering dianggap biasa, khususnya dalam kalangan wanita yang pernah bersalin atau semakin meningkat usia.
“Rawatan ini berfungsi menguatkan tisu sokongan pada saluran kencing. Pada masa sama, ia merupakan rawatan yang selamat, terkawal dan tidak mengganggu rutin harian pesakit.
“Malah, selepas menjalani rawatan, pesakit masih boleh meneruskan aktiviti seharian seperti biasa,” katanya.
Nor Thaqifah turut berkongsi wanita yang melalui fasa putus haid lazimnya berdepan masalah kekeringan faraj, yang boleh menyebabkan rasa gatal, pedih dan tidak selesa.
Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal, malah turut menjejaskan emosi serta keyakinan diri.
“Rawatan laser ini boleh digunakan bukan sahaja pada bahagian luaran, malah dalaman tubuh.
“Rawatan ini merangsang penghasilan kolagen yang membantu mengembalikan kelembapan semula jadi faraj secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata, rawatan ini tidak melibatkan penggunaan hormon, sekali gus mengurangkan risiko gangguan terhadap keseimbangan tubuh wanita.
Bagi mendapatkan hasil pemulihan yang optimum, pesakit disarankan menjalani rawatan sebanyak dua hingga tiga sesi.
Walaupun tidak memerlukan tempoh rehat khas, pesakit dinasihatkan untuk mengelakkan hubungan intim dalam tempoh tiga hingga tujuh hari selepas rawatan.
Nor Thaqifah berkata, rawatan laser fotona tidak meninggalkan sebarang parut kerana ia dilakukan secara lembut pada lapisan tisu.
Selain pemulihan faraj, teknologi laser ini juga sesuai digunakan untuk rawatan pada wajah, badan serta rambut di kepala dan seluruh tubuh.










