“PEREMPUAN pun boleh bawa motor besarlah!” Begitulah reaksi pengguna jalan raya tatkala melihat konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi wanita melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.
Sampai di lokasi dituju pun, ramai teruja hingga ada yang berhenti makan mahu tengok konvoi berkenaan.
Itu pengalaman saya lalui semasa mengikuti konvoi 18 pemilik motosikal Kawasaki wanita dari Kuala Lumpur ke Bentong, Pahang, baru-baru ini.
Kesemuanya merupakan ahli komuniti Kawa Kawaii dan ini merupakan konvoi pertama dianjurkan sejak ditubuhkan November lalu.
‘Kawa’ merupakan singkatan daripada Kawasaki manakala ‘kawaii’ bermaksud comel dalam bahasa Jepun.
Jadi, dalam erti kata sebenar, penubuhan komuniti ini bermaksud menggabungkan kuasa, gaya dan keunikan penunggang Kawasaki wanita. Setakat ini ada hampir 100 penunggang wanita dari seluruh negara menganggotai Kawa Kawaii.
Program bermula di lokasi pertemuan (RV) di stesen BHPetrol selepas Plaza Tol Gombak.
Cukup sahaja ‘korum’, doa dibacakan sebelum konvoi bergerak.
Pada mulanya saya sangkakan paling laju mereka mampu pergi pun lebih sikit sahaja daripada had laju kebangsaan. Namun, telahan saya meleset.
Berhempas pulas saya terpaksa mengejar mereka dengan jentera berkapasiti 500 cc, Eliminator yang dipinjamkan oleh Kawasaki Malaysia. Makan asap!
Meskipun dalam kelajuan tinggi, apa yang dapat saya perhatikan mereka menunggang dalam kumpulan secara berdisiplin diketuai Athira Eliyana. Konvoi tiba di Rumah Makan Riverside, Kampung Janda Baik hampir waktu makan tengah hari.
Dijamu ikan patin masak tempoyak, ikan talapia goreng, sup tulang berserta ulam-ulaman, memang berselera masing-masing. Ditambah kedudukan restoran di tepi sungai, sangat nyaman dan menyegarkan suasananya. Tak toleh kiri kanan dah!
Selesai menjamu selera diadakan sesi suai kenal kerana kebanyakan mereka baru bertemu buat pertama kali.
Kagum saya apabila dapat tahu ada yang datang balik hari sejauh Pulau Pinang dan Perak untuk menyertai konvoi tersebut. Memang betul-betul rider kental!
Program kemudiannya diteruskan dengan minum petang di Zus Coffee Genting Highlands. Menyusuri laluan berselekoh pendek dan tajam, sekali lagi saya kagum dengan skil tunggangan mereka.
Meluncur pantas, ‘kemas’ tapi masih dalam tunggangan selamat.
Saya pun ambil kesempatan menguji kruiser Eliminator 500 yang ditunggang. Saya sukakan enjinnya yang ‘lembut’ dan lancar serta kedudukan menunggang yang relaks.
Namun, sedikit ‘gerun’ apabila tayar menyentuh garis-garis putih jalan, berbuai. Mungkin kena ganti ‘tayar standard kilang’ sedia ada dengan jenis yang lebih mencengkam.
Nasib kami baik kerana sebaik sahaja tiba di kafe itu, hujan turun dengan lebat.
Saya dimaklumkan akan ada lagi program-program lebih menarik diadakan untuk Kawa Kawaii pada 2026. Ini kerana segmen permotoran khusus buat wanita agak kurang.
Saya sempat bertanya beberapa peserta mengenai penganjuran aktiviti sedemikian. Ternyata mereka seronok dan mahukan yang lebih mencabar pada masa akan datang. Mungkin destinasi yang lebih jauh lagi.
Sebelum bersurai dan pulang ke destinasi masing-masing, mereka bersalam-salaman. Raut wajah mereka menggambarkan kegembiraan, kepuasan dan keterujaan untuk berjumpa lagi dalam konvoi akan datang.










