Inovasi sambal Kak Bunga

Inovasi sambal Kak Bunga

Kak Bunga menunjukkan produkinovasi sambal hitam yang menggunakan roselle sebagai bahan utama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama Kak Bunga mungkin tidak asing bagi usahawan kecil di seluruh negara yang dahagakan ilmu memasak khususnya makanan tradisional dan hidangan kegemaran rakyat Malaysia serta aneka pastri.

Kemahiran Kak Bunga atau nama sebenarnya Seriwani Nazri, 55, memasak pelbagai hidangan Melayu dan barat turut dituntut oleh pelajar-pelajar vokasional termasuk sekolah tahfiz di seluruh negara.

Ibu kepada dua anak ini mula dikenali apabila menawarkan kelas memasak ketupat palas, rojak pasembur, rendang dan pastri secara kecil-kecilan di rumah sejak lebih sedekad lalu sebelum mula berkongsi ilmu sebagai tenaga pengajar di kolej komuniti, vokasional dan pusat tahfiz.

Wanita yang tidak berkira dalam berkongsi ilmu memasak dan mengenakan kadar bayaran berpatutan ini juga mula mengembangkan usahanya itu melalui TikTok dengan jumlah pengikutnya pernah mencecah 60,000.

Terkini, Kak Bunga boleh berbangga apabila berjaya mengeluarkan produk makanannya sendiri iaitu Sambal Hitam Kak Bunga yang berasaskan bunga roselle atau nama saintifiknya hibiscus sabdariffa yang berwarna merah menyala.

“Sambal hitam asalnya menggunakan belimbing buluh tetapi saya tukar belimbing buluh kepada roselle. Memang agak mencabar dan banyak kali cubaan bagi menghasilkan sambal yang betul-betul sedap dan memenuhi cita rasa.

“Proses rebusan memakan masa melebihi lapan jam bagi menjadikan ia lembut. Bunga roselle direbus menggunakan sedikit air kerana saya tidak mahu ia terlalu pekat. Air rebusannya juga boleh diminum, “ katanya.

Selain sambal hitam, Kak Bunga turut menjalankan inovasi baharu bagi menghasilkan pati roselle yang boleh dijadikan jem.

Pati roselle sesuai dimakan dengan roti serta digunakan dalam resipi tart bagi menggantikan jem nanas.

Berpegang kepada prinsip kreatif dalam perniagaan, Kak Bunga yakin produknya diterima ramai kerana setakat ini, penggunaan roselle belum lagi dibuat secara besar-besaran.

Selain itu, bekalan roselle juga banyak di pasaran serta ia mudah tumbuh di negara ini.

“Sebelum sambal dan pati roselle dipasarkan, saya buat penyelidikan dan percubaan. Biasanya anak sulung jadi tempat rujukan. Apabila dia berpuas hati dan mengakui keenakannya, saya yakin sambal ini akan digemari ramai.

“Roselle ini rasanya seperti beri hitam yang menghasilkan sambal masam manis. Ia enak dimakan bersama nasi panas, roti kosong atau biskut lemak. Roselle juga diiktiraf mempunyai banyak zat yang diperlukan oleh tubuh. Antara manfaat yang boleh didapati dari tanaman ini adalah vitamin C,” katanya.

Berdasarkan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM), roselle juga mengandungi antioksidan yang berupaya menghalang radikal bebas yang merosakkan sel dalam kulit.

Kelopak bunga nya yang merah boleh dibuat sirap dan teh. Ia kaya dengan vitamin A, C dan amino asid yang baik bagi stamina tubuh badan.

Selain itu, roselle juga dipercayai dapat mengurangkan kesan negatif daripada nikotin bagi perokok aktif.

PRODUK IBU BERPANTANG

Selain Sambal hitam roselle, Kak Bunga juga mengeluarkan beberapa lagi produk dibawah jenamanya iaitu Serunding Ayam serta Sambal Cedok, iaitu sambal ikan bilis yang mengandungi peria dan pegaga selain

Sambal Ceria iaitu sambal ikan bilis serta Kuah Rojak.

“Sambal Cedok sesuai untuk ibu yang sedang pantang selepas bersalin. Ia mengandungi ikan bilis, kepingan bawang putih goreng, sayur pegaga, peria, pucuk ubi dan halia yang membantu menyegarkan kembali dalaman tubuh ibu.

“Sambal Cedok mendapat sambutan mengalakkan daripada pelanggan kerana rasanya yang sedap dan garing. Pelanggan kata mereka sangat suka dengan rasa dan teksturnya, “ katanya.

Satu lagi produk keluarannya yang juga mendapat perhatian pelanggan adalah Kuah Rojak resipi turun-temurun Kak bunga yang berasal dari Utara.

Kuah rojaknya tidak menggunakan cuka atau asam tetapi sebaliknya menggunakan bunga roselle yang memberikan rasa masam dan manis serta gula batu.

Selain itu, kuah rojaknya juga tidak terlalu pekat dan mudah dicecah dan digaul dengan buah-buahan walaupun disimpan lama.

“Selepas sambal dan kuah rojak, Kak Bunga juga sedang dalam RND untuk menghasilkan serunding roselle. Berdasarkan maklum balas rakan-rakan yang mencuba serunding ini, mereka mengakui keenakan dan keunikannnya yang tersendiri.

“Kak Bunga juga sedang mengeluarkan snek tradisional Melayu yang hampir dilupakan iaitu agar-agar kering beraneka warna. Ia juga sesuai dijadikan hadiah atau cenderamata untuk tetamu di majlis istimewa seperti perkahwinan, “katanya.

Kak Bunga juga mengimpikan kilang bagi menghasilkan produk berskala besar.

Buat masa ini, semua produk keluarannya dimasak dan dibungkus sendiri di rumahnya di Lembah Klang.

Semua produk Kak Bunga boleh didapati melalui platform Shopee dan akaun TikTok miliknya pada harga mampu milik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN