Genetik pencetus utama Alzheimer usia muda

Genetik pencetus utama Alzheimer usia muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALZHEIMER sering dikaitkan dengan warga emas, namun hakikatnya penyakit ini juga boleh menyerang golongan muda yang masih aktif bekerja dan memikul tanggungjawab keluarga.

Faktor genetik dikenal pasti sebagai antara pencetus paling kuat kepada Alzheimer usia muda atau young onset Alzheimer dementia, sekali gus menjadikan penyakit ini bukan lagi sekadar isu penuaan semula jadi.

Pakar Perunding Psikiatri, Dr. Wan Izwin Najla Wan Hassan berkata, individu yang mempunyai ibu atau bapa menghidap Alzheimer berdepan risiko sekitar 10 peratus untuk mengalami penyakit sama.

Menurutnya, peranan genetik dalam Alzheimer usia muda adalah lebih dominan berbanding Alzheimer usia tua.

“Akibat faktor genetik ini, gejala boleh muncul lebih awal, termasuk ketika seseorang masih berada dalam fasa produktif, aktif bekerja dan mengurus keluarga.

DR WAN IZWIN NAJLA WAN HASSAN

“Walaupun angka 10 peratus mungkin kelihatan kecil, ia sebenarnya signifikan dan perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan kualiti hidup jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Wan Izwin menjelaskan, Alzheimer merupakan penyakit otak akibat pengecutan dan kemerosotan sel-sel otak yang menyebabkan perubahan menyeluruh terhadap fungsi otak atau global deficiency.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan daya ingatan, malah melibatkan fungsi pertuturan, komunikasi, tingkah laku, emosi serta keupayaan seseorang untuk menjalani aktiviti harian secara berdikari.

“Ramai menyangka Alzheimer hanya berkait dengan masalah lupa, sedangkan realitinya penyakit ini menjejaskan hampir semua aspek fungsi otak,” katanya.

BUKAN SEKADAR MASALAH INGATAN

Alzheimer usia muda merujuk kepada penyakit yang berlaku sebelum usia 65 tahun dengan golongan 30 hingga 40-an paling berisiko.

Walaupun sering dianggap jarang, realitinya sekitar 10 peratus daripada keseluruhan kes Alzheimer melibatkan golongan usia produktif yang masih bekerja dan berkeluarga.

Berbeza dengan Alzheimer usia tua, tanda awal Alzheimer usia muda lazimnya tidak bermula dengan masalah ingatan.

Dalam kalangan pesakit muda, kemerosotan pertimbangan atau penilaian sering menjadi petunjuk awal.

Pesakit mula melakukan kesilapan di tempat kerja, hilang fokus, sukar membuat keputusan serta mengalami masalah visual-spatial seperti sukar meletakkan kenderaan atau kerap sesat.

Selain itu, perubahan tingkah laku, kesukaran mencari perkataan serta perubahan personaliti juga boleh berlaku sebelum masalah ingatan jangka pendek menjadi ketara.

“Situasi ini menyebabkan ramai pesakit muda terlepas peluang rawatan awal apabila gejala yang muncul disalah anggap sebagai keletihan atau tekanan kerja semata-mata,” katanya.

FAKTOR GAYA HIDUP MODEN

Gaya hidup moden turut dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan risiko Alzheimer.

Antara faktor yang dikenal pasti termasuk kurang aktiviti fizikal, pemakanan tidak sihat, tekanan kronik, kurang tidur serta kekurangan rangsangan kognitif.

Penggunaan gajet secara pasif seperti melayari media sosial atau menonton televisyen tanpa rangsangan pemikiran tidak membantu kesihatan otak.

Aktiviti mencabar minda seperti membaca, menulis, belajar bahasa baharu dan menyelesaikan teka silang kata mampu melindungi fungsi kognitif.

“Belajar bahasa baharu sangat baik kerana otak terpaksa membentuk sambungan baharu untuk menyimpan maklumat,” katanya.

Tekanan kronik serta masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan pada usia muda turut dikaitkan dengan peningkatan risiko Alzheimer.

Penghasilan hormon stres seperti kortisol dalam jangka panjang boleh memberi kesan buruk kepada sel-sel otak.

Selain itu, amalan tidur lewat dan penggunaan telefon pintar sehingga awal pagi turut menjejaskan proses pemulihan otak dan meningkatkan risiko penyakit neurodegeneratif.

PERKEMBANGAN DILAMBATKAN

Walaupun Alzheimer masih belum mempunyai rawatan yang mampu menyembuhkan sepenuhnya penyakit tersebut, risikonya boleh dikurangkan dan perkembangannya boleh dilambatkan.

Dr. Wan Izwin berkata, pendekatan paling praktikal ketika ini adalah pengurusan simptom secara holistik.

Ia merangkumi senaman berkala, pemakanan seimbang, pengurusan stres, tidur mencukupi serta rangsangan minda berterusan.

Rawatan perubatan bertujuan mengawal simptom seperti kemurungan, kegelisahan dan tingkah laku agresif bagi membantu pesakit mengekalkan fungsi harian.

“Berdasarkan pemerhatian klinikal, pesakit yang mengambil ubat secara konsisten boleh kekal stabil dan berfungsi dengan baik sehingga lima atau enam tahun.

“Sebaliknya, pesakit yang tidak menerima rawatan berisiko mengalami kemerosotan lebih cepat, termasuk kehilangan keupayaan bercakap dan berdikari,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan Alzheimer bukan sekadar penyakit lupa, sebaliknya memerlukan kefahaman, sokongan berterusan dan pendekatan menyeluruh daripada keluarga serta masyarakat.

“Kesedaran awal, saringan awal dan gaya hidup sihat adalah kunci utama untuk mengekalkan kualiti hidup pesakit dalam jangka panjang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN