Usia 52, wanita Orang Asli ceburi affiliate

Usia 52, wanita Orang Asli ceburi affiliate

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usia 52 tahun bukan alasan untuk wanita Orang Asli suku Temuan dari Kampung Sungai Buah, Dengkil melangkah masuk ke dunia pemasaran affiliate.

Rahimah Abdul Rahim berkata, minatnya timbul selepas melihat semakin ramai wanita terutama suri rumah mampu menjana pendapatan sampingan melalui promosi digital itu.

Dorongan itu membuatkan ibu kepada lapan anak berusia antara 11 hingga 30 tahun ini mendaftar dalam Program Usanita : Affiliate Wanita Berjaya yang dilancarkan baru-baru ini.

Impiannya adalah untuk menjana pendapatan tambahan bagi menyara keluarga.

“Zaman sudah banyak berubah dan saya mahu menguasai pemasaran digital supaya tidak terus ketinggalan.

“Selain dapat menambah pendapatan, saya juga berhasrat mengajar komuniti Orang Asli di kampung agar mereka turut sama maju ke depan,” katanya selepas majlis perasmian oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn. Bhd. (Usanita), Datuk Adzliana Hasan.

Rahimah merupakan antara 70 wanita asnaf di Selangor serta Kuala Lumpur yang terpilih dalam program anjuran Usanita dan Maybank Islamic.

Ketika ini, dia turut mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menghasilkan produk batik cetakan eko di rumahnya.

Namun, kaedah jualan adalah secara tradisi sahaja disebabkan belum mahir penggunaan platform digital.

Justeru, ilmu-ilmu affiliate yang dipelajarinya akan turut dimanfaatkan untuk mengembangkan perniagaan sendiri.

“Asalnya, saya adalah tukang jahit tetapi sejak empat tahun lalu saya berjinak-jinak membuat batik cetakan eko di bawah jenama, Tempua Craft,” katanya.

 

Didik wanita berdikari
Adzliana berkata, program tersebut memfokuskan kepada kemahiran pemasaran digital dan model perniagaan affiliate yang mudah diikuti.

Sasarannya agar setiap peserta mampu menjana pendapatan minimum RM300 sebulan dan simpanan pertama, RM1,000 sebelum program selama 10 bulan itu tamat

“Misi saya untuk memperluaskan peluang ekonomi wanita asnaf agar mereka mampu berdikari dan meraih pendapatan stabil,” katanya.

Ujarnya, peserta tertua dalam program itu berumur 58 tahun tetapi ia tidak membataskan seseorang untuk belajar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN