Nurul Syuhada pecah tradisi Akademi Dai Muda Yadim

Nurul Syuhada pecah tradisi Akademi Dai Muda Yadim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMAJA ini bukan daripada aliran agama, namun minat mendalam terhadap ilmu dan aktiviti kemasyarakatan mendorongnya mencuba bidang baharu.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Nurul Syuhada Mohd. Kamil, 25, memberanikan diri menyertai Akademi Dai Muda 2025 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) selama tiga bulan.

Percubaannya membuahkan hasil apabila meraih Anugerah Perdana dalam pertandingan itu.

Lebih membanggakan, dia merupakan wanita pertama yang memenanginya sekali gus memecahkan tradisi.

“Sebelum ini ada yang merendahkan kemampuan saya dalam program kemasyarakatan, tetapi saya cekalkan hati dan berpegang kepada prinsip wanita boleh buat banyak perkara.

“Kemenangan ini membuktikan seorang muslimah juga boleh bergerak dengan menjaga batas dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya baru-baru ini.

Sebagai dai muda, Nurul Syuhada selesa dengan penampilan sopan, sederhana dan tidak berlebihan.

Dia percaya, cara berpakaian sudah cukup mencerminkan nilai diri

Bercerita lanjut, katanya, dakwah adalah perjalanan hidup yang membentuk siapa dirinya hari ini.

Baginya, menjadi dai muda bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi mendekati anak muda muslimah dengan pendekatan yang lebih segar, sederhana dan berprinsip.

“Ramai orang muda ingin berubah ke arah lebih baik, cuma mereka perlukan seseorang yang ‘dekat’ untuk membantu,” katanya.

Anak jati Terengganu itu berkata, peranannya bukan sekadar mengajar, tetapi menunjukkan nilai positif dengan cara yang lembut, santai tanpa membebankan sesiapa.

Cabaran dakwah
Langkah awalnya tidak selalu mudah.

Sejak mula aktif turun padang dan terlibat dalam program masyarakat, dia menerima pelbagai reaksi terutama stereotaip wanita tidak sesuai memegang peranan kepimpinan.

Ada pandangan yang merendahkan kemampuan wanita, namun semua itu tidak pernah memadamkan semangatnya.

Sebaliknya, cabaran tersebut menjadi dorongan untuk membuktikan wanita muslimah juga mampu memimpin dengan menjaga batas syariat, memelihara adab dan pada masa sama memberikan manfaat kepada masyarakat.

Dalam misi dakwahnya kepada wanita muda, Nurul Syuhada membawa slogan Srikandi Inspirasi Penyuluh Hijrah Sejati.

Ia bukan sekadar tagline, tetapi simbol perjalanan dan prinsip dirinya.

“Srikandi melambangkan pejuang yang tidak berjuang dengan pedang, tetapi melalui usaha dakwah dan menggerakkan kebajikan dalam masyarakat,” jelasnya.

Istilah inspirasi pula lahir daripada keinginannya menyuntik semangat kepada generasi muda untuk mendalami ilmu, melakukan kebaikan dan menyebarkan nilai Islam dengan hikmah.

Manakala, penyuluh hijrah sejati’ menggambarkan proses hijrah bukan tentang kesempurnaan, tetapi usaha berterusan untuk menjadi lebih baik setiap hari.

Antara nasihat yang sering disampaikan kepada wanita muda ialah mengenali keistimewaan diri, yakin dengan ilmu dimiliki dan tidak takut gagal.

“Kegagalan adalah sebahagian daripada proses menuju kejayaan. Jadi, saya mahu wanita bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, tetapi juga bahagia dan mampu membawa perubahan.

“Kejayaan sebenar ialah apabila seorang wanita berbangga dengan dirinya dan berani memberi manfaat kepada komuniti,” jelasnya.

Bakat sejak kecil
Bakat kepimpinannya disemai sejak kecil melalui didikan bapa yang aktif dalam komuniti.

Ayahnya sering membawa anak-anak berbincang, berkongsi pandangan dan mendidik agar berani bersuara.

“Setiap kali solat berjemaah, ayah minta saya dan lima adik berkongsi pandangan, belajar menilai serta berani menyuarakan pendapat.

“Daripada situ, saya belajar memimpin dengan cara yang matang,” katanya.

Ketika menyambung pengajian di Unisza, bakat itu semakin menyerlah.

Nurul Syuhada bertanding dalam pilihan raya kampus dan akhirnya terpilih sebagai Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Saya percaya hidup saya bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi bagi memberi manfaat kepada orang lain,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN