Festival raya di puncak tertinggi Putrajaya

Festival raya di puncak tertinggi Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FESTIVAL perayaan bukan sekadar tempat menjual beli, sebaliknya berfungsi sebagai platform penting untuk mengetengahkan budaya, seni dan identiti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pendekatan itu diterjemahkan menerusi penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026@PICC, yang bakal melakar sejarah sebagai festival raya terbesar pertama dianjurkan di puncak tertinggi bandar pentadbiran negara pada Februari depan.

Pengasas dan penganjurnya, Rayme Zainal berkata, pemilihan PICC adalah kerana kedudukannya yang ikonik serta dilengkapi kemudahan bertaraf antarabangsa, sesuai untuk penganjuran acara berskala besar.

Malah, ia dijangka memberi limpahan ekonomi signifikan dengan penyertaan lebih 300 usahawan di samping mewujudkan hampir 1,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh festival berlangsung dari 15 Februari hingga malam 1 Syawal.

Bertemakan ‘lebih tinggi, lebih meriah, lebih raya’, festival ini menampilkan gabungan elemen kerohanian, seni budaya, gastronomi, hiburan dan keusahawanan dalam suasana unik di puncak bukit.

“Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bukan sekadar bazar, ia membawa misi mengangkat warisan negara melalui busana kebaya dan batik edisi Ramadan-Raya yang menjadi simbol seni tekstil tempatan,” katanya baru-baru ini.

Rayme yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd. berkata, zon gastronomi menjadi antara tarikan utama menerusi kerjasama Grab & Go Cafe dan Anjung E.A.T.S, yang menghimpunkan 20 usahawan makanan bagi menawarkan sajian berbuka puasa, moreh dan sahur dalam konsep hilltop street food.

Ujarnya, peragaan fesyen, pameran tekstil dan kolaborasi bersama artisan turut dijangka menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa, selain penglibatan inisiatif kebajikan seperti infaq Ramadan dan kempen kemanusiaan, The Pelita of Hope bagi membantu Palestin.

Pengunjung tidak perlu bimbang soal kemudahan kerana PICC menyediakan 1,200 tapak parkir percuma dengan resit pembelian serta surau yang luas dan selesa untuk sehingga 300 jemaah pada satu-satu masa.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi +6013-508 6807 / +6012-363 7723 atau melayari Instagram @GemaRayaPutrajaya@PICC dan @Raydiatesblue.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN