“Pengalaman haji 2015 sangat mencabar fizikal dan minda. Jarak perjalanan antara lokasi gerak kerja haji atau masya’ir mencabar fizikal. Cuaca ketika wukuf di Arafah pun sangat ekstrem sehingga ada yang terkena strok haba. Itu belum lagi cabaran himpitan dan rempuhan orang ramai ketika mengerjakan tawaf haji sejurus pulang dari Mina. Pendek kata, kerja haji meletihkan fizikal dan minda.”
Umat Islam Malaysia dikejutkan dengan syarat kesihatan terbaharu yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk musim haji 1447H/2026M.
Melalui penguatkuasaan tersebut, kemungkinan besar ramai yang sampai kitaran kuota haji pada tahun hadapan akan digugurkan atau ditangguhkan pemergiannya kerana faktor kesihatan.
Keputusan itu pastinya melalui proses kajian dan perbincangan panjang pihak pengurusan Haji Arab Saudi yang saban tahun berdepan pelbagai masalah menguruskan para tetamu Allah seluruh dunia.
Pihak kerajaan Arab Saudi selaku Ulil Amri atau pengurus haji zaman moden mempunyai tanggungjawab yang lebih besar melibatkan isu keselamatan dan penjagaan nyawa para jemaah seluruh dunia.
Ini secara tidak langsung berkait dengan satu Maqasid syariah iaitu menjaga nyawa. Oleh itu, dalam konteks pengurusan haji zaman ini, umat Islam sedunia wajib patuh kepada syarat dan peraturan haji yang digariskan kerajaan Arab Saudi. Ia seiring dengan banyak nas agama (al-Nisa’ 4:59).
Dalam Islam, para ulama turut merumuskan kaedah berguna dalam isu pengurusan pemimpin.
Ertinya: Tindakan (perlaksanaan sebarang undang-undang) pemerintah ke atas rakyat adalah mesti berkait (terikat) dengan maslahah (menjaga kepentingan rakyat).
Penulis bersyukur kerana mampu menunaikan haji ketika berusia 40 tahun pada tahun 2015.
Ketika musim haji tersebut, penulis bertemu ramai jemaah yang sangat uzur.
Ada yang berkerusi roda, ada yang baru pulih dari strok dan teman sebilik penulis selepas musim Haji itu hanya tidur sepanjang hari dalam bilik dek uzur yang menimpa. Lalu, ada Jemaah yang mempertikai kelayakannya untuk datang menunaikan haji. Apa-apa pun penulis tegaskan, datang haji bukan hak kita, tetapi suatu jemputan istimewa daripada Allah.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tetamu Allah itu ada tiga kumpulan; orang yang berperang (pada jalan Allah), para Jemaah haji dan orang yang mengerjakan umrah (Sunan al-Nasa’i, 2625).
Dalam Islam ibadat ada banyak jenis. Ada ibadat berbentuk fizikal seperti solat dan puasa. Ada yang berbentuk ibadat harta seperti membayar zakat dan sedekah. Ada yang lebih mencabar berbentuk fizikal dan harta seperti haji. Oleh itu, ibadat haji diikat dengan kadar kemampuan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya (Ali ‘Imran 3:97).
Kemampuan menunaikan haji bersifat dinamik dan bergerak seiring zaman dan masa.
Dalam konteks moden, kemampuan haji menuntut lima syarat iaitu; kesihatan yang baik, ada kenderaan pergi balik, aman dalam perjalanan, bekal kewangan yang cukup dan kebenaran pihak Arab Saudi atau kouta haji yang sah.
Penulis menyarankan beberapa panduan untuk bakal jemaah haji untuk tahun-tahun mendatang.
Pertama, cakna kesihatan. Kekal sihat untuk mampu pergi haji bukan lagi pilihan tetapi kewajipan kerana tanpanya, kita tidak mampu menunaikan haji. Buat persiapan kewangan bersama kesihatan. Amalkan gaya hidup sihat seperti makan secara berhemah kerana perut ialah punca pelbagai penyakit (al-A’raf 7:31).
Persiapan fizikal untuk haji bukan hanya berguna untuk kerja haji, tetapi turut mengundang kasih cinta Allah.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Orang beriman yang kuat lebih baik dan dicintai Allah berbanding orang beriman yang lemah. Pada kedua mereka mempunyai kebaikan tersendiri.
Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang berguna untukmu. Pohonlah bantuan kepada Allah dan janganlah lemah (malas) (Sahih Muslim, 4816).
Kedua, setelah berusaha dalam penjagaan kesihatan, kita perlu berdoa sepenuh jiwa agar dijemput. Doa terbaik ialah doa yang turut melibatkan bakal jemaah haji lain.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berdoa untuk saudaranya secara rahsia (tanpa diketahui saudaranya), malaikat yang bertanggungjawab dalam urusan doa akan mengaminkannya dan berdoa (untuk si pendoa): “Bagimu (habuan doa) yang sama sepertinya” (Sahih Muslim, 2732).
Pada tahun 2015, laluan haji penulis agak suram dek beberapa kewangan kuota.
Setelah mengubah cara berdoa seperti di atas, Allah langsung membuka peluang untuk penulis mengerjakan haji bersama 14 teman sekerja di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Inilah doa penulis pada waktu itu:
“Ya Allah angkatlah nama kami berdua suami isteri dan nama kawan yang lain agar dapat kami bersama menunaikan haji dalam masa terdekat. Bantulah kami semua agar dijemput ke sana.”
Ajaib sungguh! Selepas mempraktikkan doa di atas, peluang kami terbuka luas dan kami semua mampu sampai ke Mekah dengan selamat pada tahun itu.
Manakala, bagi yang gagal melepasi syarat kelayakan haji secara kekal seperti menghidap sakit kronik dan ujian tua, anda masih punyai kaedah badal haji. Usah bersedih kerana Allah tahu kekangan yang kita alami. Ambil ayat ini sebagai penenang jiwa:
Ertinya: Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan (al-Talaq 65:7).
Jangan putus asa berusaha dan berdoa kerana walaupun kerajaan Arab Saudi meletakkan pelbagai syarat, Allah tetap pemilik sebenar ibadah haji. Jika Dia mahu, kita boleh sampai ke sana walaupun dibelenggu pelbagai kekangan kesihatan.
Tetap teguh memasang niat untuk menunaikan haji. Allah dengan segala rahmat-Nya mampu memgurniakan kita pahala sempurna ibadah haji walaupun tidak sampai ke sana. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Ikuti kisah di sebalik ayat ini:
Ertinya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Nisa’ 4:100).
Sahabat Nabi SAW yang wafat di pertengahan jalan sebelum sampai Madinah tetap diberi pahala hijrah yang sempurna kerana keteguhan niatnya! Ya Allah! Permudahkan peluang untuk semua umat Islam Malaysia untuk menunaikan haji.-UTUSAN
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










