Tidak seperti pelukis lain yang menjadikan kanvas sebagai medium utama berkarya, Muhammad Darwisy Mustafani, 24, memilih jalan berbeza.
Jejaka yang sering tampil dengan pelitup muka setiap kali berada di khalayak ramai ini menjadikan songket sebagai ruang ekspresi seninya yang unik dan sarat makna budaya.
Bagi Darwisy, kain warisan masyarakat Melayu itu bukan sekadar sehelai kain tradisional, tetapi simbol identiti dan keharmonian bangsa.
Dia mahu menggabungkan keindahan seni tradisional dengan elemen moden supaya karyanya lebih dekat di hati generasi muda.
Daripada situlah lahirnya idea untuk menjadikan songket sebagai kanvas yang membawa penceritaan budaya dan semangat perpaduan negara ini.
Percubaan beraninya itu mula mendapat perhatian ramai selepas berkongsi hasil kerja di media sosial, khususnya di TikTok.
Sentuhan kreatifnya menarik minat ribuan pengguna, sekali gus menjadikan nama Darwisy tular di dunia maya.
Namun, paling tidak disangka, karya uniknya itu membuka pintu rezeki yang lebih besar apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempah lukisan khas daripadanya.
“Saya agak terkesima apabila lukisan pada songket yang dipinta oleh PDRM, bakal dijadikan sebagai hadiah rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
“Walaupun proses untuk menyiapkan lukisan tersebut agak rumit, namun ia berjaya diselesaikan dalam masa tiga minggu tanpa ada sebarang cacat cela,” katanya.
Lebih bermakna, hasil tangannya menerima pujian istimewa daripada baginda yang menyifatkan karyanya ‘sangat molek’.
Lukisan tersebut kini menghiasi ruang di Istana Negara, membolehkan para pengunjung turut menikmati keindahan hasil kerja anak muda berbakat ini.
Kejayaan itu turut membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya apabila menerima beberapa tempahan eksklusif daripada Istana Selangor serta istana-istana negeri lain.
“Antaranya termasuk permintaan khas untuk menghasilkan karya bertemakan budaya tempatan dengan latar belakang corak kain songket,” jelasnya.
Selain itu, dia turut menghasilkan karya menggunakan songket sutera yang digabungkan dengan kristal Swarovski bagi menambah nilai eksklusif dan keanggunan hasil seninya.
CABARAN MELUKIS
Menariknya, Darwisy tidak pernah mengikuti pendidikan formal dalam bidang seni halus.
Berbekalkan minat dan ketekunan tanpa jemu menjadikannya pelukis sepenuh masa.
Perjalanannya sebagai pelukis tidak pernah mudah.
Katanya, setiap karya yang dihasilkan di atas songket ada cabaran tersendiri.
Begitupun, di situlah letaknya keindahan dalam kesabaran menghasilkan sesuatu yang luar biasa dalam dunia seni.
“Sedikit kesilapan boleh merosakkan keseluruhan karya kerana songket tidak boleh dibersihkan sesuka hati seperti kanvas.
“Permukaan songket tidak sama seperti kanvas. Saya perlu menyapukan beberapa lapisan warna asas berwarna putih terlebih dahulu untuk menutup corak asalnya. Malah, terdapat bahagian songket yang tidak boleh kena cat langsung,” katanya.
Bagi Darwisy, setiap karya yang dihasilkan bukan sekadar hasil seni, tetapi wadah untuk membuka mata masyarakat songket mampu berdiri megah dalam dunia seni moden.-UTUSAN









