Kepelbagaian spesies burung di Wang Kelian

Kepelbagaian spesies burung di Wang Kelian

SPESIES burung Black Backed Kingfisher antara yang berjaya dirakamkan gambar dan menjadi rekod penemuan spesies terbaharu di Wang Kelian bersempena The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2025 di Wang Kelian, Perlis.-UTUSAN/SHAIFUL AZHAR ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN kaya dengan keindahan flora dan fauna, Banjaran Nakawan sepanjang 36 kilometer berusia lebih 480 juta tahun yang terbentang dari Kuala Perlis sehingga ke Wang Kelian juga mempunyai kepelbagaian spesies burung unik.

Berdasarkan inventori pada 2022, sebanyak 197 spesies burung telah direkodkan di sepanjang Banjaran Nakawan manakala di kawasan Wang Kelian pula merekodkan 170 spesies dan jumlah tersebut dijangka bertambah selepas selesai proses kemas kini.

Antara yang menarik perhatian seperti burung hantu busut atau Dusky Eagle-Owl iaitu burung hantu terbesar di Malaysia antara yang ditemukan di Wang Kelian.

Wang Kelian juga menjadi tumpuan pemerhati dan jurugambar dari luar negara untuk ke negeri ini bagi merakamkan gambar serta mencerap pelbagai spesies burung.

Pada 31 Oktober sehingga 2 November lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dengan kerjasama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan Malaysian Nature Society (MNS) telah menganjurkan The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2025.

Penganjuran memasuki edisi kedua itu berjaya menarik seramai 350 peserta dari seluruh negara termasuk jurugambar dari Thailand bagi merakam gambar, merekod dan mencerap pelbagai spesies burung di Wang Kelian.

Selain itu, edisi tersebut juga melibatkan penyertaaan pelajar sekolah serta guru-guru yang mendapat pelbagai pendedahan mengenai kepelbagaian spesies burung di Wang Kelian.

Pelbagai aktiviti menarik turut mengisi sepanjang tiga hari penganjuran program tersebut seperti Cross Country Run dan MTB Ride yang menarik ratusan penyertaan.

Antara lain seperti Pasar Warisan, Jualan Agro Madani serta pameran daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.

Pengarah Perhutanan negeri, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, Wang Kelian kini menjadi antara destinasi utama bagi pencerapan burung berikutan lokasi tersebut terdiri daripada ekosistem hutan batu kapur yang mempunyai dirian tumbuhan berbeza dari tempat lain.

Katanya, apabila tumbuhan berlainan, maka sumber makanan burung juga berbeza sekali gus menarik haiwan berkenaan ke lokasi tersebut.

Tambahnya, antara lokasi pencerapan burung di Wang Kelian adalah di sekitar kawasan Taman Negeri, Kaki Bukit dan Kampung Wang Kelian.

“Setakat ini, berdasarkan pemerhatian inventori burung pada 2022, sebanyak 197 spesies burung telah direkodkan di Banjaran Nakawan manakala untuk Wang Kelian, sebanyak 170 spesies direkodkan termasuklah burung hantu busut. Hasil daripada penganjuran The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2025, ia juga sangat membantu untuk kita kemas kini pelbagai spesies burung selepas ini,” katanya.

Tambah Ag Shaffie, terdapat antara dua hingga tiga spesies burung hijrah direkodkan ditemukan di Wang Kelian oleh para peserta bersempena acara itu.

Katanya, kehadiran spesies itu berikutan musim hijrah yang kebiasaan bermula dari bulan September hingga November setiap tahun.

“Burung-burung yang ditemukan ini bukanlah spesies baharu namun baharu direkodkan penemuannya di Perlis. Pada 2026, kita akan kemas kini rekod-rekod penemuan burung-burung ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi NEST, Sulaiman Salikan berkata, menerusi penganjuran kali ini, terdapat sekurang-kurang tiga sehingga lima spesies burung unik berjaya dikenal pasti antaranya seperti Black-backed Dwarf-Kingfisher.

Katanya, penemuan burung tersebut sudah pastinya akan menjadi tumpuan dengan kehadiran pemerhati dan jurugambar dari luar negara bagi merekodkan spesies berkenaan.

“Inilah kelebihan photo race ini, apabila peserta berselerak merata tempat, maka mereka akan dapat kenal pasti banyak spesies burung.

“Malah, untuk berjaya menangkap gambar burung berkenaan memerlukan masa antara sehari atau tiga hari menunggu.

“Perlis merupakan unjuran dari Thailand dan oleh itu, ada spesies burung hanya akan berhenti di negeri ini sahaja serta tidak akan dapat ditemukan di tengah atau Selatan semenanjung Malaysia, itulah keunikan Perlis,” katanya.

Seorang guru pengiring murid sekolah, Nurul Farhana pula berkata, dia membawa murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit menyertai program tersebut yang memberi pendedahan secara langsung kepada mereka mengenai spesies burung di Perlis.

“Diharapkan program-program seperti ini dapat diteruskan dari tahun ke tahun supaya dapat memberi pendedahan terutama kepada murid-murid sekolah mengenai spesies burung unik khususnya di Wang Kelian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN