Fotografi medium mimesis penting dalam seni lukis

Fotografi medium mimesis penting dalam seni lukis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia seni visual masa kini, fotografi dan seni lukis sering dilihat bergerak di landasan berbeza.

Namun, bagi pelukis muda Nur Hakimi Azim Hamidon yang juga pelajar tahun akhir Diploma Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), UiTM Kampus Seri Iskandar, kedua-duanya saling berpaut dalam satu dialog yang memperkayakan pengalaman kreatif.

Melalui karya arang yang diinspirasikan daripada foto bidikannya, dia membuktikan fotografi bukan sekadar alat bantu, tetapi medium penting dalam proses mimesis iaitu meniru, memahami dan mentafsir realiti melalui bahasa seni.

Lukisan figura wanita menjahit dalam ruang domestik bukan hanya menggambarkan kehidupan seharian, tetapi menjadi simbol kesabaran, ketekunan dan keindahan nilai kemanusiaan yang lahir daripada ruang sederhana.

Menurut Nur Hakimi Azim, proses menghasilkan karya bukan semata-mata latihan teknikal, sebaliknya satu renungan terhadap makna melihat dan memahami realiti.

Kamera baginya ialah mata kedua yang melatih kepekaan terhadap cahaya, bentuk dan emosi sebelum semuanya diterjemahkan ke atas kertas melalui medium arang.

Setiap foto yang dirakam menjadi jambatan antara dunia nyata dan dunia batin, membimbing tangannya untuk melakar semula kehidupan dengan penuh kejujuran dan ketenangan.

Melalui pengalaman memotret, Nur Hakimi Azim turut mengasah kepekaan terhadap komposisi dan keseimbangan ruang.

Prinsip rule of third yang digunakan dalam fotografi menjadikan lukisannya tersusun, harmoni dan tenang.

Walaupun berasaskan foto, karyanya bukan salinan literal, sebaliknya tafsiran semula terhadap suasana dan nilai spiritual di sebalik detik yang dirakam.

Ton monokrom arang memberi kesan nostalgia, manakala permainan cahaya lembut menyerlahkan makna keheningan, keikhlasan dan keseimbangan dalam kehidupan.

Dalam konteks pendidikan seni, pendekatan seperti ini menunjukkan bagaimana fotografi dapat memperkukuh asas pemerhatian, komposisi dan sensitiviti terhadap cahaya dalam penghasilan karya lukisan.

Fotografi bukan hanya arkib kenangan, tetapi juga guru yang mengajar seniman untuk melihat dengan mata, menilai dengan fikiran dan berkarya dengan hati.

Karya Nur Hakimi Azim membuktikan fotografi dan seni lukis bukan dua dunia yang terpisah, tetapi sahabat yang saling memerlukankan antara realiti dan imaginasi serta mata dan jiwa dalam melahirkan makna seni yang benar-benar hidup.

-Pensyarah kanan Jabatan Seni Halus Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Perak.
habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN