Sejak berabad lamanya, Turkiye dikenali sebagai nadi industri tekstil dunia, daripada sutera halus hingga ke permaidani bersejarah.
Keunggulannya terserlah melalui kemampuan mengharmonikan warisan tradisi dengan sentuhan inovasi moden.
Keunikan itulah yang menjadikan Turkiye lokasi pilihan bagi program perintis Yayasan Hasanah, Khazanah ACE Heritage Textile Fellowship.
Ketua Seni dan Ruang Awam Yayasan Hasanah, Nini Marini Ramlan berkata, inisiatif julung kali itu bertujuan memperkukuhkan komuniti tekstil warisan Malaysia melalui pembelajaran antarabangsa, bimbingan pakar dan inovasi produk.
Seramai 10 artisan tempatan terpilih untuk memulakan perjalanan menghidupkan semula, berinovasi dan memelihara tradisi kraf negara.
“Program selama enam bulan ini merangkumi tiga minggu pembelajaran imersif di Turkiye diikuti lima bulan bimbingan dan pembangunan produk di Malaysia.
“Pemilihan Turkiye adalah kerana industri tekstilnya seiring dengan warisan kita, selain selari dengan prinsip-prinsip Islam dan ekosistemnya yang kukuh,” katanya baru-baru ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Yang hadir sama, Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah serta Pemegang Amanah Yayasan Khazanah, Siti Kamariah Ahmad Subki serta Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel
Nini Marini berkata, melalui pendekatan itu, para artisan bukan sahaja dapat memperoleh ilmu dan amalan terbaik dunia, malah mampu menterjemahkannya kepada inovasi tempatan.
Ia selaras usaha mengukuhkan pemeliharaan tekstil warisan Malaysia.
Apatah lagi, industri ini kini berdepan tekanan moden seperti peningkatan kos pengeluaran dan kekurangan pelapis generasi baharu.

Karya kapsul
Kembara ilmu di Turkiye, bukan untuk meniru tetapi sebagai bilik darjah hidup bagi memerhati bagaimana negara dengan legasi tekstil mendalam membina ekosistem berdaya tahan, jauh ke dalam pasaran moden.
Kata Nini Marini, para felo akan berinteraksi dengan artisan, koperasi, universiti dan pengeluar di Istanbul, Kayseri dan Bursa.
Ia termasuk lawatan ke muzium dan institusi yang memelihara tradisi tekstil negara tersebut.
“Turkiye bukan sekadar destinasi pembelajaran teknikal, ia adalah pengalaman menyeluruh tentang bagaimana warisan budaya dan kreativiti moden boleh wujud seiring menjana rezeki dan memperkukuh identiti negara,” ujarnya.
Selepas kembali ke tanah air, para peserta akan menjalani lima bulan bimbingan berstruktur.
Masing-masing akan membangunkan karya dan inisiatif baharu yang diilhamkan daripada pengalaman mereka di luar negara.
Katanya, perjalanan program itu akan diakhiri dengan koleksi kapsul kraf iaitu pameran awam yang meraikan perkembangan kemahiran teknikal, ekspresi kreatif dan inovasi mereka.

Kaedah ajar artisan
Seorang penggiat telepuk, Mohd. Azwarin Ahmed, 44, tertarik untuk menyertai program ini kerana mahu mempelajari bagaimana Turki mengekalkan kesenian warisan dan menurunkan ilmu kepada generasi muda.
“Kesenian telepuk masih belum dikenali oleh generasi baru dan saya ke sana untuk mencari inspirasi bagaimana mahu menarik minat golongan sasar.
“Selepas pulang nanti, saya berharap dapat terus menyebarkan keilmuan ini dan melahirkan lebih ramai penelepuk di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, penyulam keringkam dari Sarawak, Norinda K. Su’ut mahu mengenali mengenai benang dan sulaman unik dengan pelbagai teknik di Turkiye.
Ilmu itu akan dimanfaatkan dalam karya keringkam sentuhannya.










