Virus penyakit kelamin, kanser serviks boleh tersebar

Virus penyakit kelamin, kanser serviks boleh tersebar melalui sentuhan, udara

Kakitangan HCTM, HUKM memeriahkan program Forum Kesedaran HPV dan Program Kesedaran Jangkitan HPV dan Vaksinasi 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Virus Papiloma Manusia (HPV) yang menyebabkan penyakit kelamin dalam kalangan lelaki dan wanita serta kanser pangkal rahim atau serviks dalam kalangan wanita, bukan sahaja boleh tersebar melalui hubungan kelamin tetapi melalui sentuhan dan udara.

Lebih membimbangkan, virus ini juga boleh dijangkiti melalui peralatan yang dikongsi seperti penggunaan mangkuk tandas awam di hotel atau tandas awam serta tuala yang disediakan oleh pihak hotel khususnya hotel bajet.

Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee berkata, walaupun data berkaitan kaedah jangkitan itu tidak terlalu kukuh bagi membuktikan dakwaan ini, namun masih boleh menjadi salah satu sumber jangkitan.

“Virus ini juga boleh menyebabkan kanser tekak besar dan besar kemungkinan berpunca daripada aktiviti seks oral. Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) juga kadangkala menemui virus ini pada kerongkong pesakit yang memerlukan rawatan laser di situ dan sangat sukar kerana komplikasinya termasuk peti suara akan terganggu.

“Malah, virus ini juga boleh pergi ke anus atau dubur dan alat sulit lelaki. Ini yang merisaukan. Kajian menunjukkan juga jika buat rawatan laser, virus ini dikesan terdapat di persekitaran atau udara. Ini membimbangkan kerana berisiko tersedut virus ini dan menyebabkan ketuat papiloma sebelum ia menjadi kanser,” katanya.

Mohamad Nasir berkata demikian ketika ditemui pada forum kanser pangkal rahim sempena Program Kesedaran Jangkitan HPV dan Vaksinasi 2025 Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), UKM, baru-baru ini.

Ahli panel lain adalah Perunding Kanan Obstetrik & Ginekologi dan Pakar Onkologi Ginekologi, Jabatan Obstetrik & Ginekologiro, HCTM, UKM, Prof. Dr. Nirmala Chandralega Kampan dan pesakit, Sharifah Norul

Huda Syed Akil yang berkongsi pengalaman berdepan kanser serviks.

Mohamad Nasir berkata, secara amnya lelaki juga boleh menjadi punca kanser pangkal rahim dalam kalangan wanita sama ada melalui sentuhan mahupun hubungan kelamin.

“Justeru vaksin HPV sangat penting dalam mencegah penyakit kelamin dan kanser. Program vaksin bermula sejak tahun 2010 di sekolah-sekolah kerajaan sahaja bagi pelajar perempuan berusia 13 tahun. Suntikan vaksin ini tahan lama dan melindungi daripada dua jenis virus iaitu 16 dan 18.

“Terdapat juga vaksin baharu yang melindungi empat virus tetapi kini ia tiada lagi dalam pasaran. Vaksin terbaharu, melindungi sembilan jenis virus yang diberikan melalui tiga dos bagi individu yang pernah mengadakan hubungan kelamin, berusia 15 tahun ke atas. Bagi kanak-kanak, berdasarkan kelulusan FDA, dua dos suntikan diberikan, “ katanya.

Bagaimanapun, di Malaysia hanya satu suntikan diperlukan. ia sudah cukup untuk melindungi individu daripada dijangkiti virus ini. Ia sebaiknya diberikan kepada lelaki dan wanita terutama yang pernah menjalinkan hubungan kelamin.

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan kanak-kanak berusia kurang 15 tahun wajar diberikan satu suntikan sahaja bagi meningkatkan sehingga tahap imun.
Bagi wanita yang sudah berkahwin, perlindungan sebanyak 70 peratus sahaja masih mencukupi tanpa perlu dos pelengkap.

GALAKKAN VAKSIN
Nirmala berkata, vaksin digalakkan diberikan kepada remaja lelaki dan perempuan seperti yang diamalkan kerajaan Australia bagi mencegah penyebaran virus dalam kalangan remaja di negara berkenaan.

“Punca utama penyebaran virus HPV adalah melalui aktiviti hubungan kelamin. Justeru, penting kedua-dua jantina mengambil vaksin ini. Sekiranya wanita berisiko mengalami kanser serviks, lelaki pula berisiko mengalami kanser di bahagian alat sulit, mulut, leher dan tekak.

“Apabila vaksin diberikan kepada lelaki dan wanita, imuniti kelompok boleh dicapai apabila majoriti komuniti mengambil vaksin dan boleh menurunkan kadar penyakit lebih cepat berbanding hanya beberapa individu yang mengambil vaksin ini,” katanya.

Kajian selama 15 tahun membabitkan berjuta-juta vaksin menunjukkan kesan sampingannya sangat ringan.

Penerima biasanya akan mengalami kesan ringan seperti sakit di kawasan yang disuntik vaksin atau demam.

“Penyakit kanser rahim atau serviks berdepan risiko hidup dan mati kerana bersifat progesif yang boleh mengancam nyawa. Selain vaksin, saringan pap smear boleh dilakukan bagi mengesan kanser ini melakui kaedah calitan dinding rahim bagi melihat sebarang kelainan pada tisu rahim.

“Sebelum ini, rawatannya membabitkan pembedahan minor dengan membuang selaput tisu terbabit sahaja tetapi kini lebih canggih dengan kaedah baharu iaitu tidak perlu buang tisu sebaliknya hanya meletakkan haba panas pada tisu berkenaan. Jika dikesan seawal mungkin, boleh buat prosedur lebih mudah,” katanya.

GEJALA DAN RAWATAN KANSER SERVIKS

Mohamad Nasir berkata, kanser serviks adalah satu-satunya kanser yang boleh dicegah dengan vaksin berbanding kanser lain selain boleh dikesan lebih awal dan dirawat bagi mengelakkan prosedur pembedahan membuang rahim.

“Kanser serviks lebih cenderung berlaku kepada wanita yang aktif seksual sehingga berusia 65 tahun. Ujian saringan bagi mengesan sel kanser sebaiknya dilakukan oleh wanita berusia 35 tahun ke atas.

“Sekiranya keputusan ujian menunjukkan negatif, ujian yang sama perlu diulangi dalam tempoh setahun lagi. Jika masih negatif, buat setiap lima tahun sekali.

“Sayangnya di Malaysia, hanya 30 peratus sahaja wanita yang menjalani ujian saringan ini. Selebihnya tidak melakukan ujian saringan kerana takut. Cabaran utama adalah untuk memberikan kesedaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Gejala kanser serviks pada peringkat awal kebiasaannya tidak ketara tetapi pada peringkat yang lebih teruk, gejala boleh termasuk pendarahan luar biasa, keputihan berdarah atau berbau busuk, sakit pelvis dan sakit atau ketidakselesaan semasa hubungan seksual.

Pendarahan luar biasa termasuk berlaku pendarahan selepas hubungan seksual, antara kitaran haid atau selepas mengalami menopaus.

Sekiranya kanser sudah di peringkat lanjut, pesakit mungkin mengalami sakit belakang, bengkak kaki atau perubahan dalam tabiat buang air kecil dan besar.

Jika penyakit merebak ke nodus limfa, ia boleh menyebabkan sakit pada bahagian bawah belakang atau bengkak pada satu kaki.

Begitupun, kanser serviks boleh sembuh jika dikesan awal.

Rawatan bergantung kepada beberapa faktor dan tahap kanser.

Sekiranya sel kanser tidak menjalar atau merebak keluar dari pangkal rahim, rahim masih boleh diselamatkan dan tidak perlu dibuang.

“Sekiranya wanita terbabit masih muda, bahagian ovari atau kilang telur akan dibiarkan bagi membolehkan mereka hamil dan melahirkan zuriat di masa hadapan.

“Rawatan kedua adalah menjalani radioterapi atau kemoterapi bagi mengecutkan dan mematikan sel kanser. Rawatan kemoterapin dan radioterapi akan diberikan sekaligus jika kedua-dua sel kanser sudah berkembang,” katanya.

Pendarahan tanpa henti jejas kualiti hidup Sharifah

Sharifah Norul Huda Syed Akil, 38, disahkan mengalami kanser pangkal rahim pada tahun 2023 iaitu ketika usianya 35 tahun dan belum pernah berkahwin.

“Saya mengalami gejala pendarahan yang terlalu banyak. Sebelum ini, haid saya normal tetapi tiba-tiba darah terlalu banyak keluar tanpa henti sehingga kehilangan darah yang banyak dan muka menjadi pucat lesi.

“Risau dengan keadaan kesihatan, saya pergi ke hospital tetapi saya diberikan temu janji sebulan untuk berjumpa doktor. Disebabkan tempoh berkenaan terlalu lama dengan keadaan saya, saya datang ke HCTM UKM untuk menjalani pemeriksaan dan disahkan mengalami kanser pangkal rahim tahap tiga,” katanya.

Khabar duka itu sudah tentu menitiskan airmatanya apabila mengenangkan nasib diri yang berada di persimpangan hidup dan mati.

Setahunya, tiada ahli keluarganya pernah mengalami kanser itu atau kanser lain.

Namun, Guru Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) ini menarik nafas lega kerana rahimnya tidak perlu dibuang disebabkan sel kanser belum merebak ke organ peranakan itu.

Norul Huda hanya menjalani rawatan radioterapi sebanyak 25 kali, kemoterapi enam kali dan rawatan yang dijalaninya tamat pada Oktober tahun lalu.

“Kesan rawatan membuatkan saya rasa hilang semangat, tubuh terasa lemah, panas sehingga membuatkan saya rasa reda jika nyawa diambil.

“Walaupun sudah tamat rawatan, saya masih belum bebas daripada sel kanser. Saya masih menjalankan rawatan susulan dan pemeriksaan saringan seperti pap smear setiap tiga bulan sekali.

“Sebelum ini, saya memang pernah dengar mengenai pap smear tetapi saya tidak pernah menjalaninya kerana belum berkahwin. Saya baru mendirikan rumah tangga pada tahun lalu selepas habis menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi,” katanya.

Dia bersyukur kerana suami dapat menerima seadanya.
S

ebelum menerima lamaran suaminya, Norul Huda sudah memaklumkan kepada suami mengenai keadaan kesihatannya dan reda dengan sebarang keputusan.

Peluang untuknya hamil adalah 50-50 sahaja kerana rawatan laser boleh menjejaskan telur dalam ovari.

“Sebelum ini berat badan saya 78 kilogram (kg) tetapi kini tinggal 58 kg sahaja.

“Sepanjang rawatan, badan lemah tetapi saya tetap lawan dan kuatkan semangat untuk kembali sihat. Saya juga menjaga pemakanan.

“Saya bersyukur keluarga khususnya adik beradik dan kawan-kawan sentiasa memberi semangat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×