‘Tiada istilah pelapis, semua ada identiti sendiri’ - Utusan Malaysia

‘Tiada istilah pelapis, semua ada identiti sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyanyi terkenal yang sinonim dengan vokal emas penuh emosi, Anuar Zain, meluahkan pandangan jujurnya mengenai budaya dalam industri hiburan yang sering melabelkan bakat-bakat baharu sebagai pelapis kepada artis sedia ada.

Bagi penyanyi berusia 55 tahun ini, tanggapan sebegitu bukan sahaja kurang tepat, malah dari satu sudut, ia disifatkan mampu menjejaskan penghargaan terhadap keaslian serta keunikan seseorang artis yang sedang membina nama.

Menurut Anuar, setiap insan yang melibatkan diri dalam dunia seni mempunyai identiti tersendiri yang tidak wajar dibandingkan dengan mana-mana individu lain.

Katanya, konsep ‘pelapis’ seolah-olah meletakkan penyanyi baharu di bawah bayangan artis terdahulu, sedangkan setiap bakat mempunyai perjalanan dan warna seni yang berbeza.

“Saya tak percaya bila orang kata, ‘oh ini pelapis kepada si polan’. Tak wujud benda begitu. Setiap orang lahir dengan karakter berbeza, ton suara berbeza, warna dan pengaruh muzik yang berbeza.

“Mungkin ada sedikit pengaruh daripada artis lain, tapi akhirnya dia tetap diri dia sendiri.

“Sebab itu saya selalu rasa kurang selesa mendengarnya. Apabila cakap mereka adalah pelapis itu, kita takut orang fikir tentang ego.

“Contoh kata, ‘oh dia ini adalah pelapis kepada Anuar Zain’. Mungkin akan ada orang fikir yang lain dan dia akan kata ‘egonya Anuar Zain, dia ingat dia siapa?’.

“Jadi kita tak nak benda macam itu, takut orang fikir macam kita yang nak sangat hal itu,” ujarnya.

Bagi Anuar, setiap penyanyi wajar dihormati berdasarkan keunikan mereka sendiri tanpa perlu dibandingkan dengan mana-mana artis lain.

Malah, Anuar menegaskan bahawa dalam industri seni, tiada siapa yang lebih tinggi atau rendah kedudukannya kerana semuanya berkongsi tujuan yang sama iaitu mencari rezeki melalui minat dan bakat.

“Kalau tanya saya, semua sama sahaja. Tak kira dah 40 atau 50 tahun menyanyi, atau baru setahun dua masuk industri, semua di tahap yang sama. Kita semua cari rezeki, cari makan dalam bidang ini.

“Tak perlu guna istilah pelapis. Setiap orang harus dihormati dengan cara dan keunikan masing-masing. Sama juga macam wartawan, setiap penulis ada gaya tersendiri. Cara mereka menulis pun berbeza. Semua orang ada identiti,”katanya lagi.

Bawa aura positif
Dalam pada itu,berkongsi mengenai penganjuran konsert Empat Live in Kuala Lumpur pada 18 Oktober ini di Mega Star Arena, Anuar sempat menyeru agar peminat-peminat yang datang ke konsert itu nanti dapat membawa semangat positif, tanpa membanding-bandingkan persembahan antara barisan artis yang terlibat.

Sedar bahawa mungkin akan ada yang menganggap konsert berkenaan sebagai satu pentas persembahan ‘anak-beranak’, bagi Anuar, ia jauh sama sekali dilihat sebagai satu medan pertandingan.

“Sebelum konsert berlangsung pun, saya dah beritahu kepada kakak saya, Ziana Zain serta anak buah saya, Ernie Zakri dan Syamel supaya ikut cara masing-masing, buat dengan penuh keikhlasan.

“Ini masa untuk tunjukkan kebolehan sendiri. Tak perlu nak buktikan apa-apa. Tak ada siapa nak dibandingkan dengan siapa. Kita semua datang untuk berkongsi seni dan menikmati persembahan.

“Kami mahu wujudkan semangat perpaduan antara peminat. Jangan fikir ini peminat siapa, itu peminat siapa. Kita mahu semua bersatu dan saling menyokong. Bila peminat bersatu, industri muzik pun akan jadi lebih indah dan maju,” katanya penuh semangat.

Dalam masa yang sama, Anuar turut menasihatkan peminat supaya tidak meninggalkan komen negatif di media sosial yang boleh menjejaskan keharmonian dalam industri seni tanah air.

“Jangan tulis atau ucapkan perkara yang buruk. Elakkan komen negatif. Sekarang ini perkara sebegitu semakin menjadi-jadi.

“Kita mahu tenaga yang positif sahaja. Dunia seni ini sepatutnya dinikmati dengan keindahan, bukan dijadikan tempat untuk membanding atau menjatuhkan,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN