Semarak Maulidur Rasul, merdeka di Ihya’ Ulumuddin

Semarak Maulidur Rasul, merdeka di Ihya’ Ulumuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN Maulidur Rasul dan Hari Kemerdekaan kali keenam yang berlangsung di Madrasah Ihya’ Ulumuddin (MIU), Kampung Berangan, Selising, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini, bukan sekadar acara keraian semata-mata, tetapi bukti nyata peranan pondok sebagai benteng masyarakat, pencetus cinta rasul serta pemangkin semangat cintakan watan.

Lebih 1,000 penduduk dari Kampung Berangan, Lepah, Jenerih, Banggol Pak Esah, Banggol Setol dan Sungai Durian hadir memeriahkan perarakan penuh warna-warni sejauh dua kilometer sambil berselawat serta mengibarkan Jalur Gemilang.

Malah, lebih 60 sepanduk bertemakan Maulidur Rasul dikibarkan tanda kecintaan masyarakat terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, disusuli dengan laungan selawat.

Sambutan kali ini lebih istimewa kerana bertepatan dengan ulang tahun sedekad penubuhan MIU yang bermula pada 2015 sebagai sebuah pondok tradisional sebelum berkembang menjadi institusi moden berteraskan pengajian kitab turath dan tahfiz al-Quran.

Mudirnya, Mohd. Khairudee Mohd. Alwi berkata, peranan pondok bukan sahaja sebagai pusat ilmu agama, malah institusi sosial yang mampu menyatukan masyarakat.

“Alhamdulillah, MIU kini diiktiraf sebagai Pondok Inspirasi Terbaik Kelantan selain pernah menerima kunjungan ulama dan tokoh pendidikan serta penulis luar negara dari Jepun, Hong Kong, Thailand dan Singapura.

“Dengan kekuatan seramai 57 pelajar, 61 warga emas serta 11 tenaga pengajar dan petugas, MIU terbukti hidup sebagai pondok komuniti yang membimbing ummah melalui pendidikan, ibadah dan kebajikan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd. Khairudee berkata, pihak madrasah menganjurkan enam acara utama iaitu bercerita, pakaian beragam, deklamasi sajak, basikal berhias, pertandingan menghias pondok penginapan serta persembahan khas tahfiz bagi memeriahkan sambutan yang diadakan selama tiga hari itu.

Katanya, pertandingan bercerita dan sajak menekankan tema Cinta Rasul dan Kemerdekaan, bagi mendidik generasi muda menyampaikan mesej dakwah dengan bahasa seni indah.

Manakala, pertandingan basikal berhias dan pakaian beragam pula membolehkan kanak-kanak mengekspresikan kreativiti dalam bentuk visual dan simbolik yang masih berpaksikan syariat Islam.

“Pertandingan sebegini bukan sekadar hiburan, tetapi sarana pendidikan, bagaimana nilai cinta Rasul, syukur nikmat kemerdekaan dan semangat patriotisme diterapkan melalui kreativiti seni, syair dan penampilan diri,” jelasnya.

Mohd. Khairudee berkata, penganjuran sambutan Hari Kebangsaan seharusnya disemarakkan di semua pondok sebagai kesinambungan tradisi institusi itu yang bukan sekadar medan menimba ilmu agama, tetapi juga pusat mencetuskan kebangkitan umat menentang penjajah suatu ketika dahulu.

Katanya, sejarah membuktikan ulama pondok seperti Tok Janggut di Kelantan, Tok Kenali di Kubang Kerian, Haji Abdul Rahman Limbong serta Tok Ku Paloh di Terengganu telah meniupkan semangat jihad menentang penjajahan.

“Dalam kalangan mereka ada yang syahid di medan perjuangan, dibuang negeri dan berjaya mendidik generasi pejuang menerusi pena, kuliah serta tulisan dalam majalah agama.

“Perjuangan mereka adalah saksi agama dan watan tidak boleh dipisahkan. Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini tidak lahir tanpa pengorbanan darah, air mata dan doa ulama terdahulu,” katanya.

Kini, katanya, setelah lebih 60 tahun merdeka, perjuangan mengangkat senjata tidak lagi relevan, sebaliknya peranan ulama, guru pondok dan madrasah amat penting bagi memelihara aqidah, membina kekuatan ilmu serta mempertahankan jati diri bangsa.

“Generasi muda mesti diberi kefahaman erti kemerdekaan sebenar sejak awal persekolahan agar mereka mensyukuri keamanan dan kemakmuran negara. Pondok adalah wadah terbaik untuk mendidik mereka kerana di sinilah roh agama, ummah dan watan dipupuk sekali gus.”katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Khairudee berkata, pelbagai aktiviti berterusan di MIU seperti kursus jahitan, latihan Madani, penulisan e-book warga emas serta kembara mahabbah membuktikan bahawa pondok bukan lagi institusi tertutup, tetapi terbuka mendidik masyarakat dengan pendekatan kontemporari.

Katanya, program-program yang dirancangkan termasuk sambutan Aidiftri dan Aidiladha yang berlangsung setiap tahun menzahirkan semangat pondok bukan sahaja menjaga agama, malah memajukan potensi insan dalam pelbagai bidang.

“Sambutan dwi-acara ini memberi mesej agama dan kemerdekaan saling melengkapi.

“Cinta rasul melahirkan umat yang taat, manakala semangat merdeka menyuburkan jiwa patriotik. Tanpa iman, kemerdekaan kosong. Tanpa kemerdekaan, agama terhimpit.

“Justeru, masyarakat diseru menghormati ulama, mendukung pondok sebagai institusi ilmu dan mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan ulama terdahulu. Semoga roh Maulidur Rasul dan nikmat kemerdekaan terus berakar dalam jiwa setiap umat Islam, khasnya generasi muda – kerana pada akhirnya, agama, bangsa dan tanah air adalah tiga tiang seri yang mesti dipertahankan agar umat tidak rapuh menghadapi cabaran zaman,” tegasnya.

Sementara itu, seorang pelajar tahfiz, Muhammad Syahmin Mohd. Noor, 22, menyifatkan penglibatan dalam program ini sebagai pendidikan luar dewan pembelajaran yang memerlukan penghayatan untuk mencintai Rasulullah SAW.

Katanya, semangat patriotisme menyambut tanggal keramat 31 Ogos setiap tahun menjadi tradisi dalam kalangan pelajar pondok untuk merayakan secara bersendirian selain memeriahkan program yang ditetapkan pihak pengurusan.

“Jadual kami biasanya penuh dengan pengajian kitab dan hafazan al-Quran. Tetapi setiap kali bulan kemerdekaan, kami dilatih menghayati erti syukur atas nikmat kemerdekaan yang diwariskan pejuang terdahulu. Ia memberi kesedaran bahawa ilmu dan keamanan saling berkait rapat,” katanya.

Bagi Muhammad Naqib Mukhriz Nasarudin, 16, pula, sambutan ini wajar diteruskan setiap tahun kerana generasi pondok juga perlu memahami sejarah perjuangan kemerdekaan.

“Kami teruja kerana ramai pelajar dapat turut serta untuk mendeklamasi puisi dan sajak sambil disaksikan penduduk dan ibu bapa masing-masing.

“Program hebat seumpama ini perlu diteruskan di masa akan datang selaras dengan tuntutan agama Islam agar umatnya mencintai watan. Bagi kami anak pondok, cinta tanah air dan cinta rasul tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN