Pusat derma mayat atasi kekurangan sumber

Pusat derma mayat atasi kekurangan sumber

sultan Nazrin Muizzudin Shah bersama penerima Geran Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Impiannya mungkin kedengaran aneh iaitu untuk membina pusat mayat atau Pusat Kadaver Kebangsaan bagi membolehkan orang ramai menderma mayat sekaligus membantu pelajar dan siswazah perubatan mengkaji mayat.

Namun, bagi Pensyarah Perubatan Pelatih, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rasyidah Rehir,32, pusat berkenaan penting dalam transformasi latihan perubatan melalui Pendermaan Tubuh dan Pemeliharaan Kadaver Lanjutan.

Katanya, siswazah berdepan isu kekurangan mayat dan hanya bergantung kepada mayat yang tidak dituntut untuk tujuan pembedahan dan pembelajaran anatomi.

“Pasca siswazah susah hendak mempraktikkan pembedahan tanpa mayat. Kita boleh meminta pelajar baca sahaja daripada buku tetapi sebenarnya banyak terminologi perlu difahami. Sukar jika mereka tidak lihat sendiri apa yang ada dalam badan. Tidak dinafikan, ada bantuan kecerdasan bantuan (AI) tapi mayat sebenar lebih membantu.

“Pusat ini akan menjadi hab kadaver. Mayat-mayat yang tidak dituntut akan ditempatkan di situ. Buat masa ini, kita hanya dapat satu mayat, setiap tahun. Mayat ini tidak dituntut oleh waris.

“Malah, program pendermaan badan belum pernah dibuat di Malaysia,” katanya yang bertugas mendidik pelajar perubatan anatomi mayat.

Katanya, pusat mayat berkenaan juga akan menggunakan teknik pengawetan baharu.

Ia berbeza dengan teknik pengawetan sedia ada yang menggunakan formalin iaitu bahan kimia toksik yang menyebabkan siswazah berasa lemas dan sesak nafas.

Kelebihannya, tekstur mayat boleh kekal daripada segi warna selain selamat untuk siswazah.

Dr. Rasyidah berkata demikian pada majlis Amanah Anugerah Merdeka PETRONAS dan Shell 2025.

Beliau antara lima penyelidik tempatan yang menerima Geran Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa 2025 yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut hadir,Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS,merangkap ahli Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Anugerah Merdeka,Tan Sri Tengku Muhammad Taufik dan Pengerusi Shell Country, Siti Hurrairah Sulaiman.

Geran itu membolehkan penerima menjalankan pelbagai penyelidikan saintifik di institusi penyelidikan terkenal di luar negara.

Bagi Dr. Rasyidah, dia bercadang ke Thiel Cadaveric Facility di Dundee, Scotland, United Kingdom, Graz University, Graz, Austria dan berkemungkinan ke Prince of Songkhla University, Thailand.

Penerima lain adalah Pensyarah Sekolah Farmasi Universiti Monash Malaysi, Dinesh Sangarran Ramachandram, Penyelidik PhD, Universiti Malaysia Terengganu (UMT),Keisheni Ganeson, Penyelidik PhD, Hospital

Pakar Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Hafizah Annezah Utuh dan Pengasas dan Presiden, United For Global Antimicrobial Stewardship (UGAS),Calvin Shee Yin Ming.

SOKONGAN UNTUK PESAKIT DEMENSIA

Pensyarah Sekolah Farmasi Universiti Monash Malaysia, Dinesh Sangarran Ramachandram,32, berhasrat memajukan penjagaan demensia di Malaysia melalui pendidikan yang sesuai dengan budaya dan penyediaan alat praktikal perubatan.

Dinesh berkata, ketika ini, sokongan dan penjagaan untuk pesakit demensia di negara ini masih belum setaraf negara maju seperti United Kingdom (UK) yang membuat penyelidikan di bandar, manakala di Kanada, memiliki institut penyelidikan di luar bandar.

“Berbeza dengan negara kita, belum ada sistem yang standard menangani isu demensia terutama di luar bandar menyebabkan ramai yang tidak mahu mendapatkan rawatan disebabkan salah tanggapan bahawa penyakit itu berpunca daripada penuaan.

“Kursus yang saya bina sebelum ini adalah hasil kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membina kesedaran generasi muda mengenai Alzheimer. Kursus dibina untuk semua pihak yang terbabit dalam demensia dan saya turut membangunkan satu kit bagi menjalankan rawatan yang boleh dirujuk menggunakan integrasi doktor dan jururawat,” katanya.

Projek beliau tertumpu kepada pembangunan yang menggabungkan pendidikan, kesedaran dan pengurusan ubat bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai demensia serta memastikan pesakit dan penjaga menerima sokongan lebih sistematik.

Bagi merealisasikan impiannya, Dinesh menjalinkan kerjasama antarabangsa dengan University of Sheffield, UK untuk membangunkan model penjagaan dalam persekitaran bandar, manakala kerjasama dengan University of Saskatchewan (USASK), Kanada pula memberi tumpuan kepada pendekatan di kawasan luar bandar.

“Melalui gabungan kepakaran ini, saya dapat membawa pulang pendekatan holistik yang sesuai untuk konteks Malaysia, meliputi kedua-dua komuniti bandar dan luar bandar.

“Projek ini bukan sahaja menghasilkan toolkit tetapi pembangunan kursus kelayakan mikro yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak berkepentingan iaitu daripada penjaga, sukarelawan, pengamal kesihatan hingga pembuat dasar.

“Saya mahu menjadikan kursus dan toolkit ini sebagai alat praktikal di setiap isi rumah Malaysia,” katanya.

JARUM MIKRO BUNGA TELANG

Penyelidik PhD (UMT), Keisheni Ganeson,30, pula akan meneruskan penyelidikannya dalam pembangunan Tampalan Jarum Mikro Pintar Biodegradasi menggunakan bunga telang untuk merawat luka.

“Projek saya berkenaan pembangunan tampalan jarum mikro pintar yang diperbuat daripada bunga telang. Tampalan ini boleh larut dalam kulit untuk menyalurkan ubat tanpa rasa sakit dan pada masa sama berfungsi sebagai sensor pH untuk memantau perubahan dalam badan.

Ia menyasarkan jangkitan atau menggalakkan penyembuhan. Selain itu, nanopartikel bunga telang dalam tampalan bertindak balas terhadap perubahan pH luka. Jika terdapat jangkitan, pH berubah dan tampalan bertukar warna, memberikan isyarat yang boleh dilihat kepada pengguna atau penjaga.

“Matlamat saya ialah untuk menjadikan rawatan lebih mudah, mesra pesakit dan mampu milik dengan menggunakan sumber semula jadi tempatan.

“Penemuan saya menggunakan bunga telang lahir daripada kecintaan kepada negara, kepada biodiversiti tempatan dan kepada tradisi kita. Dengan pengiktirafan daripada Merdeka Award Trust, saya ingin membawa warisan ini ke peringkat global sebagai sesuatu yang membanggakan Malaysia,” katanya.

Keisheni melanjutkan pelajaran selama sembilan tahun di UMT dan di sana, dia mengakui sangat rapat dengan budaya dan makanan tradisi, termasuk nasi kerabu dan bunga telang.

Baginya, makanan adalah lambang perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Peluang daripada pengiktirafan itu akan memberinya peluang untuk menyumbang kepada masyarakat di negara ini melalui inovasi kesihatan yang lebih mudah dicapai.

“Dengan platform seperti Merdeka Award Trust, anak muda seperti saya diberi peluang untuk bukan sahaja mencintai negara dengan kata-kata tetapi menyumbang dengan hasil kerja dan inovasi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

UBAT JANTUNG BERPANDUKAN DNA

Penyelidik PhD, Hospital Pakar USM, Nur Hafizah Annezah Utuh,25, menjalankan penyelidikan mengenai ubat jantung berpandukan DNA untuk rawatan peribadi bagi meningkatkan hasil rawatan penyakit jantung.

“Saya menjalankan kajian dalam bidang farmakogenomik untuk pengurusan ubat jantung selepas prosedur angio (PCI). Penemuan ini bertujuan menyesuaikan rawatan mengikut profil genetik rakyat Malaysia. Ini berikutan tidak semua pesakit sesuai dengan PCI dan tidak menerima kesan yang diharapkan.

“Ini adalah sumbangan langsung saya kepada sistem kesihatan negara. Ini cara saya menzahirkan rasa cinta kepada tanah air melalui sains.

“Peluang yang diberikan ini akan saya manfaatkan untuk menimba ilmu di Erasmus Medical Centre, Netherland. Pusat perubatan ini mempunyai kumpulan penyelidik yang aktif dalam menterjemah kajian genetik kepada rutin klinikal,” katanya.

Nur Hafizah Annezah juga berharap menghasilkan garis panduan mengaplikasikan farmakogenetik dalam pengurusan penyakit jantung di Malaysia, yang akhirnya boleh digunapakai untuk penyakit lain.

“Saya bangga dengan semangat perpaduan dan daya saing rakyat negara ini walaupun lahir dengan latar belakang berbeza,” katanya.

Kaji kehebatan jus periuk kera

Keunikan periuk kera menarik perhatian Calvin Shee Yin Ming, 24, untuk menjalankan kajian mengenai bakteria dalam jus tumbuhan itu.

Katanya, ia mengandungi bakteria seperti dalam usus manusia iaitu probiotik untuk menghadam makanan.

“Dalam periuk kera, jus yang mengandungi bahan kimia kompleks itu digunakan untuk menghadam serangga. Kami mahu melihat keupayaan bakteria ini untuk memecahkan bahan kimia ini.

“Kajian itu juga akan melihat interaksi dalam jus periuk kera apabila serangga jatuh ke dalam jus ini, bakteria dari usus serangga akan dikeluarkan. Ada bakteria baik dan tidak baik untuk tumbuhan. Dalam jus periuk kera, boleh hapuskan bakteria tidak baik untuk tumbuhan. Jadi, bakteria baik akan kekal,” katanya.

Katanya, kajian juga melihat sama ada bakteria ini mempunyai keupayaan untuk memecahkan daun kelapa sawit dan biji kelapa sawit untuk ditukar menjadi gula. Ini selaras dengan usaha Petronas dalam menggunakan sisa terbuang pokok kelapa sawit seperti daun dan biji untuk ditukar menjadi biodiesel.

Katanya, setiap penemuan dalam bidang mikrobiologi dan rintangan antimikrobial (AMR) adalah didorong oleh keinginannya untuk menyumbang kepada kesihatan awam Malaysia. Dengan membangunkan penyelidikan yang boleh melindungi rakyat daripada ancaman penyakit berjangkit, Calvin melihat sains sebagai satu bentuk cinta kepada negara dalam menjaga keselamatan dan masa hadapan generasi seterusnya.

Calvin yang memilih Centre National de la Recherche Scientifique (CNRS), Perancis selepas menerima geran berkenaan, berbangga dengan kekayaan biodiversiti Malaysia, daripada hutan hujan tropika hingga ke mikroorganisma unik dalam ekosistem seperti Nepenthes.

“Biodiversiti ini bukan sahaja warisan alam semula jadi tetapi aset bioteknologi yang boleh menjadikan Malaysia peneraju dalam penemuan saintifik global.

“Selain itu, kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat adalah kekuatan yang menjadikan negara kita unik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×