Masalah kulit bawah lengan yang gelap atau berkarat sering menjadi punca ramai wanita berasa malu dan hilang keyakinan diri.
Keadaan ini sebenarnya bukan disebabkan oleh kotoran atau kekurangan penjagaan diri, sebaliknya berpunca daripada faktor biologi dan kesihatan kulit.
Doktor dan Penasihat Kesihatan Wanita, Dr. Nurul A’in Sa’ari berkata, masalah ini dinamakan sebagai hiperpigmentasi ketiak iaitu peningkatan penghasilan melanin dalam kulit.
Ketiak hitam muncul apabila kulit mengalami iritasi atau keradangan kronik.
Keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan deodoran yang tidak sesuai, kaedah mencukur yang salah, hormon, genetik serta masalah dalaman seperti rintangan insulin dan obesiti.
“Apabila kulit kerap bergesel atau terdedah kepada bahan kimia, ia akan merangsang sel pigmen (melanosit) menghasilkan lebih banyak melanin sebagai perlindungan sehingga menyebabkan ia menjadi gelap,” katanya.
Selain produk, makanan tinggi gula juga boleh menyebabkan rintangan insulin sehingga mencetuskan masalah kulit gelap di ketiak.
Tambahnya, wanita lebih berisiko memiliki ketiak gelap berbanding lelaki kerana lebih kerap mencukur, memakai pakaian ketat dan mengalami perubahan hormon.
Cara mencukur yang salah seperti penggunaan pisau tumpul atau tanpa krim pencukur akan menyebabkan trauma mikro pada kulit dan menghasilkan lebih banyak pigmen gelap.
Selain itu, penggunaan deodoran yang mengandungi alkohol, pewangi sintetik, dan garam aluminium turut menyumbang kepada iritasi dan keradangan kulit.
Sebaliknya, pilihlah deodoran yang mengandungi bahan menenangkan seperti Aloe Vera atau Niacinamide.
“Kalau warna gelapnya tebal dan pekat, itu boleh jadi tanda awal Acanthosis Nigricans (AN), iaitu keadaan yang berkait dengan masalah hormon seperti PCOS atau diabetes. Dalam kes begini, pemeriksaan doktor amat penting,” katanya.
RAWATAN LASER
Kini, terdapat banyak pilihan rawatan moden di klinik estetik yang selamat dan berkesan untuk mencerahkan bahagian bawah lengan.
Antaranya, laser pencerahan seperti Q-Switched atau Pico Laser dengan anggaran harga sekitar RM 250 hingga RM 800 per sesi.
Rawatan ini bertujuan untuk pecahkan melanin dalam kulit tanpa merosakkan lapisan luar.
Selain itu, rawatan yang menggunakan asid laktik dan glikolik bertujuan untuk mengelupaskan lapisan kulit mati yang gelap di permukaan kulit boleh didapati dengan harga sekitar RM 150 hingga RM 450 bagi setiap sesi.
Penggunaan krim pencerah yang mengandungi Retinoids, Niacinamide, Arbutin, Licorice Root Extract atau Vitamin C juga dapat membantu mengatasi masalah ini.
Namun, ramai menyangka rawatan moden pada bawah lengan akan memberikan kesan sampingan.
Sebenarnya, ia selamat jika dilakukan oleh doktor bertauliah.
Bagi yang mahu mencuba kaedah semula jadi, minyak kelapa dan gel aloe vera boleh membantu melembapkan dan mengurangkan iritasi.
Begitupun, keberkesanannya lebih perlahan berbanding rawatan moden dan memakan masa hampir tiga hingga enam bulan penggunaan konsisten untuk menampakkan hasil.
Pengambilan Vitamin C, Glutathione, Omega-3 dan makanan tinggi antioksidan seperti buah beri dan sayur hijau dapat membantu melindungi sel kulit daripada keradangan dan mengurangkan pigmentasi.
LANGKAH PENCERAHAN
Terdapat tiga langkah asas yang boleh membantu mengekalkan kulit bawah lengan menjadi cerah dan sihat.
Pertama, gunakan sabun badan lembut dan pastikan kulit benar-benar kering selepas mandi.
Kedua, pengelupasan lembut dua hingga tiga kali seminggu dengan skrub atau toner AHA/BHA untuk buang sel kulit mati.
Ketiga, sapukan pelembap dan serum pencerah seperti Niacinamide atau Arbutin setiap hari.
Justeru, isu ‘karat’ bawah lengan bukan sekadar tentang penampilan, tetapi juga tentang kesihatan dan kefahaman diri.
Kulit bawah lengan yang gelap bukan semata-mata masalah kosmetik, tetapi cerminan gaya hidup, hormon dan penjagaan diri.
Berbekalkan rawatan profesional, pemakanan sihat dan penjagaan yang konsisten, wanita bukan sahaja boleh mendapatkan kulit yang lebih cerah, tetapi juga keyakinan diri yang lebih kuat.
KESILAPAN UMUM
Ramai beranggapan kulit bawah lengan akan cepat cerah jika digosok kuat setiap hari.
Hakikatnya, semakin kuat digosok, semakin tinggi risiko kulit menjadi lebih gelap akibat keradangan.
Kesilapan lain yang sering dilakukan ialah menggunakan bahan pencerah terlalu kuat atau tidak sesuai dengan jenis kulit.
Sebagai contoh, jika punca gelap ialah disebabkan Acanthosis Nigricans, krim semata-mata tidak akan membantu.
Ia perlu dirawat dari dalam melalui kawalan berat badan dan paras gula.
Oleh itu, penting mendapatkan nasihat doktor bagi mengenal pasti punca sebenar sebelum mencuba sebarang rawatan di rumah untuk mendapatkan kesan yang lebih efektif.-UTUSAN










