Hukum-hakam berkaitan kubur

Hukum-hakam berkaitan kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Madinah tidak pernah sunyi daripada 1,001 kisah yang menggamit kenangan umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW.

Sebahagian pihak cepat membuat tuduhan kepada golongan tarikat dan tasaud sebagai Kuburiyyun yang ditafsirkan sebagai penyembah kubur.

Tuduhan ini disebabkan kesalahan dalam memahami sebahagian hukum-hakam berkaitan kubur sehingga para penziarah kubur para wali ditohmah sebagai penyembah kubur.

Kali ini saya kongsikan isi tulisan seorang ilmuan Islam dari Arab Saudi iaitu Almarhum Dr. Umar Abdullah al-Kamil menerusi kitab berjudul al-Insof Fi Ma Uthira Hawlahu al-Khilaf.

 

Syarak membenarkan berdoa di sisi kubur

Dr. Umar Abdullah al-Kamil dalam bab ke-18 kitab di atas membahaskan hukum-hakam berkaitan kubur.

Katanya, banyak sekali dalil yang menunjukkan tidak mengapa berdoa di sisi kubur.

Beliau memulakan dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dan al-Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW mengajar Saidatina ‘Aishah mengucapkan sebutan ini semasa menziarahi Perkuburan al-Baqi‘:

“Salam sejahtera buat penduduk rumah-rumah [di perkuburan ini] yang terdiri daripada para mukmin dan para muslim. [Semoga] Allah merahmati orang-orang yang terdahulu daripada kami dan orang-orang yang terkemudian. Sesungguhnya kami dengan izin Allah akan menyusuli kalian.”

Al-Imam al-Tirmidzi meriwayatkan: Daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: Rasulullah SAW melalui kubur di al-Madinah lalu baginda menghadapkan wajah ke arah mereka [yang dikebumikan di kubur tersebut]. Maka baginda pun bersabda: “Salam sejahtera buat kalian wahai penduduk kubur. [Semoga] Allah mengampunkan buat kami dan buat kalian. Kalian adalah orang yang mendahului kami dan kami pula adalah menyusuli [kalian].”

Selain itu, Almarhum Dr. Umar Abdullah al-Kamil turut menyatakan firman Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menggalakkan kita berdoa adalah dalil yang berstatus umum.

Dalil-dalil tersebut sama sekali tidak melarang kita berdoa sewaktu berada di kuburan.

Antaranya adalah ayat ke-60 daripada surah Ghafir yang bermaksud: “Kalian bermohonlah kepada-Ku. Nescaya Daku akan mengabulkan buat kalian.”

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud dan al-Tirmidzi bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Doa adalah ibadah.”

Oleh kerana tiada sebarang tegahan syarak, ini bermakna tidak ada salahnya seseorang berdoa di kubur. Sekiranya tindakan berdoa di kubur diharamkan syarak, pasti larangan ini dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya.

 

Mustajab doa di lokasi berkat
Al-Imam Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Yusuf al-Jazariyy (lahir pada 751 hijrah dan wafat pada 833 hijrah) menyebut dalam kitabnya ‘Uddah al-Hisn al-Hasin mengenai lokasi-lokasi berkat yang membawa kepada penerimaan doa.

Kenyataan ini dijelaskan oleh al-Imam al-Shawkani dalam kitabnya, Tuhfah al-Dzakirin Bi ‘Uddah al-Hisn al-Hasin bahawa lokasi-lokasi diberkati mempunyai nilai khusus yang lebih.

Bahkan, kadang-kadang lokasi-lokasi ini mempunyai kemuliaan dan keberkatan yang akan kembali kepada orang yang berdoa di lokasi-lokasi tersebut.

Al-Imam al-Syawkani turut mendatangkan hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: “Mereka adalah satu kaum yang tidak akan rugi sesiapa pun yang duduk bersama mereka.”

Menurut al-Imam al-Syawkani lagi, tidak pelik jika tempat-tempat diberkati juga seperti ini lalu orang yang berdoa kepada Allah di situ diselubungi dengan keberkatan yang dijadikan oleh Allah berada pada tempat tersebut.

Akhirnya orang yang berdoa di situ tidak akan rugi kerana doanya dimakbulkan Allah SWT.

Al-Imam al-Dzahabi (wafat pada 748 hijrah) saat membicarakan ketokohan al-Imam Ma‘ruf al-Karkhiyy dalam kitabnya Siyar A‘lam al-Nubala’ berkata: “Daripada Ibrahim al-Harbiyy, beliau telah berkata: Kubur

Ma‘ruf adalah merupakan penawar yang telah dibuktikan secara pengalaman. Beliau ingin menyatakan bahawa doa orang yang terdesak di sisi kubur Ma‘ruf adalah mustajab kerana tempat-tempat yang diberkati adalah tempat yang mustajab doa.

“Begitu juga doa saat waktu sahur adalah diharapkan [akan dimakbulkan. Begitu juga doa] selepas solat fardu dan di masjid. Bahkan doa orang yang terdesak adalah mustajab di mana sahaja. Ya Allah. Sesungguhnya saya adalah orang yang terdesak kepada keampunan. Maka ampunkanlah saya.”

Menurut guru saya, Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy, doa di kubur orang-orang soleh adalah mustajab.

Ini kerana kubur mereka adalah taman-taman syurga dan segala permintaan penduduk syurga adalah dikabulkan Allah berdasarkan firman dalam surah al-Syura ayat ke-22 yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan beramal soleh berada di dalam taman-taman syurga. Bagi mereka apa sahaja yang mereka inginkan di sisi tuhan mereka. Itu adalah lebihan yang besar.”

Maka apabila seseorang berdoa kepada Allah di sisi kuburan orang-orang soleh, doanya dengan izin Allah akan diterima apabila wali Allah yang dikebumikan di situ mengaminkan doanya

 

Ulama hadis silam turut berdoa di kubur
Al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Tahdzib al-Tahdzib menceritakan bahawa al-Imam Abu Bakr: Muhammad bin al-Muammal bin al-Hasan bin Isa berkata: “Kami telah keluar bersama-sama imam bagi ulama hadith iaitu Abu Bakr Ibnu Khuzaymah. Biras beliau yang bernama Abu ‘Aliyy al-Thaqofiyy juga telah keluar bersama-sama dengan sekumpulan para guru kami yang masih ramai ketika itu. Kami telah pergi menziarahi kubur ‘Aliyy bin Musa al-Ri-dho di Tus.”

Al-Imam Abu Bakr: Muhammad bin al-Muammal berkata: “Maka saya telah melihat Ibnu Khuzaymah begitu memuliakan, merendah diri dan berdoa di kuburan tersebut sehingga tindakan beliau itu menghairankan kami.”

Al-Imam Ibnu Hibban yang wafat pada tahun 354 hijrah dalam kitabnya, al-Thiqot menceritakan pengalaman peribadi sewaktu menziarahi kubur al-Imam ‘Ali bin Musa al-Ridha di Tus dengan berkata: “Kubur beliau terletak di Sanabadz di luar al-Nuqon. Kubur itu masyhur yang diziarahi.

“Ia berada bersebelahan dengan kubur al-Rosyid. Saya telah menziarahi kubur itu (kubur al-Imam ‘Ali bin Musa al-Ridha) berulang kali.”

Tidak pernah saya ditimpa sebarang kepayahan sewaktu berada di Tus lalu saya menziarahi kubur ‘Ali bin Musa al-Ridha.

Lalu saya berdoa kepada Allah [di sisi kubur beliau] agar menghilangkan kepayahan itu daripada saya kecuali doa dimakbulkan dan kepayahan itu pun hilang.

Ini adalah satu perkara yang saya sudah cuba berulang kali lalu mendapatinya seperti itu (iaitu berdoa di kubur beliau adalah mustajab).

Semoga Allah mematikan kami dalam kecintaan kepada al-Mustofa dan ahli keluarga baginda-semoga Allah berselawat kepada baginda dan kepada mereka seluruhnya. (bersambung).

-PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN