MEMILIKI bibir yang mungil, sihat dan kemerahan sememangnya menjadi impian setiap wanita.
Namun, tidak semua bernasib baik kerana ramai berdepan masalah bibir kusam dan gelap akibat faktor gaya hidup serta penjagaan yang tidak sesuai.
Pakar estetik, Dr. Syairah Nadia Mohamad berkata, pemakaian gincu murah tanpa jenama turut menyumbang kepada masalah itu.
Ini kerana produk-produk tersebut berkemungkinan mengandungi bahan kimia berbahaya seperti plumbum dan pewarna sintetik.
Dalam jangka panjang, ia boleh merengsakan kulit bibir dan mencetuskan pigmentasi.
“Sebaiknya pilih produk yang mengandungi bahan semula jadi dan bebas paraben,” katanya baru-baru ini.
Katanya, pendedahan berterusan kepada sinaran ultrviolet (UV) juga boleh menyebabkan bibir berubah warna.
Justeru, amalan pemakaian pelembap bibir dengan SPF perlu dimasukkan dalam rutin harian.
Kongsinya lagi, bibir kusam boleh berpunca akibat masalah kulit seperti ekzema kronik.
“Ada pesakit menyangka bibir mereka sekadar kering biasa, sedangkan ia sebenarnya adalah ekzema kronik yang menyebabkan keradangan berpanjangan, pedih dan merekah.
“Bila proses keradangan terlalu lama, ia turut meninggalkan kesan gelap pada bibir,” kata pengasas Radiant Clinique ini.
Rawatan
Kini, rona merah semula jadi bibir dapat dikembalikan menerusi rawatan laser yang selamat dan berkesan.
Rawatan ini membantu mencerah dan memulihkan warna bibir agar kelihatan lebih lembut serta sihat.
Anggaran kos adalah dari RM100 hingga RM500, melibatkan beberapa sesi bergantung kepada keadaan bibir individu.
“Semakin tebal pigmen pada bibir, sudah tentu lagi banyak sesi yang diperlukan. Jika tidak terlalu gelap, lima kali rawatan sahaja sudah memadai,” katanya.
Selain rawatan moden, seseorang boleh mendapatkan bibir yang merah dan sihat dengan memastikan bahagian itu kekal lembap.
Kaedahnya dengan minum banyak air kosong dan mengelakkan pengambilan kafein berlebihan yang menyebabkan bibir cepat kering serta merekah.
Gunakan pelembap bibir yang mengandungi bahan seperti gliserin, asid hialuronik, ceramide atau shea butter dengan SPF sekurang-kurangnya 30 bagi melindungi daripada sinaran UV.
Amalkan pengelupasan ringan seminggu sekali untuk menyingkirkan sel mati.
“Penjagaan ini perlu konsisten, bukan sehari dua, tetapi berterusan agar bibir kekal lembut, lembap dan menyerlahkan warna merah semula jadi,” katanya.










