Isteri sering kali mahukan hubungan yang sempurna. Suami yang penyayang, memahami, setia dan romantik seperti yang digambarkan dalam drama atau di media sosial.
Dalam kata lain, mahukan suami yang hanya ‘tunduk’ kepada isteri dan tidak menoleh kepada wanita lain.
Namun dalam usaha mencari kesempurnaan itu, kadangkala tanpa disedari, ada sesuatu yang tertinggal iaitu menjaga hati dan ‘membeli jiwa suami’.
Ramai wanita ketika ini beranggapan hanya suami perlu membeli jiwa isteri, sedangkan rumah tangga yang harmoni sebenarnya memerlukan kedua-duanya saling memahami dan menghargai antara satu sama lain.
Kaunselor Berdaftar (Kekeluargaan dan Motivasi), Zumasni Rajikin berkata, maksud sebenar ‘beli jiwa suami’ bukanlah memanjakan secara membuta tuli atau menuruti segala kehendaknya.
Ia lebih kepada memahami emosi, perasaan dan keperluan seorang lelaki sebagai suami dan manusia.
Lelaki juga ada hati dan perasaan yang mahu dijaga, dimanja dan dihargai oleh insan yang disayangi.
Dalam erti kata lain, ‘beli jiwa’ adalah seni halus seorang isteri untuk memahami, mendengar dan menghargai pasangan hidupnya bagi mewujudkan rumah tangga yang harmoni.
Ada ketikanya, dalam kesibukan mengurus anak-anak, kerja dan rumah tangga, isteri terlupa suami juga memerlukan perhatian.
“Perempuan sering mahu dipuji dan mahu suami menyedari perubahan kecil seperti baju baharu atau masakan yang menjadi. Tetapi suami juga sebenarnya ingin dihargai.
“Mereka jarang meminta, tetapi dalam diam menanti isteri berkata sesuatu seperti, ‘Terima kasih sebab tolong saya hari ini’ atau ‘Saya bangga jadi isteri awak’.
“Kata-kata kecil seperti itu cukup besar maknanya pada seorang suami. Ia bukan sekadar pujian, tetapi penghargaan yang tulus tanda isteri nampak dan menghargai usahanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
BEZA PUJIAN DAN PENGHARGAAN
Perbezaan antara pujian dan penghargaan juga penting untuk difahami.
Pujian mungkin bersifat luaran, tetapi penghargaan datang daripada hati.
Apabila suami balik penat selepas seharian bekerja, isteri yang menyambutnya dengan senyuman dan segelas air sejuk sebenarnya sedang menunjukkan penghargaan.
Cukup dengan kata-kata ‘Saya suka awak balik awal hari ini’ sebenarnya sudah berjaya membeli jiwa suami secara halus.
Siapa sangka, hal-hal kecil seperti ini mampu melembutkan hati dan membina kasih yang lebih mendalam.
Tambah Zumasni, lelaki tidak semestinya mahu hadiah mahal atau layanan berlebihan.
Kadangkala, yang diperlukan hanyalah rasa dihargai.
Membuatkan air kegemarannya, mendengar ceritanya selepas kerja atau bertanya pendapat sebelum membuat keputusan penting semuanya menunjukkan isteri menghormati dan memerlukan dirinya sebagai pemimpin dalam keluarga.
“Tidak perlu buat benda-benda besar pun. Hal-hal kecil seperti ini pun sebenarnya sudah boleh buat hati suami berbunga-bunga.
“Lelaki secara fitrahnya suka rasa dihormati dan diberi ruang untuk memimpin. Apabila isteri memberi kepercayaan dan mengiktiraf peranan itu, ia secara tidak langsung membeli jiwa mereka,” ujarnya.
KEPENTINGAN KOMUNIKASI
Namun, asas kepada semua ini ialah komunikasi.
Tiada hubungan boleh bahagia tanpa perbincangan.
Kajian menunjukkan pasangan yang mampu berbincang secara terbuka dan jujur tentang apa sahaja daripada hal kecil seperti makan malam, hingga hal besar seperti pendidikan anak cenderung mengekalkan hubungan lebih lama dan bahagia.
Dalam apa jua keadaan, komunikasi perlu menjadi jambatan antara dua hati.
Tanpa komunikasi, sukar untuk isteri memahami kehendak suami atau suami menyelami hati isteri.
Apabila kedua-duanya sibuk dengan urusan kerja dan kehidupan, mudah timbul salah faham dan jarak emosi.
Ada ketika, suami mula menjauh bukan kerana tidak sayang, tetapi kerana terasa hati yang tidak diluahkan.
Di sinilah pentingnya ruang untuk berbicara dari hati ke hati.
“Luahkan apa yang dirasa, berterus terang tentang keinginan dan kekurangan masing-masing. Jangan biarkan kesunyian menjadi jurang yang memisahkan kasih sayang.
“Kadang-kadang, hanya dengan duduk berdua sambil berbual santai sudah cukup mengembalikan kehangatan hubungan. Paling penting, cipta suasana selesa sebelum berbincang,” jelasnya.
Faktor media sosial juga tidak boleh dipandang ringan.
Hampir setiap hari, pengguna media sosial disajikan dengan kisah bahagia pasangan lain seperti bercuti ke luar negara, bergambar romantik mahupun memberi hadiah mewah.
Tanpa sedar, ada yang mula membandingkan rumah tangga sendiri dengan pasangan lain.
Padahal setiap hubungan ada cerita berbeza.
Setiap perkahwinan pasti tidak akan pernah berlayar dalam bahtera yang sama.
Perbandingan hanya akan menambah rasa tidak puas hati.
Lebih baik fokus pada cara memperbaiki hubungan sendiri dan bukannya sedaya-upaya cuba meniru pasangan lain.
“Untuk isteri, cara membeli jiwa suami tidak semestinya rumit. Ia boleh bermula dengan hal-hal kecil yang ikhlas. Bila suami balik kerja, sambut dengan senyuman, ambil begnya atau tawarkan untuk mengurut bahunya.
“Berikan ruang dia berehat seketika. Tunjukkan perhatian dengan cara yang menenangkan.
“Bila dia mula bercerita, dengar dengan sepenuh hati walaupun topik itu bukan kegemaran kita. Lelaki mudah tersentuh apabila isteri memberi tumpuan pada dirinya, bukan hanya pada anak-anak atau hal rumah,” katanya.
Dalam masa sama, beri peluang kepada suami untuk membantu walaupun mungkin si dia tidak mahir.
Ramai lelaki takut membantu kerja rumah kerana bimbang dimarahi jika tersilap.
Jika suami mahu tolong buang sampah atau basuh pinggan, ucapkan terima kasih dan hargai usaha itu.
Jangan cepat mengkritik. Lama-kelamaan mereka akan lebih ringan tulang kerana rasa dihargai.-UTUSAN









