Rasulullah SAW rindu dan sangat ingin bersua muka dengan anda!”
Bagaimana agaknya perasaan jika mesej tersebut disampaikan malaikat melalui mimpi anda? Pasti pagi anda menjadi sangat bermakna dan bahagia dek mimpi indah itu.
Sebenarnya, ia sebuah fakta yang benar dan pasti! Anda tidak perlu mengharap malaikat membawa khabar indah itu dalam mimpi kerana ia dinyatakan sendiri oleh Rasulullah SAW 1,500 tahun dahulu.
Ertinya: “Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar ke perkuburan. Baginda berkata: “Sejahtera ke atas kamu, negeri kaum beriman. Dengan izin Allah kami akan menyusul kalian. Aku amat berharap jika aku boleh melihat saudara kita semua.” Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, bukankah kami ini saudaramu?”
Baginda menjawab: “Kalian ialah para sahabatku, saudaraku itu ialah mereka yang belum lagi muncul (lahir). Aku akan menungggu mereka di telaga (kauthar di akhirat kelak).” Para sahabat bertanya lagi: “Bagaimana kamu kenali umatmu yang akan datang kemudian?”
Baginda menjawab: “Apa pandanganmu, jika seorang lelaki memiki kuda istimewa yang berwarna putih kaki dan dahinya. Dalam kalangan banyak kuda biasa, adakah dia pasti mengenali kudanya?” Para sahabat menjawab: “Ya!” Baginda bersabda: “Mereka akan datang pada hari kiamat dengan wajah berseri kerana kesan wuduk, dan aku akan menunggu mereka di telagaku.” (Sunan al-Nasa’I:150)
Kita umat Islam yang bertuhankan Allah serta bernabikan Muhammad SAW sebenarnya sangat beruntung.
Banyak sekali nas al-Quran dan hadis yang mengangkat kemuliaan kita semua sebagai umat Baginda SAW.
Sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini penulis ingin berkongsi tiga janji gembira yang dijanjikan Baginda kepada kita selaku umatnya:
Pertama: Kita dinobatkan sebagai umat terbaik. Firman Allah ertinya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…” (Ali ‘Imran 3:110).
Pengiktirafan ini tidak datang secara percuma! Ia diikat dengan arahan mempraktikkan agama warisan Baginda dalam ruang lingkup iman dan amal.
Selain itu, gelaran umat terbaik juga boleh difahami berdasarkan kebaikan yang terbit daripada umat ini.
Lihat sahaja berapa banyak nikmat ilmu dan teknologi moden lahir hasil usaha ilmuwan Islam silam.
Ini diakui sendiri oleh Carly Fiorina, bekas CEO syarikat gergasi computer Hewlett-Packard (HP) dalam ucapannya yang bertajuk Technology, Business and Our Way of Life : What’s Next di Minneapolis, Minnesota, Amerika Syarikat pada 26 September 2001.
Dalam ucapan tersebut, beliau menyatakan betapa tamadun Barat terhutang budi dengan tamadun Islam yang menyediakan pelbagai tapak kepada kemajuan moden.
Kedua: Umat Islam dijanjikan kuota dua pertiga penghuni syurga.
Sabda Nabi ertinya: “Penghuni syurga terdiri daripada 120 barisan. 80 barisan daripadanya terdiri daripada umat ini, manakala 40 barisan lagi terdiri daripada umat lain.” (Sunan al-Tirmidhi, 2469 & Sahih Ibn Hibban).
Janji ini juga hebat! Apa tidaknya? Umat Islam menjadi penghuni bumi pada hujung usia dunia, namun dianugerahi kuota syurga yang begitu besar berbanding umat lampau yang jauh lebih ramai dan panjang tempoh hayat mereka.
Anugerah ini pastinya berkait rapat dengan keberkatan agama Baginda SAW.
Ketiga: Amal ibadat umat Islam yang sedikit dijanjikan ganjaran pahala luar biasa hebat. Untuk menggambarkan nikmat ini, Rasulullah SAW memberi analogi hebat:
Ertinya: “Perumpamaan antara orang Islam, Yahudi dan Nasrani seperti seorang lelaki mengupah sekumpulan manusia berkerja untuknya bagi satu tugasan dari siang sampai malam dengan kadar upah tertentu.
Kumpulan itu bekerja sehingga separuh hari, tiba-tiba mereka berhenti dan berkata: “Kami (berhenti dan kami) tak perlukan upah yang kamu janjikan itu. Apa yang sudah kami buat ini dikira batal.”
Lelaki yang mengupah memujuk: “Jangan buat begini! Siapkan kerja kalian yang masih bersisa dan ambil upah kamu secara sempurna!” Kumpulan pertama tetap enggan dan meninggalkan kawasan kerja.
Selepas itu lelaki tadi mengupah pula dua pekerja lain seraya berkata: “Siapkan kerja ini sehingga habis siang dan kalian akan perolehi upah untuk kerja ini.” Mereka pun berkerja sehingga masuk solat Asar.
Tiba-tiba dua lelaki itu berhenti dan berkata: “Apa yang kami sambung ini tidak berguna lagi dan ambillah upah yang kamu janjikan itu.” Lelaki itu berkata kepada keduanya: “Siapkan kerja kamu berdua itu sehingga habis siang. Lagipun waktu siang cuma tinggal beberapa ketika sahaja lagi!” Kedua lelaki itu tetap enggan.
Lelaki itu kemudiannya mengupah sekumpulan manusia lain untuk menyempurnakan kerja yang masih berbaki.
Kumpulan itu menyempurnakan kerja itu sehingga matahari terbenam dan mendapat upah sempurna yang ditinggalkan dua kumpulan pertama.
Nabi kemudiannya bersabda: “Itulah perumpamaan antara mereka dan kamu dalam habuan apa diterima pada cahaya (hidayah) ini.” (Sahih al-Bukhari, 2271).
Sebenarnya para ulama menyenaraikan banyak sekali kelebihan umat Islam yang bernaung di bawah keberkatan Baginda.
Tiga kelebihan ini penulis utarakan untuk menarik giur kita semua agar merebut kelebihan ini.
Pun begitu, kelebihan tersebut tidak percuma, sebaiknya datang dengan tanggungjawab mendalami serta menghayati agama Baginda.
Percayalah! Pematuhan bulat kepada ajaran Baginda akan membuahkan faedah berguna dunia dan akhirat.
Yakinlah dengan janji Allah dalam firman-Nya ini “Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk (untuk semua urusan dunia serta akhiratmu).” (al-Nur 24:54).
-Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz), Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










