Tidak semua percutian menjanjikan gabungan cabaran, suasana tenang dan keriangan dalam satu pakej.
Namun, pengalaman saya ke pulau-pulau di Mersing anjuran Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. membuktikan segala keseronokan itu ada di dalam satu tempat.
Malam pertama di penginapan Felda Residence Tanjung Leman, kami disajikan dengan barbeku yang diadakan berhampiran dengan pantai.
Kediaman yang selesa, makanan yang sedap disertai bunyi ombak yang kedengaran menghempas lembut, menjadikan suasana begitu mendamaikan.
Malah, cahaya lampu yang bergemerlapan sekitar kawasan barbeku menambah seri suasana makan malam sekali gus membuka tirai perjalanan aktiviti kami di Mersing.
Pendakian di Pulau Kukus
Keesokan harinya, aktiviti bermula dengan pendakian di Pulau Kukus. Laluan curam benar-benar menguji stamina, namun setiap langkah yang mencabar akhirnya terbayar apabila tiba di puncak.
Dari atas, terbentang pemandangan memukau lautan biru yang luas dengan taburan pulau-pulau kecil menghiasi panorama.Saya dan rakan-rakan tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan foto nan indah di sini.
Walaupun belum waktu tengah hari, namun bahang cukup terasa.
Selepas menuruni bukit, kami sempat menyejukkan badan dengan berendam di air laut cetek berhampiran pantai.
Namun, hasrat untuk berenang lebih lama terganggu kerana percikan air laut yang dibawa ombak kuat membuatkan mata terasa pedih.
Perjalanan diteruskan ke Pulau Tinggi, di mana kami berpeluang menikmati makan tengah hari berlaukkan hidangan kampung di Kediaman Tok Mok di Kampung Tanjung Balang.
Lebih istimewa, saya berpeluang menikmati air dan isi kelapa muda segar sambil berbaring di kerusi malas di tepi pantai, menikmati suasana tropika yang semula jadi.
Snorkeling di pulau kecil
Setelah habis berehat, tibalah masa yang sangat dinanti-nantikan kami semua, iaitu aktiviti snorkeling di sebuah pulau kecil 15 minit dari Pulau Tinggi.
Keadaan air laut yang jernih dan tenang tanpa ada gangguan ombak, memberi peluang kepada kami untuk melihat keindahan dunia bawah air.
Dari permukaan sahaja sudah kelihatan beberapa anak-anak ikan berenang bebas ke sana ke mari. Anak- anak ikan tidak takut mendekati kami, lebih-lebih lagi mengejar roti kosong yang diberikan.
Perjalanan pulang semula ke pusat penginapan agak mencabar.
Bot bergerak laju meredah ombak besar, membuatkan badan terasa terhuyung-hayang beberapa kali.
Sudah tentu, saya mengenggam erat pemegang bot kerana takut terjatuh ke dalam air.
Detik itu terasa agak mendebarkan, namun bagi saya ia adalah pengalaman yang cukup menarik dan mencabar untuk dikenang.
Berlumba rakit
Sebaik tiba di pusat penginapan, kami dibahagikan kepada dua kumpulan untuk membina rakit.
Dengan hanya menggunakan tali rafia, tong biru kosong dan paip putih panjang, kami diarahkan untuk membuat rakit berdasarkan kreativiti dan kerjasama kumpulan.
Keseronokan semakin terasa apabila rakit yang siap dibina perlu diuji ketahanannya di atas kolam.
Walaupun kumpulan saya tidak berjaya menjuarai pertandingan, gelak tawa, sorakan dan pengalaman mendayung bersama cukup memberi kepuasan.
Aktiviti di sini bukan sahaja membantu saya healing dan detoks daripada kesibukan hidup di kota, malah memberi peluang merasai keindahan alam sekitar pulau-pulau Johor yang masih terpelihara.-UTUSAN










