MyPAC lahir akauntan bertauliah

MyPAC lahir akauntan bertauliah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
TIDAK dinafikan peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sukar.

Namun, ia menjadi detik penting bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian tersebut di Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC).

Bagi IZZAH ATIRA MOHD. RAZALI, NURUL AUNI IZZAH MOHD. JAFRI, MUHAMMAD IZZAT ATHARI ABD. RAHMAN dan MOHAMAD AMRI AZMI, memiliki ACCA membuka pintu luas untuk bekerja di syarikat antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan pembelajaran menyeluruh termasuk kemahiran dan pengalaman, kadar kebolehpasaran juga meningkat sebagai mana keempat-empat bekas pelajar yang berusia antara 25 hingga 27 tahun ini.

Demikian wawasan Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, DATUK ZAITON MOHD. HASSAN yang mahu melahirkan lebih ramai akauntan di Malaysia.

UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana tercetus minat memiliki ACCA?
NURUL AUNI IZZAH: ACCA adalah sijil profesional bertaraf global yang menjadi pintu kepada peluang pekerjaan. Malah, saya difahamkan mereka yang mempunyai ACCA boleh mendapat gaji lebih tinggi.
Selepas habis praktikal, saya dapati wujud keperluan untuk menduduki ACCA. Saya pun cari kursus dan biasiswa untuk sambung pengajian. Masa itu satu-satunya yang difikirkan ialah MyPAC.
Saya buat permohonan dan hadir temu duga. Apabila diterima masuk, MyPAC membantu saya dalam segala proses termasuk pembiayaan biasiswa daripada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

 

Peperiksaan ACCA agak sukar, apakah tips dan kaedah sehingga mampu melepasi ujian ini?
NURUL AUNI IZZAH: Saya amalkan belajar dan ulang kaji di waktu malam.
Saya juga membuat persediaan antara lima ke enam bulan untuk menghadapi dua subjek pertama. Memang mencabar dan alhamdulilah lulus.
Kemudian saya bersedia untuk dua subjek terakhir iaitu Strategic Business Leader (SBL) dan Advanced Audit and Assurance (AAA).
Selain usaha sendiri, tenaga pengajar dan alumni MyPAC pun banyak membantu.

Mengapa mengambil keputusan untuk menduduki ACCA?
IZZAH ATIRA: Selepas tamat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), saya terus bekerja.
Sembilan bulan kemudian, saya nekad untuk menyambung ACCA.
Ketika itu, ramai yang beri pandangan sijil ini penting.
Sebenarnya, saya sudah memasang impian untuk ada ACCA sejak di UIA lagi.
Tambahan pula ia dapat membantu saya mengembangkan lagi kerjaya masa depan.
Lantas, saya menghantar permohonan ke MyPAC dan diterima.
Bahkan, saya turut menerima tajaan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika menuntut di sini.

 

Pencapaian terbaik sepanjang pengajian ACCA?
IZZAH ATIRA: Alhamdulilah saya berjaya menjadi pelajar cemerlang di MyPAC pada 2024 berkat kesungguhan dan bantuan yang ditunjukkan sepanjang pengajian.

 

Bagaimana mampu mencapai kejayaan membanggakan itu?
IZZAH ATIRA: Petua saya adalah dengan membuat nota sendiri yang lebih difahami.
Adakalanya memang tertekan, tetapi itu bukan alasan untuk mengalah.
Tetapi saya bersyukur kerana MyPAC turut membantu pelajar mengurangkan tekanan menerusi penganjuran kem bina semangat.
Selain itu, kawan-kawan pun banyak membantu.
Saya juga amat menghargai bantuan kakitangan MyPAC yang kerap menghulurkan bantuan dan tidak tinggalkan kami terkontang-kanting.

Bagaimana dengan sokongan yang diterima di MyPAC?
MUHAMMAD IZZAT ATHARI: Keputusan peperiksaan saya memerlukan tempoh selama enam bulan untuk mengulang subjek Advanced Audit and Assurance (AAA).
Namun saya diberi peluang untuk mendudukinya semula dalam tempoh tiga bulan sahaja.
Ini merupakan satu bentuk sokongan terbaik daripada MyPAC.
Selain itu, MyPAC juga menyediakan sesi perkongsian daripada alumni.
Jadi, kuranglah rasa tertekan itu.
MyPAC bukan sekadar memantau, tetapi lebih kepada memberi galakan dan sokongan.
Bagi saya, pendekatan inilah yang menjadi salah satu faktor utama berjaya lulus.

 

Bagaimana mahu memberi sumbangan kepada pelajar yang berhasrat menduduki ACCA dan adakah mempunyai ACCA satu kepuasan?
MUHAMMAD IZZAT ATHARI: Ramai sebenarnya yang minta pandangan apabila tahu saya mempunyai ACCA.
Saya sering kongsikan pengalaman tersebut dengan mereka.
Malah, saya bersedia membantu sesiapa yang mahu mendapatkan maklumat lengkap tentang ACCA.

 

Apakah kepuasan sebenar mempunyai ACCA?
MUHAMMAD IZZAT ATHARI: Saya perhatikan individu yang mempunyai latar belakang perakaunan di peringkat tinggi sering memegang jawatan penting dalam pelbagai syarikat. Ini mendorong saya untuk menjadi sebahagian daripada golongan tersebut.
Di samping itu, saya ingin menyumbang kepada negara sendiri, kerana bidang akauntan di Malaysia merupakan satu industri yang mempunyai masa depan cerah, baik dari segi pembelajaran mahupun kerjaya.

Apakah pengalaman penting yang dipelajari sepanjang pengajian di MyPAC?
MUHAMAD AMRI AZMI: Saya bertuah kerana ditaja oleh Yayasan Bursa Malaysia.
Sepanjang di MyPAC, saya bukan sahaja belajar secara formal, tetapi berpeluang menyertai aktiviti sukarelawan di Bursa Malaysia.
Saya dapat bergaul dan berinteraksi secara langsung dengan warga kerjanya. Malah, sempat berbual dengan beberapa kakitangan dan ini merupakan pengalaman berharga yang tidak diperolehi semasa pengajian sarjana muda.
Saya akui ACCA bukan mudah, justeru sistem sokongan sangat penting termasuk rakan sekelas, tutor dan kawan-kawan seperjuangan.
Jika ada yang gagal, kami akan saling membantu mengenal pasti kesilapan dan memperbaikinya bersama. Budaya tolong-menolong inilah yang sangat bermakna dalam perjalanan saya sebagai pelajar ACCA di MyPAC.

 

Motivasi di MyPAC?
MUHAMAD AMRI AZMI: Saya berpeluang melihat sendiri bagaimana barisan kepemimpinan di syarikat saya berfungsi dan mereka benar-benar menjadi inspirasi.
Kepemimpinan mereka bukan sahaja tegas, tetapi strategik dalam membuat keputusan dan cekap membimbing pasukan.
Saya mahu ikut jejak langkah mereka dengan menjadi pemimpin yang berwibawa dan mampu memberi impak positif kepada organisasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini