Muhammad Siddiq al-Minsyawi dilahirkan pada 20 Januari 1920 di daerah Suhaj, Mesir.
Beliau menghafaz al-Quran di awal usianya dan sempurna hafazan ketika berusia 8 tahun.
Keluarganya terkenal sebagai keluarga al-Quran yang mewarisi bacaan dengan suara yang merdu.
Ayahnya ialah Siddiq Minshawi manakala datuknya, Taib Minshawi dan datuk sebelah ayahnya adalah qurra yang tersohor di zaman mereka.
Ramai dalam kalangan keluarga Minshawi menghafaz al-Quran dan mempunyai bacaan yang baik.
Dua saudaranya juga adalah qari yang mempunyai suara lunak iaitu Ahmad Sidiq Minshawi dan Mahmud Sidiq Minshawi.
Mereka amat terkesan dengan ayah mereka dalam seni bacaan al-Quran.
Justeru, keluarga ini menjadi ikutan yang baik dalam seni bacaan al-Quran sehingga digelar sebagai Madrasah Minsyawiyyah.
Kemasyhuran Syeikh Minsyawi mula tersebar dalam kalangan penduduk Mesir.
Terkenal kerana memiliki bacaan yang tepat dari sudut tajwid dan suara merdu.
Semasa kemasyhurannya, beliau ditawarkan menjadi qari al-Quran di radio al-Quran Mesir.
Satu jawatan yang sangat tinggi dan mulia kepada qari ketika itu.
Namun, beliau lebih suka membaca al-Quran di khalayak ramai sama ada di haflah al-Quran atau program bacaan yang dianjurkan di masjid, tidak di studio.
Dalam satu majlis bacaan al-Quran Syeikh Minsyawi, pihak radio al-Quran Mesir pergi membuat rakaman.
Secara langsung Syeikh Minsyawi dilantik sebagai pembaca al-Quran di Radio al-Quran Mesir tanpa dibuat temu duga sebagaimana lazimnya.
Syeikh Minshawi pernah merakam bacaan 30 juzuk al-Quran di radio Mesir.
Selain itu, beliau juga merakam Riwayat al-Duri bersama dengan dua qari lain iaitu Kamil al-Buhtami dan Fuad al-Arusi.
Rakaman bacaannya juga dibuat ketika dijemput membaca al-Quran di Kuwait, Syria, Libya dan Indonesia.
Menurut sejarah Syeikh Minshawi pernah membaca al-Quran di masjid utama dunia seperti di Masjidil Haram (Mekah), Masjid Nabawi (Madinah) dan Masjid al-Aqsa (Baitul Maqdis).
Ini merupakan satu penghargaan yang tinggi kepada Syeikh Minsyawi.
Bacaannya turut diterima ramai kerana keistimewaan suara dan rentak alunan yang dimilikinya.
Selain itu beliau juga memiliki ketelitian dalam maqamat dan membaca dengan perasaan mendalam terhadap makna dan sebutan lafaz yang sempurna.
Dipuji ulama
Seorang tokoh ulama berkata, jika kamu ingin mendengar al-Quran sebagaimana ia diturunkan, maka kamu dengarlah bacaan al-Minsyawi.
“Suaranya tidak jemu didengari seumpama air bersih yang memancar dan menghilangkan dahaga seseorang,” katanya.
Selain itu, Abu Ishaq al-Huwaini, tidak ada seseorang pun seumapama Syeikh Muhammad Siddiq al-Minsyawi yang membaca al-Quran dengan bacaan mantap dan kaedah tajwid kukuh seumpama pakej lengkap.
Seorang tokoh tafsir moden, Syeikh al-Mutawali turut memuji bacaan al-Quran Syeikh Minsyawi.
“Sesiapa yang ingin mendengar bacaan al-Quran yang khusyuk, maka dengarlah bacaan Syeikh Minsyawi,” katanya.
Dalam pada itu, tokoh pendakwah Arab, Syeikh Omar Abdul Kafi berkata Syeikh Minsyawi memiliki suara yang terbaik dan paling khusyuk dalam membaca al-Quran.
“Apabila kamu mendengar bacaan al-Minsyawi, ia seperti hati bercakap dan hati yang mendengar. Kamu seolah berada dalam satu taman di syurga,” katanya.
Seorang lagi qari, Syeikh Nasir al-Quttami pula menyifatkan bacaan al-Quran oleh beliau bukan dengan suaranya tetapi dengan hatinya.
“Ketika beliau membaca al-Quran, air mata kamu boleh mengalir seolah-olah beliau bercakap dengan kamu daripada hatinya,” habis.
Rumusan bacaan Syeikh Minsyawi dibuat oleh Syeikh Rasyid al-Afasi yang bermaksud “Sesungguhnya suara membaca al-Quran yang terbaik ialah apabila kamu mendengar dia membaca al-Quran, kamu melihat dia takut kepada Allah.” (al-Bukhari)
Pada 1966, Syeikh Minsyawi mengalami sejenis penyakit, namun beliau masih membaca al-Quran sehinggalah meninggal dunia pada hari jumaat 5 Rabiulawal 1389 bersamaan 20 Jun 1969.
Ketika diberitahu tentang kematian itu, bapanya, Syeikh Sadiq Minsyawi sabar dan tidak menangis.
Tetapi ketika pengebumian, air mata bapanya mengalir.
“Aku menangis kerana al-Quran yang ada padanya juga dikebumikan,” kata bapanya.
-PROF. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia.










