Detik perkenalan Fattah, Amira bermula di konsert Siti Nurhaliza Disember lalu

Detik perkenalan Fattah, Amira bermula di konsert Siti Nurhaliza Disember lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya rasa permulaan perkenalan mereka adalah ketika konsert Siti Nurhaliza.”

Demikian kata penyanyi, Irfan Haris mendedahkan bibit awal perkenalan kakak kesayangannya, Amira Othman dengan bakal abang iparnya, Fattah Amin.

Dia mendedahkan ia berlaku ketika konsert Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 14 Disember lalu iaitu kira-kira dua bulan selepas Fattah Amin bercerai dengan Fazura.

Menerusi pendedahan itu, Irfan turut menyifatkan aktor itu sebagai seorang lelaki sejati kerana berani bersemuka dengan ahli keluarganya demi melamar Amira.

“Apa yang saya kagum, Abang Fattah sendiri memilih untuk berjumpa keluarga kami. Itulah lelaki sejati, bila nak kenal seseorang, dia jumpa ibu bapa dulu.

“Malah, Abang Fattah bukan hanya bertemu orang tua saya, tetapi semua ahli keluarga,” katanya dalam sebuah siaran langsung TikTok.

Irfan turut memaklumkan hubungan mereka mula berputik ketika menjalani penggambaran video muzik lagu Bila Nak Kahwin di London tahun lalu.

“Tak silap saya, Fattah dan pengurusnya, Aca sedang menunaikan umrah. Ketika itu, kakak saya hubungi Aca mengenai kandungan lagu Bila Nak Kahwin.

“Itulah langkah pertama kali Fattah. Dia kirim salam pada kakak saya buat kali pertama,” ceritanya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Pesan itu mengakui dia bersama adik beradik yang lain berkenan dengan peribadi Fattah yang disifatkan baik serta sesuai berjodohan dengan kakaknya.

“Tahun lepas, selepas Abang Fattah kembali solo, kami banyak melihat penampilannya dalam media sosial. Cara dia bercakap tenang, nampak baik dan matang.

“Saya dan abang-abang setuju dia lelaki yang baik. Jadi kami sokong kakak saya untuk mengenali dia. Kebetulan masa itu kakak masih solo, kami cakap Fattah elok dan baik orangnya,” jelasnya.

Isnin lalu, Fattah dan Amira meleraikan spekulasi mengenai hubungan mereka selepas mengesahkan bakal melangsungkan majlis pernikahan pada 14 September ini.

Fattah berkahwin dengan aktres Fazura pada 27 November 2017 sebelum disahkan bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN