Golongan fakir miskin dan gelandangan sinonim dikaitkan dengan penampilan yang tidak terurus.
Namun, menerusi inisiatif Salun Kecantikan untuk Kehidupan Baik atau Beauty For a Better Life (BFBL) yang dirintis Yayasan L’Oréal, mereka kini tampak lebih menawan.
Perkhidmatan BFBL yang pertama di Malaysia dan Asia itu membolehkan golongan sasar mendapat rawatan kecantikan dan produk penjagaan diri secara percuma.
Pengarah Urusan L’oréal Malaysia, Tomas Hruska berkata, inisiatif tersebut sekali gus memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik memerangi pengasingan sosial melalui kuasa transformasi kecantikan.
Katanya, kewujudan salun berkenaan juga dapat menyemai semula harga diri, membina keyakinan, dan membuka semula pintu hubungan sosial mereka yang selama ini tersisih daripada masyarakat.
“Kewujudan salun ini membolehkan pelanggan menikmati rawatan kecantikan bertaraf profesional tanpa perlu memikirkan soal kos dan beban kewangan,” katanya selepas melancarkan Salun BFBL pertama di Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Sejak pembukaannya, seramai 70 individu telah menerima pelbagai perkhidmatan kecantikan secara percuma.
Mereka terdiri daripada gelandangan dan fakir miskin di sekitar Masjid Jamek.
“Melihat senyuman di wajah mereka selepas mendapatkan rawatan kecantikan, menjadi detik yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” ujarnya.
Peluang pekerjaan
Menurut Hruska, salun itu dikendalikan oleh graduan program latihan vokasional BFBL yang kebanyakannya berasal daripada komuniti berpendapatan rendah di Malaysia.
Katanya, inisiatif sama akan diperluaskan di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain.
Dalam masa sama, ia apat memberi peluang pekerjaan kepada para graduan.
“Salun BFBL menjadi platform untuk mereka memanfaatkan sepenuhnya kemahiran yang dipelajari, sekali gus membantu melangkah ke arah kehidupan yang lebih stabil.
“Kami menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan kecantikan di Salun BFBL kepada sekurang-kurangnya 5,000 individu menjelang 2027.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk memberikan rawatan luaran, tetapi juga untuk memulihkan keyakinan diri dan maruah golongan kurang bernasib baik, sekali gus membuka peluang baharu dalam kehidupan mereka,” katanya.
Kini, Yayasan L’oréal bekerjasama dengan Yayasan Food Bank Malaysia giat mengumpul maklum balas daripada mereka yang terlibat, baik penerima manfaat mahupun tenaga kerja salun.
Tujuannya bukan sekadar untuk menambah baik operasi harian, tetapi juga bagi merancang perkembangan inisiatif tersebut ke skala yang lebih besar.









