KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atas seorang ketua balai polis berpangkat sarjan mejar bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah RM500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang bermula hari ini terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid.
Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan lelaki itu ditahan pada pukul 2.20 petang semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Suspek dipercayai menerima rasuah sebanyak RM500 daripada seorang warga asing yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). – UTUSAN










