Ancaman rintangan antimikrob (AMR) akibat penyalahgunaan antibiotik terus menjadi kebimbangan serius dalam sistem kesihatan Malaysia.
Satu contoh yang biasa tetapi berbahaya ialah rawatan sakit tekak.
Kebanyakan sakit tekak berpunca daripada jangkitan virus dan tidak memerlukan antibiotik, tetapi ramai pesakit masih menuntut preskripsi.
Ia berpunca daripada salah faham antibiotik mempercepatkan penyembuhan, akibatnya, bakteria semakin membina ketahanan terhadap rawatan, menjadikan jangkitan biasa berpotensi membawa maut.
Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Dr. Ho Bee Kiau berkata, Kementerian Kesihatan sedang meningkatkan campur tangan nasional bagi menangani penyalahgunaan antibiotik.
“Tumpuan kami pada penguatkuasaan dasar, meningkatkan garis panduan klinikal dan menjalankan kempen pendidikan berskala besar untuk mengubah kedua-dua tingkah laku awam dan profesional.
“Membanteras rintangan antimikrob memerlukan tanggungjawab kolektif dan kami komited untuk mengetuai usaha itu,” katanya dalam kempen Resist Resistance anjuran Strepsils baru-baru ini.
Ia turut menghimpunkan tokoh perubatan lain antaranya Ketua Cawangan Farmakoterapi, Jabatan Farmasi, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Rahela Ambaras Khan; Perunding Kanan, Jabatan Otorinolaringologi Pembedahan Kepala dan Leher, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof.
Baharudin Abdullah; Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Penjagaan Utama, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohazmi Mohamad dan Presiden Persatuan Alumni Manipal Malaysia, Dr. Koh Kar Chai.
Di Malaysia, penggunaan antibiotik yang berlebihan amat membimbangkan.
Kajian terbaharu mendapati hanya 2.8 peratus daripada kes sakit tekak di klinik penjagaan primer awam disebabkan oleh Streptococcus Kumpulan A (GAS), satu-satunya punca bakteria biasa yang memerlukan antibiotik, namun 22.3 peratus daripada pesakit masih menerima antibiotik, yang mana lebih 90 peratus daripada preskripsi ini dianggap tidak diperlukan.
GARIS PANDUAN
Bagi mengatasinya, satu set garis panduan klinikal baharu, Konsensus Sakit Tekak Pelbagai Disiplin Malaysia dilancarkan bertujuan membantu golongan profesional penjagaan kesihatan membuat diagnosis tepat dan mengurangkan penggunaan antibiotik tidak sesuai.
Rangka kerja ini menggalakkan pengurusan sakit tekak berasaskan bukti dengan tumpuan yang kuat pada pendidikan pesakit dan pilihan rawatan bukan antibiotik.
Rahela berkata, penyalahgunaan antibiotik bukan sahaja satu kesilapan perubatan, tetapi ancaman kepada masa depan sistem kesihatan.
“Kami menyaksikan bagaimana penyalahgunaan antibiotik akibat maklumat yang salah boleh membawa kepada kegagalan rawatan dan jangkitan tahan dadah,” katanya.
Baharudin yang juga salah seorang pengarang Konsensus Sakit Tekak berkata, garis panduan klinikal seperti Konsensus Sakit Tekak Pelbagai Disiplin Malaysia direka untuk menyokong keputusan diagnostik yang lebih baik.
“Apabila digunakan dengan betul, ia membantu mengurangkan kebergantungan pada antibiotik untuk jangkitan virus, yang tidak menerima manfaat daripadanya.
“Data kami menunjukkan jurang kekal antara apa yang bersesuaian daripada segi perubatan dan apa yang ditetapkan. Merapatkan jurang tersebut adalah penting,” ujarnya.
Selaras untuk menggalakkan pengurusan sakit tekak bertanggungjawab, Konsensus Sakit Tekak Pelbagai Disiplin Malaysia juga menyediakan profesional penjagaan kesihatan dengan panduan berasaskan bukti yang jelas tentang masa antibiotik diperlukan dan apabila tidak diperlukan.
Garis panduan ini menekankan nilai diagnosis tepat, pendidikan pesakit dan penjagaan yang menyasarkan simptom, mengukuhkan kepentingan penyelesaian yang membantu menguruskan sakit tekak virus tanpa bergantung pada antibiotik.
“Pesakit sering kurang pasti apabila diberitahu antibiotik tidak diperlukan. Itulah sebabnya pendidikan penting, bukan hanya untuk doktor, tetapi orang ramai.
“Apabila mereka faham mengapa antibiotik tidak berkesan untuk sakit tekak virus, mereka lebih cenderung untuk menerima rawatan alternatif dan mengelak daripada menyumbang kepada rintangan.” kata Mohazmi.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Reckitt untuk Kesihatan dan Kebersihan (Malaysia dan Singapura), Harsh Takru berkata, penyalahgunaan antibiotik bukan sekadar satu isu perubatan, tetapi krisis kesihatan awam yang memerlukan tindakan segera.
“Langkah pertama dalam memerangi AMR ialah mengubah cara berfikir tentang jangkitan biasa seperti sakit tekak dan menggunakan rawatan yang menyasarkan simptom, seperti semburan Strepsils, berbanding penggunaan antibiotik berlebihan,” kongsinya.










