Permainan VR paling mencabar

Permainan VR paling mencabar

Ruang permainan realiti maya yang seronok dan mendebarkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bayangkan bermain permainan tetapi perlu menggunakan pemakaian set kepala realiti maya (VR), yang akan membawa anda seolah-olah berada di dalam dunia lain.

Setiap pergerakan mencabar dan pemandangan serta aksi yang nyata dilihat melalui VR, mampu membuatkan anda terlupa keberadaan sebenar di dunia realiti.

Itulah pengalaman saya apabila berpeluang mencuba setiap permainan terdapat di Future Land Fun Zone. Saya kunjungi salah satu cawangannya yang terletak di pusat membeli belah Sunway Pyramid.

Baru sahaja melangkah masuk, agak terkesima melihat tema yang digunakan pada setiap sudut.

Ia berkonsepkan seakan-akan dunia robotik dan angkasa seperti di filem fiksyen.

Hiasan lampu neon berwarna-warni dan bunyi muzik latar rancak, membuatkan saya tidak sabar-sabar untuk terus memakai VR dan mencuba setiap jenis permainan yang terdapat di sini.

Tiga permainan paling top

Setelah mencuba beberapa permainan, saya boleh simpulkan antara yang terbaik untuk dicuba.

Antaranya, VR Roller Coaster. Permainan tersebut wajib dicuba bersama rakan-rakan dan ahli keluarga.

Dengan memakai set kepala VR, kerusi simulasi mula bergerak secara perlahan mengikut laluan roller coaster maya.

Setiap selekoh tajam dan turunan curam yang saya lihat di dalam set kepala VR yang dipakai, membuatkan jantung terus berdebar.

Apabila visual realistik dan gerakan kerusi berhayun laju, saya terasa seolah-olah benar-benar meluncur di udara.

Saya turut menjerit bersama pemain-pemain yang lain ketika keadaan kereta sorong meluncur laju turun ke bawah. Walaupun permainan itu agak menakutkan, saya sangat berpuas hati.

Seterusnya, VR Racing Simulator, antara permainan yang saya rasa kedua terbaik di sini.

Pemain perlu duduk dahulu di dalam kereta lumba yang lengkap dengan stereng, pedal dan skrin yang memaparkan pemandangan litar dengan begitu jelas.

Ketika itu, saya berasa seperti tengah memecut di litar perlumbaan sebenar, dengan deruman enjin bergema di telinga.

Tambahan pula, setiap selekoh tajam memerlukan kawalan stereng yang cermat.

Namun, untuk handal bermain permainan tersebut bukanlah kemahiran saya.

Saya tidak berupaya untuk memotong kereta-kereta lawan yang lain, sekali gus membuatkan saya ketinggalan di belakang.

Permainan seterusnya yang boleh saya nilaikan sebagai ketiga terbaik iaitu, Shooting Adventure VR. Permainan tembak-menembak secara maya tersebut membuatkan saya seperti berada di tengah medan pertempuran.

Saya dan pemain-pemain lain bekerjasama menentang serangan dalam dunia maya yang penuh dengan lorong gelap dan bunyi menggerunkan dari setiap arah.

Walaupun ia hanya permainan, degupan jantung terasa laju kerana suasananya membuatkan saya berasa seolah-olah berada dalam zon peperangan yang sebenar.

Kesan bunyi tembakan yang memekakkan telinga dan banyak kali berlakunya serangan mengejut, membuatkan kami sering menjerit serentak.

Boleh bayangkan betapa bisingnya ruangan itu yang dipenuhi dengan jeritan dan gelak ketawa pemain.

Tidak sesuai untuk kanak-kanak

Berdasarkan pengalaman saya setelah bermain di situ, hampir kebanyakan permainan tidak sesuai untuk kanak-kanak, terutama yang berumur 10 tahun ke bawah.

Pendapat saya, permainan realiti di situ sangat lasak dan memerlukan tahap stamina serta kawalan keseimbangan yang betul.

Sebagai contoh, semasa saya mencuba salah satu permainan simulasi yang berputar dengan pantas, saya mula rasa pening dan hampir termuntah akibat pergerakan terlalu ekstrem.

Bagi kanak-kanak yang belum biasa dengan impak VR dan permainan berintensiti tinggi, pastinya akan berasa tidak selesa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×