ASPEK penting yang dititik beratkan apabila menyertai acara larian denai tentulah laluan trek dan bentuk muka bumi di kawasan berkenaan.
Sebabnya ia menjadi salah satu kepuasan sama ada untuk melihat pemandangan yang cantik atau mencabar diri menguasai gunung dan lurah yang ada kalanya sangat memenatkan.
Sebenarnya, acara ini tidak hanya menuntut kekuatan fizikal semata-mata, tetapi juga mental.
Semua peserta bagi acara Cameron Ultra (Cultra) 2025 terutama mereka yang menyertai kategori 60 kilometer (km) seperti saya atau 100 km akan memerah keringat untuk sampai ke garisan penamat.
Seawal pukul 2.45 pagi, saya menempuh pelbagai laluan seperti Gunung Jasar (1,696 meter), Gunung Berembun (1,825 meter), Robinson Falls dan kawasan kebun teh yang bagaikan tiada penghujung.
Banyak kawasan yang saya dan peserta Cultra dapat terokai di Cameron Highlands berbanding mereka yang hanya datang sebagai pelancong.
Dengan suhu purata sekitar 14 hingga 22 darjah Celsius pada waktu siang, ia memberi kelegaan kepada pelari yang biasa beraksi dalam cuaca tropika panas di kawasan tanah rendah.
Inilah kelebihan acara larian denai di Cameron Highlands berbanding kawasan trek lain di negara ini.
Dalam pada itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Bolt Events Management, Hazemi Hamidi berkata, Cultra akan menjalinkan kerjasama dengan dua lagi acara antarabangsa, Mountain Marathon Festival (Indonesia) dan Tak Trail Series (Thailand).
Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu membentuk satu gabungan antara ketiga-tiga negara dikenali sebagai ‘SEA Trail Alliance’.
Dalam pada itu, katanya, pemilihan tema Republic of Trail bagi edisi Cultra 2025 dibuat bagi meraikan keterangkuman dan semangat komuniti tanpa mengira latar belakang, sekali gus membuktikan ia mampu menjadi pemacu pelancongan, menjana ekonomi dan merapatkan jurang budaya.
Ujarnya lagi, acara larian denai itu bakal menampilkan kelainan sempena ulang tahun ke-10 pada tahun depan selaras dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.










