Masalah ekzema yang dialami sejak kecil menjadikan wanita muda ini sangat berhati-hati dalam penjagaan kulitnya.
Setiap kali mencuba produk baharu, dia berdepan kegatalan, kemerahan dan rasa pedih.
Pengalaman itu mendorong Nurin Afrina Muhamad Syahrel, 24, membangunkan rangkaian produk kecantikan khas untuk kulit sensitif sepertinya.
Dilancarkan pada 2024, jenama Masmuqa memperkenalkan masker helaian yang menawarkan kelembapan, kesegaran dan memulihkan kulit.
Ia diformulasikan daripada bahan semula jadi seperti pegaga (centella asiatica), ekstrak timun dan minyak pudina, yang terkenal dengan sifat menenangkan serta sesuai untuk kulit mudah iritasi.
“Saya peminat tegar masker helaian sejak dulu lagi tetapi kebanyakan produk di pasaran tidak sesuai dengan pemilik kulit sensitif.
“Akibatnya, kulit jadi gatal, merah dan pedih, daripada situ saya terpanggil untuk menghasilkan Masmuqa bagi membantu mereka yang mengalami masalah sama.
“Bagi saya, masker helaian ialah penyelesaian terbaik untuk merawat kulit tanpa memerlukan rutin penjagaan rumit di samping memberikan kesan serta-merta selepas satu penggunaan,” katanya baru-baru ini.

Nurin Afrina berkata, pemilihan pegaga tepat kerana ia kaya dengan antioksidan dan memiliki banyak manfaat kepada kulit.
Selain membantu melindungi kulit daripada kerosakan akibat pencemaran dan radikal bebas, ia juga mempercepatkan proses pemulihan.
“Malah, pegaga dapat memperlahankan kemunculan garis halus dan kedutan, menjadikan kulit kelihatan lebih muda serta sihat.
“Dalam produk Masmuqa, kami gabungkan pegaga dengan enam herba lain seperti rosemary, kamomil, tea tree, akar manis, ekstrak polygonum cuspidatum dan scutellaria baicalensis,” katanya.
Tidak melekit
Masker helaian keluaran Nurin Afrina diperbuat daripada fabrik sutera kapas yang ringan dan lembut.
Bahan ini bukan sahaja tidak melekit, malah memberikan rasa selesa ketika dipakai serta mudah menyerap ke dalam kulit.
Teksturnya yang tidak berat menjadikan masker ini ideal digunakan dalam cuaca panas dan lembab di Malaysia.









