Bermula sekadar minat dan kreativiti semula jadi, siapa sangka seorang anak muda Felda kini berjaya mengangkat nama kampung halamannya ke persada antarabangsa dengan bermodalkan sepasang kasut dan sebatang berus lukisan.
Redzuan Abas, 44, dari Felda Bukit Kepayang, mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat seni jalanan dan budaya pop menerusi jenamanya DdZ.Ink Shoe Spa.
Meskipun tanpa latar belakang seni formal, dia membuktikan minat dan kesungguhan mampu menjadi tiket untuk melonjakkan nama hingga mampu menjana pendapatan lumayan hasil karya eksklusif yang dilakar di atas kasut.
“Saya tidak pernah masuk kelas seni, semuanya dipelajari sendiri.
“Bagi saya, kasut bukan sekadar alas kaki, ia boleh jadi kanvas yang membawa cerita, identiti dan emosi,” katanya baru-baru ini.
DAPAT PERHATIAN ANTARABANGSA
Jejaka ini menggunakan cat khas yang diimport dari luar negara bagi memastikan ketahanan dan ketelitian lukisan pada setiap rekaan dihasilkan.
Tempoh yang diambil untuk menyiapkan setiap rekaan adalah antara tiga hingga 14 hari bergantung kepada tahap kerumitan.
Antara rekaan paling laris ialah karakter anime popular seperti One Piece, Demon Slayer, Dragon Ball dan Jujutsu Kaisen, selain lukisan bertemakan artis serta band antarabangsa seperti Blink-182 dan Street Fighter.
“Selain melukis, saya juga membaiki, mencuci, gam tapak dan mewarna semula kasut pelanggan.
“Harga bermula dari RM150 dan pernah mencecah RM800 untuk rekaan eksklusif,” jelasnya.

Lebih membanggakan, hasil tangan anak Felda ini pernah mendapat perhatian ikon kasut terkemuka dari Amerika Syarikat, DeJesus Footwear, yang memuji hasil kerjanya selepas melihat perkongsian gambar dalam talian.
“Saya rasa sangat dihargai dan bersemangat untuk terus berkarya,” ujarnya.
Selepas menutup kedai fizikalnya di Petaling Jaya pada 2022 demi menjaga adik yang sakit, Redzuan memilih kembali ke kampung, namun langkahnya tidak terhenti.
Malah, tempahan terus mencurah dari serata Malaysia dan luar negara.
“Saya selesa di kampung. Ini bukan sekadar kerja tetapi terapi dan jiwa saya.
“Kalau ada yang anggap seni kampung tak boleh pergi jauh, saya nak buktikan sebaliknya,” katanya.
Ketekunan dan kesungguhan Redzuan bukan sahaja mengangkat namanya sebagai seniman kreatif, malah menjadikan Felda Bukit Kepayang dikenali sebagai ‘pusat seni kasut’ yang unik dan berbeza.
Usahanya membuktikan yang anak muda luar bandar juga mampu mencipta nama, mengangkat warisan dan mengharumkan nama kampung serta negeri di mata dunia jika diberi ruang, sokongan dan kepercayaan.










