Kita sering mendengar atau terbaca tentang jejak karbon. Satu istilah yang dikaitkan dengan perubahan iklim, pemanasan global dan kelestarian alam sekitar.
Namun untuk kebanyakan kita, istilah ini amat asing dan sukar dihubungkaitkan dengan kehidupan seharian.
Hakikatnya, jejak karbon bukan sekadar angka dalam laporan alam sekitar.
Ia adalah gambaran tentang cara hidup kita yang menyumbang kepada kesan langsung kepada alam sekitar.
Akhirnya memberi mudarat yang amat besar kepada bumi kita.
Penerangan mudah apa yang perlu kita lakukan tentang jejak karbon.
Semakin banyak jejak karbon dihasilkan, semakin terancam alam sekitar. Sekiranya alam sekitar terancam, sudah tentu kehidupan seharian kita juga terancam terutama suhu bumi.
Apabila suhu bumi meningkat, kita tidak akan selesa menjalani kehidupan seharian.
Kita memerlukan penyaman udara di mana sahaja berada terutama di rumah, di pejabat atau pusat beli-belah.
Sudah tentu kita yang akan menanggung peningkatan kos penggunaan penyaman udara tersebut.
Contoh mudah, hari ini kita membayar bil elektrik sebanyak RM100, tetapi disebabkan suhu bumi bertambah dan penggunaan penyaman udara yang kerap, bil elektrik pastinya meningkat.
Secara automatik, harga barang pun melambung kerana semua orang perlu menanggung peningkatan kos tenaga.
Untuk memudahkan penerangan tentang jejak karbon, komunikasi visual spontan amat diperlukan.
Di sinilah keupayaan visualisasi (melakar atau melukis idea) diperlukan untuk memudahkan masyarakat faham kepentingan mengurangkan jejak karbon kepada alam sekitar.
Apabila masyarakat faham kesan langsung yang akan ditanggung, sudah tentu ramai mengambil pendekatan untuk mengurangkan jejak karbon.
Maksud jejak karbon
Jejak karbon ialah jumlah gas rumah hijau, terutama karbon dioksida, yang dihasilkan oleh aktiviti manusia.
Ia diukur dalam unit kilogram atau tan metrik CO2.
Contoh simulasi mudah jika ini berlaku:
Menggunakan penyaman udara selama 8 jam = ±5 kg CO2 dan selama 16 jam = ±10 kg CO2.
Satu penerbangan Kuala Lumpur (KL) ke London = ±2 tan CO2 dan dua penerbangan KL ke London menghasilkan = = ±4 tan CO2
Nampak kecil, tapi bila dikumpulkan setiap hari dan orang, jumlahnya sangat besar.
Penerangan di atas mungkin sukar untuk membuat masyarakat faham secara jelas.
Justeru, grafik mudah yang disokong oleh teks adalah antara cara yang boleh digunakan.
Komunikasi visual spontan
Ramai tidak begitu terkesan apabila hanya membaca teks atau lisan sahaja.
Namun, apabila ia dipersembahkan dalam bentuk grafik mudah yang disokong dengan teks atau penjelasan lisan, ia lebih berupaya membuat orang berfikir.
Simulasi di bawah menunjukkan penggunaan teks sahaja kurang berkesan berbanding grafik.
Penggunaan teks semata-mata memberi kesan lebih subjektif kepada pembaca, manakala grafik mudah berserta teks pula memberikan kesan objektif terhadap maklumat yang ingin disampaikan. Rujuk diagram 1 yang disediakan.
Penggunaan teks :
“Peningkatan suhu bumi boleh meningkatkan penggunaan penyaman udara, sekali gus menaikkan penggunaan tenaga. Akhirnya, ini menyumbang kepada peningkatan jejak karbon dan pelepasan gas rumah kaca.”
Penggunaan grafik mudah dan teks : Mana satu lebih mudah difahami? Sudah tentu yang menggunakan grafik mudah dan teks.
Komunikasi visual ini menjadikan maklumat lebih mudah dihadam dan lebih berkesan untuk berkempen. Ia sekali gus mendorong perubahan sikap masyarakat kepada jejak karbon.
Selain itu, apabila informasi tentang sesuatu difahami dalam bentuk lebih subjektif, ruang salah komunikasi amatlah besar.
Apabila ia berlaku, maka bertambahlah jejak karbon.
Buku Profits from Visuals menerangkan secara jelas bagaimana komunikasi visual spontan dapat mengurangkan salah komunikasi dan seterusnya menggurangkan jejak karbon.
Konsep itu dipanggil decarbonize miscommunication.
Apa boleh dibuat?
Pembudayaan komunikasi visual spontan dalam penerangan jejak karbon kepada masyarakat memiliki beberapa kelebihan.
Antaranya ialah masyarakat dapat merancang mengurangkan jejak karbon dalam aktiviti seharian, memahami kesannya kepada kemusnahan alam sekitar dan membantu menetapkan matlamat untuk menurunkan jejak secara berperingkat.
Contoh paling mudah, kita boleh lakar diagram carta harian jejak karbon yang dihasilkan terutama dalam penggunaan tenaga elektrik, bahan bakar, kertas dan lain-lain.
Carta harian ini membantu menjejaki jejak karbon yang boleh dikurangkan.
Cuba letakkan kesemua carta dan buat kesimpulan tentang kejayaan mengurangkan jejak karbon seharian. Pastinya kita terkejut dengan hasilnya. Rujuk gambar rajah 2.
Contoh komunikasi visual spontan berkesan
1) Peta jejak karbon di rumah
Carta yang menunjukkan penggunaan elektrik, air, dan sisa harian. Setiap carta menggunakan simbol dan warna untuk menggambarkan penggunaan sumber. Contoh penggunaan warna merah (tinggi), kuning (sederhana) dan hijau (rendah). Sudah tentu ia mudah difahami.
2) Poster mesra alam
Gambarkan dua situasi: satu keluarga membeli barangan dalam plastik manakala keluarga lain menggunakan beg kitar semula. Tunjukkan nilai CO2 yang dijimatkan. Ringkas tapi berimpak tinggi.
3) Grafik gaya hidup rendah karbon
Menggunakan lakaran visual untuk menunjukkan gaya hidup harian yang boleh menurunkan jejak karbon seperti mengurangkan penggunaan beg plastik, penjimatan bahan api, kurangkan salah faham dan sebagainya.
4) Pendidikan komunikasi visual spontan untuk jejak karbon di rumah dan sekolah
Sudah sampai masanya kita memperkenalkan pendidikan jejak karbon secara visual. Ia perlu bermula dari rumah dan sekolah. Ibu bapa dan guru adalah pemangkin kepada proses pembudayaan ini. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah melukis bersama anak-anak, tajuknya “Apa aktiviti kita hari ini yang menyumbang kepada jejak karbon”. Manakala di sekolah, guru-guru boleh membuat pertandingan membuat carta menjimatkan tenaga elektrik di dalam kelas.
Mulakan kempen jejak karbon
Mengurangkan jejak karbon adalah permulaan kepada proses mengurangkan kesan kepada alam sekitar. Walaupun tidak sempurna tetapi usaha perlu dibuat.
Seperti kata pepatah satu garisan bermula dengan satu titik. Kalau kita tidak bermula kita tidak akan dapat melihat garisan tersebut.
Kita perlukan komunikasi visual spontan untuk membantu melihat dengan jelas apa yang perlu dilakukan.
Apabila kita melihat sendiri impak melalui visual, barulah kesedaran menjadi nyata.
Daripada sekadar membaca laporan cuaca dan isu alam sekitar, kita akan terdorong untuk bertindak kerana benar-benar faham.
Apabila setiap individu dalam masyarakat berusaha melihat jejak karbon dalam bentuk visual, pastinya semua orang ingin menyelamatkan alam sekitar daripada musnah.
Lihat, faham, bertindak
Komunikasi visual spontan memainkan peranan amat penting dalam memastikan masyarakat faham dan bertindak segera untuk mengurangkan jejak karbon.
Isu dan masalah kompleks kepada peningkatan jejak karbon dipermudahkan melalui komunikasi visual spontan.
Ia menukar angka dalam bentuk teks menjadi fakta visual yang menjadi asas tindakan.
Marilah kita sama-sama berkempen membudayakan komunikasi visual spontan kepada generasi kini dan akan datang.
Usaha ini pastinya mendatangkan banyak manfaat untuk mengurangkan jejak karbon kepada alam sekitar.
Kerana apabila kita mula melihat, kita akan turut memahami. Dan bila sudah faham, kita pasti akan bertindak.










