Jangan bantu syaitan merosak orang lain

Jangan bantu syaitan merosak orang lain

Buku ini mengandungi kisah trauma pesakit mental yang dimalukan semasa kecil,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Setuju atau tidak video kelakuan biadab si murid menumbuk guru itu ditularkan?”

Hampir semua pelajar dalam kelas saya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengangguk kepala tanda setuju.

Saya susuli soalan kedua.

“Jika si biadab yang menumbuk guru dalam video itu ialah adik atau saudara mara anda, setuju atau tidak video itu ditularkan?”

Sebahagian pelajar kelihatan teragak-agak untuk menganggukkan kepala. Begitupun, masih ada yang mengangguk setuju.

Saya susuli pula dengan soalan ketiga.

“Jika yang menumbuk guru dalam video itu diri anda sendiri, adakah anda setuju video itu ditularkan?”

Kali ini semua pelajar menggeleng kepala tanda bantah. Saya lantas bertanya:

“Mengapa pula? Bukankah elok jika kelakuan buruk dan biadab anda itu menjadi pengajaran kepada orang lain? Biar satu Malaysia tahu!”

Itu secebis kisah saya bersama para pelajar dalam kelas pada Isnin, 4 Ogos 2025 berikutan penularan video pelajar berusia 14 tahun menumbuk gurunya yang menegurnya ponteng mata pelajaran Pendidikan Jasmani.

Rakaman tersebut menjadi fenomena seketika di Malaysia.

Ia mengundang pelbagai reaksi warga media sosial yang rata-ratanya marahkan kebiadaban pelajar tersebut.

Rakaman tersebut penting untuk menjadi bahan bukti pihak guru berikutan kebiadaban pelajar tersebut kerana para guru banyak dikekangi pelbagai peraturan oleh pihak berwajib.

Kemarahan itu benar dan berasas! Guru membawa tugas yang mulia mendidik pelajar menjadi insan berguna.

Jika guru tidak dihormati, masyarakat boleh pincang dan tempang.

Lihat kisah kembara antara Nabi Musa a.s bersama Khadir dalam surah al-Kahfi. Walaupun darjat Nabi Musa jauh lebih tinggi berbanding Khadir, baginda tetap turun merendah diri keluar mencari Khadir untuk menuntut ilmu.

Antara adab berguru dari kisah tersebut ialah:

Guru perlu dicari bukan datang mencari murid (al-Kahfi 18:60-65).

Murid perlu menghormati guru, meminta izin sebelum berguru serta sedia patuh dengan syarat yang diletakkan guru (al-Kahfi 18:66 & 69).

Guru berhak meletakkan syarat yang perlu dipatuhi murid (al-Kahfi 18:70).

Murid perlu berundur apabila tidak mampu memenuhi syarat guru (al-Kahfi 18:76).

Guru yang bijak perlu menjelaskan hikmah tindakan mereka agar murid mendapat ilmu yang benar (al-Kahfi 18:78-82).

Rencana ini ingin membawa para pembaca untuk berfikir satu sudut lain yang tidak harus dipandang enteng iaitu tindakan menyebarkan rakaman tersebut tanpa tapis. Sehingga seluruh warga maya dapat melihat serta mengenal identiti pelajar tersebut.

Sebagai guru di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA), penulis berpandangan rakaman itu tidak wajar ditularkan secara terbuka. Ini kerana ia mampu memberi impak negatif kepada pelajar tersebut dan keluarganya untuk jangka masa panjang.

Apa anda rasa jika aib anda sendiri dipertonton sekampung? Atau satu pejabat? Atau satu sekolah? Atau satu Malaysia?

Penulis pernah membaca kisah benar orang yang mengalami trauma dimalukan semasa kecil di sekolah.

Seorang anak kecil darjah dua dimalukan pelajar darjah enam yang menarik seluarnya di khalayak ramai di kantin sekolah.

Tambah parah, dia dijadikan bahan lawak dan komedi satu sekolah. Seorang lagi pelajar perempuan dimalukan dengan paparan namanya dalam senarai pelajar gagal di papan kenyataan utama sekolah.

Setelah meningkat dewasa kedua pelajar ini mengalami sakit mental yang kronik.

Ini antara bukti betapa parut atau trauma emosi adalah sesuatu yang benar. Anda boleh baca buku Aku Dijangkiti Kehidupan terbitan Kata-Pilar Books untuk mengetahui perincian dua kisah tersebut.

Kita akui pelajar itu silap dan perlu ditegur, namun ia bukan menjadi tiket bebas kepada kita untuk memalukannya serta keluarganya dengan menularkan rakaman video itu secara meluas.

Pelajar itu kurang bernasib baik kerana kelakuan biadabnya dirakam. Sebagai manusia biasa yang tidak maksum, kita juga kadangkala tersilap langkah. Kita bernasib baik kerana kesilapan itu tidak dirakam serta ditular segenap pelusuk maya.

Renung hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya, Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat. Sesiapa yang mendedahkan aib saudara muslimnya, Allah akan mendedahkan aibnya sehingga dia akan terhina di rumahnya sendiri (Sunan Ibn Majah).

Jika kita tak mahu dimalukan di khalayak umum, maka usahlah galak berkongsi aib orang lain atas nama ‘tazkirah media sosial’. Itulah tanda kesempurnaan iman.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu suka sesuatu kepada saudara kamu sama seperti apa yang kamu suka untuk diri kamu sendiri (Sahih al-Bukhari, 13).

Ketika melihat kes tular ini, penulis teringat sebuah kisah.

Pernah dibawa kepada nabi SAW seorang lelaki yang mabuk. Baginda mengarahkan lelaki itu dihukum (dengan pukulan ringan).

Ada sahabat yang memukulnya dengan tangan, selipar dan pakaian. Selepas lelaki (pendosa) itu berlalu pergi, ada seorang lelaki mencelanya.

“Apalah dia ni! Semoga Allah hina dia (atas kelakuan dosanya).”

Mendengar celaan itu, Nabi segera menegur yang bermaksud: “Jangan jadi pembantu syaitan merosakkan saudaramu (dengan celaan itu)!” (Sahih al-Bukhari, 6781).

Dalam riwayat lain Nabi SAW menambah pesanan yang bermaksud: “Sebaliknya doakan dia dengan doa Ya Allah Ampuni dia, Ya Allah Rahmati dia (Sunan Abu Dawud, 4478).

Dalam sebuah riwayat lain, Abu Darda r.a melewati sekumpulan lelaki yang sedang mencela seorang lelaki yang melakukan dosa. Abu Darda lantas bertanya:

“Jika dia jatuh dalam perigi, adakah kalian akan menyelamatkan dia keluar?”

Pihak yang mencela lantas berkata: “Ya! Pasti kami akan selamatkan dia!”

Abu Darda berpesan: “Jangan sesekali cela saudaramu ini. Sebaliknya berdoalah kepada Allah yang telah menyelamatkan kamu (daripada melakukan dosa sepertinya).”

Orang ramai bertanya: “Tidak bolehkah kami bencikan dia (kerana dosanya)?”

Abu Darda menjawab: “Aku benci kelakuan dosanya. Apabila dia meninggalkan dosanya, dia tetap saudaraku (Abu Dawud meriwayatkan kisah ini dalam Kitab al-Zuhd miliknya).

Akhirnya, fikir sebelum tular! Tular dengan ihsan atau belas kasihan.

Cermin apa yang mahu ditularkan itu pada diri sendiri, baru kita sedar adakah ia perlu ditularkan atau tidak.

Semoga Allah bimbing kita semua agar tidak terjebak dengan ombak media sosial yang sangat bahaya melebihi bahaya serbuan tsunami.-.-UTUSAN

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN