Azizan Paiman bukan nama asing dalam dunia seni kontemporari Malaysia. Sejak menceburi bidang seni pada 1992, beliau mempamerkan keupayaan luar biasa dalam melintasi sempadan medium, daripada arca dan seni konseptual sehinggalah ke fotografi seni halus.
Lebih 110 pameran solo dan berkumpulan yang disertainya, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, sekali gus menjadi antara figura penting yang menyumbang kepada perkembangan landskap seni visual negara.
Peralihan beliau ke dunia fotografi bukanlah kosong, sebaliknya hadir bersama pengalaman, rasa dan renungan yang panjang.
Karya-karya fotografinya pernah dipamerkan dalam acara berprestij Venice Biennale 2021, menampilkan siri potret tokoh kelahiran Perak yang dirakam dengan gaya sinikal tetapi sarat dengan makna sosial.

Pada September ini pula, satu pameran solo bertajuk Tanah Abang akan diadakan di Galeri Al-Biruni, UiTM Perak, sekali gus menandakan satu lagi langkah besar beliau dalam pengucapan visual menerusi lensa kamera.
Menurut Azizan, pengaruh besar dalam perkembangan fotografi seninya diinspirasikan daripada Ismail Hashim.
“Saya belajar daripadanya merakam kehidupan seharian rakyat secara sinikal tetapi halus. Ia mendorong saya melihat kamera bukan sekadar alat dokumentasi, tetapi sebagai alat tafsir sosial,” ujarnya.
Baginya, fotografi seni halus menuntut tiga elemen utama iaitu konsep, komposisi dan ruang.

Konsep menjadi titik mula yang membentuk isi, manakala komposisi membina bingkai naratif.
Ruang pula yang kadangkala bersifat sementara atau dipinjam, menjadikan fotografi sebagai bentuk pemasangan visual yang menghidupkan mesej secara kontekstual.
“Seorang jurufoto seni yang baik mesti sentiasa membawa kamera. Momen hadir tanpa dijangka dan naratif harus sentiasa bersedia untuk dirakam,” tambahnya.

Bagi Azizan, fotografi bukan sekadar rakaman, tetapi seni pengarahan naratif yang membina makna dan menyimpan memori, membimbing mata penonton memahami mesej di sebalik subjek.
Melalui karya provokatif yang menyentuh sejarah, sindiran politik dan memori peribadi, beliau kekal sebagai suara penting dalam wacana seni kontemporari Malaysia, membuktikan yang dari arca hingga ke lensa, seni adalah medan wacana dan bukan sekadar tontonan.










