Sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), saya menghadiri banyak mesyuarat, memberi pembentangan dan menjalankan latihan hampir setiap minggu.
Daripada pengalaman ini, saya menyedari komunikasi spontan yang jelas bukan sekadar menggunakan lisan, teks atau slaid sahaja.
Merujuk kepada The Learning Theory Pyramid, komunikasi menggunakan lisan dan audio visual hanya memberikan impak maksimum sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja.
Ia perlu menggabungkan visual sebagai pelengkap kepada komunikasi spontan tersebut.
Saya dapati apabila menggabungkan elemen visual lakaran dalam komunikasi visual spontan, penyampaian informasi atau idea menjadi lebih berkesan.
Dalam dunia pengurusan, salah komunikasi ialah musuh senyap yang menjejaskan keberkesanan organisasi.
Menurut laporan Society for Human Resource Management (SHRM), syarikat besar dengan 100,000 kakitangan kehilangan purata AS$62.4 juta setahun hanya disebabkan komunikasi yang tidak berkesan.
Malah, syarikat kecil dengan hanya 100 kakitangan juga boleh kehilangan sekitar AS$420,000 setahun.
Ini bukan angka kecil. Bayangkan berapa banyak masa, tenaga dan dana yang dibazirkan kerana mesej tidak sampai dengan jelas.
Pengalaman saya semasa bermesyuarat, apabila seseorang bercakap panjang lebar tanpa bantuan visual dan saya dapati sukar untuk orang yang hadir faham.
Saya tukar strategi, kami buat lakaran visual ringkas hasil perbincangan di atas kertas atau papan putih, barulah semua pihak benar-benar berada ‘di halaman yang sama’.
Malah, kami sering menemui maklumat atau isu yang tertinggal hanya selepas proses visualisasi ini berlaku. Lakaran visual grafik mudah dan ringkas menjadi penghubung titik-titik pemikiran.
Ia menjadikan sesuatu yang kompleks itu mudah difahami.
Lebih penting lagi, dalam situasi yang kompleks atau abstrak, komunikasi secara lisan sahaja sering kali gagal menyampaikan maksud sebenar.
Namun, sebaik sahaja saya atau pasukan mula melakar apa yang dibincangkan, semua pihak akan seolah-olah mengalami aha moment.
Segalanya menjadi jelas. Saya kini lebih suka jika pasukan saya melakar idea mereka terlebih dahulu, berbanding terus menerangkan secara verbal.
Perkara sama berlaku apabila memberi arahan. Arahan melalui teks sering disalah tafsir kerana bahasa itu sendiri bersifat subjektif.
Tetapi apabila disertakan lakaran ringkas atau rajah bersama teks, kefahaman meningkat secara mendadak.
Namun, cabaran utama hari ini ialah ramai yang masih menganggap lakaran atau lukisan hanya untuk seni.
Mereka risau tentang kualiti lukisan, takut dikritik kerana tidak cantik. Kita perlu ubah naratif ini.

Lukisan adalah bahasa komunikasi sejagat. Lihat sahaja bagaimana kita memahami sejarah manusia melalui lukisan gua, hieroglif Mesir dan simbol purba yang lain. Bahasa visual wujud sebelum bahasa lisan atau tulisan moden.
Saya teringat pengalaman dengan anak bongsu suatu ketika dahulu. Dia cuba secara lisan menerangkan laluan ke kelasnya untuk hari serahan kad laporan.
Selepas penjelasan lisan yang panjang, saya mengaku saya tidak faham.
Jadi saya minta dia lukiskan peta. Dia menolak, katanya lukisannya tidak cantik. Inilah kesannya apabila masyarakat melihat lukisan semata-mata sebagai seni, bukan alat komunikasi.
Anak-anak kita membesar dengan ketakutan untuk melakar hanya kerana bimbang dinilai.
Sejak 2018, saya mempelajari kemahiran Visual Communication Through Freehand (VCTF) atau komunikasi visual spontan dan mula menggunakannya secara aktif. Ia telah mengubah keberkesanan penyampaian informasi kepada organisasi yang saya pimpin dan kehidupa.
Saya dan organisasi dipimpin, Yayasan Wiba Prima percaya komunikasi visual spontan amat penting untuk pembangunan ummah.
Pelbagai inisiatif dijalankan bersama Dr. Ruzaimi Mat Rani dalam membudayakan komunikasi visual spontan kepada masyarakat.
Ramai pihak mendapat manfaat daripada inisiatif ini termasuk guru-guru, ibu bapa dan pelajar. Kami percaya kemahiran ini ialah asas untuk menyampaikan maklumat dengan berkesan dan membina generasi yang lebih yakin, kreatif dan berdaya saing.
Kita kini hidup dalam era digital, teknologi terbaru iaitu kecerdasan buatan (AI). Teknologi ini sangat membantu, tetapi kita mesti menjadi pencipta, bukan hanya pengguna.
Teknologi AI menjadi pelengkap kepada komunikasi visual spontan. Kita lakar atau lukis dahulu dan kemudian guna teknologi AI sebagai pengukur keberkesanan komunikasi visual spontan yang dihasilkan.
Visualisasi melalui lukisan tangan membolehkan kita mengekspresikan idea dari minda ke kertas dengan jelas dan pantas. Ini selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 9 (Inovasi) dan SDG 16 (Institusi Berkesan).
Dalam konteks kepemimpinan, saya teringat kata-kata John C. Maxwell: “A leader knows the way, goes the way, and shows the way.” Seorang pemimpin mesti mampu menyampaikan visi dan hala tuju dengan jelas kepada pasukannya.
Tanpa kemahiran komunikasi visual spontan, banyak idea besar akan terkubur kerana tidak difahami dengan tepat.
Malah dalam Al-Quran, Allah SWT menyatakan: “Dan berkatalah Musa: Wahai Tuhanku, terangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah urusanku, dan bukalah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku” (Surah Taha: 25–28).
Doa Nabi Musa AS ini menjadi pedoman kita tentang pentingnya menyampaikan mesej secara jelas agar difahami oleh orang lain.
Melalui buku kami Profit from Visuals yang dikarang bersama Dr. Ruzaimi Mat Rani dan Dr. Izham Abdul Ghani, kami menerangkan secara sistematik bagaimana kemahiran ini boleh dipelajari dan dipraktikkan oleh sesiapa sahaja sama ada guru, pelajar, pengurus projek atau CEO.
Buku ini disusun bukan sekadar teori, tetapi manual lengkap bagi yang mahu menguasai kemahiran Visualization Through Freehand (VTF) dan Visual Communication Through Freehand (VCTF).
Menyedari kepentingan komunikasi visual spontan kepada organisasi, saya sedia berkongsi pengalaman menggunakan komunikasi visual spontan di organisasi anda. Semoga usaha ini dapat membantu lebih banyak organisasi membudayakan komunikasi visual spontan dalam kalangan kakitangan mereka.
Usaha kita hari ini pastinya akan dapat membantu organisasi membina asas komunikasi efektif yang kukuh.
Sekiranya anda berminat untuk melanggan buku Profits From Visuals boleh rujuk link ini: https://my.shp.ee/44LqMfq
-Amirul Iskandar Mannan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wiba Prima










