SEMANGATNYA lumpuh, keyakinan diri hilang dan fikiran menjadi kosong apabila disahkan menghidap kanser payudara, lebih sedekad lalu.
Itulah detik paling sukar dalam hidup pengasas Klinik Cosmoglam, Dr. Siti Zubaidah Abdul Hakam, 37.
Ketika itu, dia masih menuntut di tahun keempat jurusan perubatan di Russia National Research Medical University, Moscow.
Di saat rakan-rakan lain sibuk mengejar cita-cita, anak jati Pulau Pinang ini pula bertarung dengan penyakit yang sering dikaitkan dengan kehilangan, ketakutan dan bayangan kematian.
Katanya, ketulan di payudara itu hanya disedari ketika mandi dan atas nasihat ibu bapa, dia segera pulang ke tanah air untuk pemeriksaan lanjut.
“Bersendirian di negara asing tentunya saya takut dengan situasi itu dan setibanya di Malaysia, keluarga sudah mengatur janji temu biopsi di Hospital Prince Court.
“Dua minggu kemudian, doktor mengesahkan yang ketulan itu adalah kanser dan saya perlu menjalani pembedahan lumpektomi di areola sahaja.
“Disusuli dengan pembedahan ketiga yang melibatkan pembuangan lebih besar merangkumi tiga perempat payudara sehingga ke bahagian aksila,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, doktor turut mengesan kewujudan nodus limfa dan membuangnya dalam pembedahan sama.
Selepas pembedahan itu, Siti Zubaidah menjalani sebanyak 42 kitaran radioterapi, jumlah itu berlipat kali ganda berbanding biasa.
Ia disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan untuk melakukan rawatan kemoterapi.
Katanya, kesan sampingan radioterapi menyebabkan dia menjadi lemah dan tidak mampu berjalan atau bercakap selepas selesai rawatan.
“Kadang-kala, ayah terpaksa dukung saya kerana terlalu letih, malah tiada tenaga untuk berbuat atau berfikir apa-apa.
“Pada masa itu, saya merahsiakan tentang penyakit ini daripada rakan sekelas dan hanya selepas empat tahun barulah saya berani berkongsi mengenainya,” katanya yang memiliki tujuh cawangan klinik di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
JAGA PEMAKANAN
Sejak kecil, Siti Zubaidah sudah terbiasa dengan gaya hidup sihat, hasil didikan ibunya yang merupakan seorang pakar pemakanan.
Maka, tidak hairanlah apabila dia tetap mengekalkan disiplin tinggi dalam menjaga pemakanan walaupun selepas disahkan menghidap kanser.
Selama lima tahun, dia hanya minum air masak, mengamalkan diet berasaskan sayur-sayuran dan buah-buahan serta langsung tidak mengambil daging merah atau ayam.
“Satu-satunya sumber protein haiwan yang diambil ialah ikan tetapi di Moscow, agak sukar untuk mendapatkan produk segar jadi saya terpaksa membeli yang sejuk beku,” katanya yang menamatkan pengajian pada 2014.
Kini, setelah lima tahun berpantang, barulah dia sesekali mengambil daging dalam kuantiti kecil.
Selain menjaga pemakanan, Siti Zubaidah juga aktif melakukan yoga, pilates dan menunggang kuda.
Walaupun kanser payudara sering dikaitkan dengan keturunan, hakikatnya, tiada seorang pun dalam keluarganya pernah menghidap penyakit itu.
“Kami sekeluarga sangat terkejut sebab saya didiagnosis dalam usia yang sangat muda, tetapi dalam kehidupan ini, apa-apa pun boleh terjadi.
“Selepas jatuh sakit, barulah saya sedar yang setiap individu mempunyai cabaran hidup tersendiri, sekali gus menjadikan saya lebih tenang serta berserah kepada Tuhan dan takdir-Nya,” katanya.
Sebagai pejuang kanser payudara, Siti Zubaidah tidak pernah lokek menyumbang kepada badan kebajikan dan yayasan yang memperjuangkan isu berkaitan kesihatan wanita.
Malah, setiap tahun sempena sambutan Pink October, dia aktif menganjurkan pelbagai program kesedaran bersama komuniti.
“Kebiasaannya, saya dijemput memberi ceramah dan berkongsi pengalaman tentang kepentingan pemeriksaan awal kanser payudara serta saringan kesihatan wanita yang lain.
“Sebagai tanda sokongan, saya juga menyediakan rawatan estetik percuma sepanjang bulan Oktober kepada mana-mana pesakit kanser payudara yang datang ke Cosmoglam,” katanya yang membuka klinik kecantikan itu ketika berusia 31 tahun.-UTUSAN










