Penyusuan susu ibu merupakan satu anugerah semula jadi yang mengandungi hikmah besar daripada aspek biologi, kesihatan, sosial dan keagamaan.
Lebih menarik, emosi si ibu juga mempengaruhi komposisi kandungan dan kesan susu ibu.
Ibu yang mengalami tekanan menghasilkan susu yang mengandungi hormon kortisol dalam kadar tinggi, yang terbukti boleh menjejaskan perkembangan emosi anak.
Sebaliknya, emosi ibu yang stabil dan positif menghasilkan susu yang menyumbang kepada pembinaan personaliti anak yang yakin, berani dan bijak bersosial.
Manfaat penyusuan eksklusif iaitu hanya susu ibu tanpa tambahan makanan atau minuman lain selama enam bulan pertama dibuktikan melalui pelbagai kajian.
Bayi yang disusui secara eksklusif didapati kurang berisiko terhadap jangkitan telinga, cirit-birit, masalah pernafasan, obesiti dan diabetes jenis 1 dan 2. Penyusuan juga menurunkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mendadak (SIDS).
Kebaikan penyusuan susu ibu memberi kesan hingga dewasa.
Satu kajian jangka panjang (longitudinal) di Brazil mendapati bayi yang menyusu lebih lama menunjukkan tahap IQ yang lebih tinggi, mempunyai pencapaian akademik lebih cemerlang dan seterusnya mempunyai kehidupan sosioekonomi yang lebih baik berbanding yang hanya disusui dalam tempoh singkat.
Manfaat bagi ibu pula, penyusuan membantu mengecutkan rahim, mengurangkan risiko pendarahan selepas bersalin serta mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari, diabetes jenis 2 dan kemurungan postpartum.
Hormon oksitosin yang dirembes ketika penyusuan juga meningkatkan kesejahteraan emosi ibu dan mengeratkan hubungan ibu dan anak.
Dalam kerangka maqasid syariah, penyusuan susu ibu sangat berkait rapat dengan dua objektif utama iaitu hifz al-nasl (memelihara keturunan) dan hifz al-nafs (memelihara jiwa).
Hifz al-nasl menekankan pemeliharaan generasi bukan hanya daripada aspek fizikal, tetapi juga pembangunan intelektual, emosi dan moral.
Penyusuan susu ibu merupakan asas pertama pembentukan anak yang sihat dan sejahtera.
Ia menyumbang kepada tumbesaran otak, ketahanan tubuh dan keseimbangan emosi yang bakal mempengaruhi kecemerlangan anak di masa hadapan.
Maka, usaha memberikan penyusuan susu ibu kepada anak ialah pelaburan yang paling awal dan paling asas dalam membina keturunan yang sihat tubuh badan dan sejahtera jiwanya.
Hifz al-nafs, pula berkait dengan penjagaan nyawa dan kesejahteraan individu.
Penyusuan bukan sahaja menyelamatkan bayi daripada penyakit dan kematian awal, tetapi juga menyelamatkan ibu daripada risiko kesihatan jangka panjang.
Ia adalah amalan pencegahan penyakit yang sangat ampuh, murah dan semula jadi, sejajar dengan prinsip Islam yang menggalakkan langkah-langkah pencegahan penyakit dan penjagaan kesihatan.
Al-Qur’an dalam Surah al-Baqarah ayat 233 menyebut: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun penuh, iaitu bagi orang yang ingin menyempurnakan penyusuan.”
Ayat ini bukan sahaja menjadi panduan tempoh penyusuan, tetapi juga menunjukkan penyusuan adalah hak anak yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa.
Sekiranya ibu tidak mampu, Islam membenarkan wanita lain menyusukan dan hubungan mahram akan terbentuk melalui susu.
KADAR PENYUSUAN EKSKLUSIF RENDAH
Walaupun manfaat penyusuan amat besar, realiti di Malaysia menunjukkan kadar penyusuan eksklusif masih rendah.
Menurut data, hanya 39.4 peratus ibu di Malaysia menyusukan anak sehingga dua tahun.
Antara faktor utama ialah kurang kesedaran, tekanan kerja dan kekurangan sokongan daripada pasangan dan majikan.
Di Malaysia, cuti bersalin hanya tiga bulan, sedangkan penyusuan eksklusif disarankan selama enam bulan. Ketidakseimbangan antara kerja dan keluarga menyebabkan ramai ibu terpaksa menghentikan penyusuan dan beralih kepada susu formula.
Dalam laporan indeks keseimbangan kerja-hidup 2024, Malaysia berada di tangga kedua tercorot antara 60 negara, menunjukkan tekanan hidup yang tinggi bagi ibu bekerja.
Kajian menunjukkan tekanan emosi ini turut menjejaskan kualiti susu ibu dan perkembangan anak, menjadikan penyusuan bukan sekadar isu kesihatan individu tetapi isu struktur masyarakat dan dasar negara.
PERANAN MASYARAKAT
Menjadi tanggungjawab masyarakat dan negara untuk menyokong penyusuan susu ibu. Ini termasuk menggalakkan penyusuan eksklusif selama enam bulan dan menyediakan kemudahan ruang menyusu dan masa rehat bagi ibu di tempat kerja.
Kempen kesedaran mengenai kelebihan penyusuan dan risiko susu formula juga perlu diadakan secara berterusan. Begitu juga kempen memperkasakan pengetahuan tentang keberkatan penyusuan susu ibu dalam kalangan para suami dan bapa bagi menjana sokongan moral dan material daripada mereka.
Penyusuan susu ibu bukan sahaja fitrah manusia dan anjuran kesihatan sejagat.
Ia adalah ibadah yang memenuhi tuntutan maqasid syariah dalam menjaga keturunan dan jiwa selain mengukuhkan kesihatan ibu dan anak dan seterusnya membina ketamadunan sebuah masyarakat.
Kita hakikatnya memupuk generasi masa hadapan yang lebih sihat, pintar dan berakhlak sebagai warisan terbaik untuk ummah dengan menyokong penyusuan susu ibu.-UTUSAN
Penulis adalah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










