Pickleball mula diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1965 oleh Joel Pritchard, Bill Bell dan Barney McCallum.
Menariknya, sukan ini tercipta secara tidak sengaja sebagai hiburan keluarga menggunakan raket ping pong dan bola plastik berlubang.
Kini, sukan pickleball semakin tular dalam kalangan anak muda, menjadikannya satu trend gaya hidup sihat yang kian digemari.
Dengan gabungan elemen tenis, badminton dan ping pong, sukan ini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Sekilas pandang, gelanggang pickleball kelihatan seperti gelanggang badminton, namun dengan saiz yang lebih kecil dan jaring yang dipasang lebih rendah.
Sukan ini sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap kemahiran dengan peralatan yang ringkas serta peraturan yang mudah difahami.
Pemukulnya diperbuat daripada kayu atau bahan komposit, dengan pemegang yang kecil tetapi saiz permukaannya dua hingga tiga kali lebih besar daripada raket pingpong.
Manakala, bolanya pula ringan dan diperbuat daripada plastik berlubang, menjadikannya mudah dikawal semasa permainan.
Cara bermain sukan ini melibatkan penggunaan pemukul, di mana setiap pemain saling memukul bola plastik berlubang merentasi jaring.
Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman bermain pickleball ketika singgah di gelanggang Pickleboo, Kajang, baru-baru ini.
Dengan 10 gelanggang tertutup, tempat ini menyediakan kemudahan lengkap yang memenuhi keperluan pemain dari semua peringkat, menawarkan ruang ideal untuk permainan santai mahupun perlawanan kompetitif.
CARA BERMAIN DAN PERATURAN
Pickleball boleh dimainkan secara perseorangan (satu lawan satu) atau beregu (dua lawan dua) menjadikannya pilihan fleksibel sama ada pengunjung ingin bermain bersama rakan atau sekadar bersaing secara santai.
Permainan dimulakan dengan servis bawah tangan, di mana bola dipukul secara serong ke petak lawan yang bertentangan.
Lebih istimewa, terdapat satu peraturan unik yang dikenali sebagai double bounce rule. Selepas servis, bola harus melantun sekali di gelanggang lawan sebelum dipukul balas.
Seterusnya, pihak yang melakukan servis pula perlu membiarkan bola melantun sekali lagi sebelum memukulnya semula.
Hanya selepas kedua-dua lantunan ini, barulah pemain bebas untuk memukul bola sama ada sebelum atau selepas ia melantun di gelanggang.
Tambahan, permainan ini juga mempunyai zon larangan volley atau lebih dikenali sebagai kitchen.
Zon ini terletak berhampiran jaring dan pemain tidak dibenarkan memukul bola sebelum ia melantun jika mereka berada di dalam kawasan ini.
Menariknya, hanya pihak yang melakukan servis boleh mengutip mata. Jika penerima servis memenangi rally atau berbalas pukulan, mereka tidak mendapat mata tetapi akan mengambil giliran untuk servis.
Permainan ini biasanya dimainkan hingga 11 mata dan untuk menang, setiap pemain perlu ada perbezaan dua mata daripada pihak lawan.
SERONOK
Pada mulanya, saya agak ragu-ragu untuk mencuba sukan ini kerana tidak pernah mempunyai pengalaman untuk bermainnya sebelum ini.
Namun, selepas beberapa pusingan permainan, saya mula merasai keseronokan dan kepuasan yang tidak dijangkakan.
Setiap pergerakan dan strategi yang diterapkan memberikan kepuasan tersendiri, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna dan menyeronokkan.
Sukan ini bukan sahaja membantu saya untuk membakar kalori dan meningkatkan stamina, tetapi juga mengurangkan tekanan saya.
Bermain pickleball juga membuka peluang untuk saya berinteraksi dengan orang baharu dan membina komuniti yang positif.
Selepas beberapa sesi, saya amat mengesyorkan sukan ini kepada sesiapa yang ingin mencari aktiviti sihat dan menyeronokkan.-UTUSAN










