KUALA LUMPUR: Demi menjiwai watak utama sepenuhnya, pelakon, Meerqeen mengambil inisiatif berguru dengan Ellie Suriaty sehari sebelum penggambaran drama bersiri Thariq Ridzuwan: His Treasure bermula.
Meerqeen atau nama lengkapnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam berkata pertemuan itu banyak membantunya mengupas latar belakang dan jiwa karakter watak tersebut secara lebih mendalam.
“Saya pergi jumpa Kak Ellie Suriaty sehari sebelum penggambaran bermula sebab saya mahu betul-betul kenal siapa Thariq sebenarnya.
“Saya nak tahu dia macam mana, siapa datuk dia, moyang dia. Kami duduk dan kupas watak tu seharian,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Home Of Drama di sini, baru-baru ini.
Meerqeen menyifatkan Ellie bukan sahaja sebagai mentor, malah individu yang banyak memberinya semangat dan kata-kata motivasi sepanjang penglibatan dalam dunia lakonan.
“Banyak kali sudah saya jumpa Kak Ellie sebelum ini. Dia pun antara sahabat baik saya. Dia banyak beri pengajaran, kata-kata semangat sepanjang saya berlakon.
“Setiap kali saya terlibat dalam drama, dia akan balas story Instagram saya dan cakap ‘saya bangga dengan awak’, itulah Ellie Suriaty,” tambahnya.
Berkongsi mengenai drama bersiri itu, Meerqeen memainkan watak utama dalam karya adaptasi novel tulisan Huda Najwa iaitu sebagai Leftenan Thariq Ridzuwan.
Meskipun berdepan kritikan netizen yang berpendapat watak utama itu tidak sesuai dengannya, Meerqeen tidak ambil hati dengan kecaman tersebut, sebaliknya yakin dengan kemampuan dirinya.
“Jujur saya tak tercabar pun bila ada yang persoalkan kenapa saya dipilih. Lagipun saya dibayar untuk berlakon dalam drama ini, jadi kenapa perlu saya terguris hati dengan komen mereka.
Saya pun tak baca komen atau ambil tahu apa yang orang nak katakan mengenai saya. Sebaliknya saya merasa lebih teruja nak buktikan saya mampu bawa watak Thariq Ridzuwan dengan baik,” katanya.
Drama bersiri arahan Eyra Rahman ini akan mula ditayangkan bermula 23 Julai ini di saluran Astro Ria setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam. – UTUSAN