Makin ramai pelajar ambil pil cegah hamil

Makin ramai pelajar ambil pil cegah hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Belikan untuk kawan. Belikan untuk ahli keluarga.”

Itulah antara ayat-ayat yang sering didengar oleh Nor Hidayah Mohd. Tahir, seorang ahli farmasi berdaftar setiap kali berdepan dengan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang membeli pil pencegah kehamilan atau morning after pill.

Nor Hidayah yang mengusahakan farmasi, Pharmacare Pharmacy di Melaka bukan sahaja menjadi tempat rujukan kesihatan dan ubat-ubatan, malah saksi kepada pelbagai kisah kehidupan yang tidak semua orang nampak.

Berkongsi pengalamannya yang lebih 15 tahun dalam bidang tersebut, dia bimbang melihat trend yang semakin menunjukkan peningkatan ini.

Di awal penglibatannya dalam perniagaan farmasi komuniti, bilangan pelajar yang datang mendapatkan ubat ini tidaklah begitu ketara. Namun, semakin tahun berlalu, semakin ramai yang berani dan tidak segan silu membeli pil tersebut.

“Daripada pemerhatian saya sejak memulakan perniagaan, memang tidak dinafikan pola pembelian pil kecemasan atau morning after pill ini menunjukkan peningkatan.

“Perkara ini sangat membimbangkan terutama dalam kalangan pelajar. Sepatutnya pil ini digunakan untuk mengelak kehamilan tidak dirancang seperti kes rogol atau pun sebagai pil kecemasan bagi wanita berkahwin yang tertinggal dos pil perancang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun hakikatnya, ramai dalam kalangan remaja ketika ini menjadikannya sebagai satu bentuk perlindungan ‘biasa’ selepas melakukan hubungan seks tanpa perlindungan.

Malah, ada juga yang secara terang-terangan bertanya jika farmasi menjual pil untuk menggugurkan kandungan sedangkan ia sesuatu yang jelas menyalahi undang-undang dan etika perubatan.

Ada juga yang bertanya secara terperinci tentang fungsi, dos dan kesan sampingan pil.

Sebagai ahli farmasi, Nor Hidayah tetap menjalankan tanggungjawab memberi maklumat dan merekod setiap jualan.

Namun, dalam hatinya terbit kegusaran kerana bimbang anak-anak muda membuat keputusan dalam keadaan tidak cukup ilmu, tidak cukup perlindungan dan paling menakutkan tidak cukup sokongan emosi.

Kesan terhadap hormon, penyakit seksual

Menurut Nor Hidayah, pengambilan berulang boleh memberi kesan kepada hormon dan kitaran haid.

Simptom seperti sakit kepala, loya, pendarahan luar waktu dan ketidakseimbangan emosi sering berlaku.

Selain itu, penyalahgunaan ubat ini boleh menjurus kepada tekanan emosi, rasa bersalah berpanjangan dan trauma, terutama bagi individu yang sebenarnya belum bersedia dari segi mental dan psikologi.

“Kebimbangan utama saya adalah penyalahgunaan ubat yang sepatutnya digunakan dalam kecemasan, tetapi diambil secara berulang untuk hubungan seksual tanpa perlindungan.

“Ini bukan sahaja beri kesan kepada kesihatan hormon wanita, malah meningkatkan risiko kepada jangkitan penyakit melalui seksual (STD) termasuk HIV dan keruntuhan moral jika disalah guna secara berterusan,” katanya.

Tambahnya, penyalahgunaan ubat itu juga boleh menjadi antara punca kepada pertukaran pola faktor jangkitan HIV.

Pada fasa awal, statistik HIV di negara ini menunjukkan faktor utama jangkitan adalah disebabkan penggunaan dadah suntikan oleh penagih (PWID) yang menyumbang sekitar 70 hingga 80 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan setiap tahun.

Namun, sejak 2011, trend itu berubah kepada penularan melalui hubungan seksual.

Selain itu, kata Nor Hidayah, ramai yang tidak jelas tentang perlindungan seksual yang selamat atau hanya tahu pil ini sebagai ‘penyelamat terakhir’.

“Laporan The Global AIDS Monitoring Report 2024 mendedahkan, satu tinjauan yang dijalankan dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 hingga 24 tahun menunjukkan hanya 11 peratus daripada responden mempunyai pemahaman betul tentang kaedah pencegahan penularan HIV secara seksual dan keupayaan untuk menolak salah faham utama mengenai cara ia merebak.

“Ini menunjukkan perlunya inisiatif pendidikan seksual yang lebih khusus terutama daripada sudut tanggungjawab dan keselamatan, bukan sekadar pengetahuan teknikal dalam kalangan remaja,” ujarnya.

 

 


Tekanan, jurang pendidikan seksual jadi punca

KEBANYAKAN remaja berusia antara 18 hingga sekitar 25 tahun, sedang mencari arah, identiti dan erti kasih sayang.

Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Sabihah Johan berkata, usia ini biasanya mencari penghargaan, peneguhan emosi dan rasa disayangi, sama ada oleh keluarga, rakan sebaya atau pasangan.

Namun, apabila pencarian itu tidak bertemu dengan bimbingan yang betul, ramai yang terjerumus ke arah hubungan seksual luar nikah.

Ini bukan semata-mata isu moral, tetapi ia adalah krisis sosial yang sedang membarah secara senyap.

Ramai remaja dan pelajar di IPT mengambil keputusan untuk menggunakan pil kecemasan selepas melakukan hubungan seksual. Sayangnya, penggunaan ini sering dilakukan dalam keadaan terdesak dan tanpa pengetahuan tepat.

Mereka tidak tahu masa sesuai untuk digunakan, kekerapan pengambilan dan kesan kepada tubuh dalam jangka panjang.

Ramai hanya bertindak untuk mencegah sesuatu yang telah berlaku, dengan harapan segalanya kembali seperti sediakala. Tetapi realitinya, tidak semudah itu.
“Penggunaan pil kecemasan ini mendedahkan satu jurang besar dalam pendidikan reproduktif dan seksual.

“Remaja tahu tentang kewujudan pil ini, tetapi tidak tahu cara menggunakannya dengan selamat. Malah, ramai tidak tahu bezakan antara pil kecemasan dengan pil perancang biasa. Mereka tidak diajar tentang kesihatan seksual dengan cara yang terbuka dan profesional,” katanya.

Tekanan daripada rakan sebaya juga memainkan peranan besar. Dalam kalangan remaja yang aktif bersosial, ada budaya pergaulan terbuka yang normalisasi seks luar nikah sebagai satu cara ekspresi diri atau bukti cinta.

Dalam keadaan tekanan, ditambah pula dengan dorongan emosi dan keinginan untuk diterima dalam kumpulan, ramai yang akhirnya menyerah kepada arus.

Mereka tidak lagi menilai antara baik atau buruk, tetapi hanya mahu mengikut apa yang semua orang buat.

Bagi remaja yang datang daripada keluarga bermasalah, hubungan luar nikah adalah refleksi kepada luka yang lebih dalam.

Menurut Sabihah, dalam sesi-sesi kaunseling bersama remaja yang ditempatkan di pusat pemulihan akhlak dan penjara, kebanyakan berasal daripada keluarga tidak stabil.

Ketiadaan bapa, ibu yang terlalu sibuk, kurang perhatian atau ibu bapa sering bertengkar menyumbang kepada kehancuran sistem sokongan utama dalam hidup mereka.

Dalam keadaan ini, remaja mencari kasih sayang di luar rumah dan seringkali yang mereka jumpa ialah hubungan tidak sihat.

“Berdasarkan pengalaman saya, remaja daripada broken family selalunya lebih cenderung memilih tingkah laku delinkuen termasuklah seks luar nikah.

“Keruntuhan institusi kekeluargaan membawa kepada keruntuhan akhlak remaja,” ujarnya.

Kesan daripada hubungan luar nikah bukan sekadar fizikal. Remaja perempuan yang pernah melakukan hubungan intim, walaupun tidak hamil tetap mengalami kecederaan dari sudut emosi dan mental.

Mereka mula rasa bersalah, tertekan, keliru dengan identiti diri dan ada juga yang mula melihat diri sendiri sebagai tidak berguna.

Dalam konteks psikologi, mereka mula menunjukkan gejala kemurungan, hilang motivasi, mudah marah dan sukar mengawal emosi.

Ini turut memberi kesan langsung kepada prestasi akademik mereka. Tanggungjawab sebagai pelajar semakin diabaikan, kerana minda dan emosi tidak lagi berfungsi dengan sepenuhnya.

Akhirnya, mereka berhenti belajar kerana tidak mampu berdepan dengan stigma dan tekanan dalaman.

Paling membimbangkan kini ialah peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar IPT.

“Dalam satu kes yang dirujuk oleh seorang pelajar kepada kaunselor, pelajar terbabit disahkan positif HIV. Dia dijangkiti akibat seks bebas yang dilakukan selama tiga tahun sebelumnya,” kongsinya.

Ini membuktikan kesan hubungan bebas bukan sesuatu yang serta-merta, tetapi boleh muncul bertahun-tahun kemudian dalam bentuk yang lebih berbahaya dan merosakkan.

Sebanyak 1,091 pelajar IPT direkodkan menghidap HIV antara 2020 hingga 2024 dengan 222 kes baharu tahun lalu, majoritinya berumur hanya 18 hingga 19 tahun.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN