Kerap kencing salah satu gejala awal kanser serviks

Kerap kencing salah satu gejala awal kanser serviks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan ketara dalam jumlah wanita muda yang didiagnosis kanser serviks.

Jika dahulu kanser ini lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia antara akhir 30-an hingga 60-an, kini doktor mendapati pesakit semuda 35 tahun juga terlibat.

Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan kerana menunjukkan perubahan dalam pola penyakit yang dulunya lebih sinonim dengan usia yang lebih lanjut.

Punca utama kanser serviks adalah jangkitan virus Human Papillomavirus atau HPV, khususnya jenis 16 dan 18, yang dikenali sebagai strain berisiko tinggi.

Virus ini tersebar melalui hubungan seksual dan boleh kekal dalam tubuh individu selama bertahun-tahun sebelum menunjukkan sebarang simptom.

Selain daripada jangkitan HPV, beberapa faktor lain turut menyumbang kepada risiko kanser serviks, termasuk amalan merokok, faktor genetik, gaya hidup tidak sihat, tekanan berlebihan dan amalan seksual yang tidak selamat.

Lebih membimbangkan, ramai wanita tidak menyedari mereka sedang mengalami simptom awal kanser serviks.

Ini kerana tanda-tanda awal sering kali dianggap biasa atau tidak berkaitan dengan penyakit serius.

Pakar Onkologi Klinikal OncoCare Cancer Centre Malaysia, Dr. Nur Adila Mokhtar berkata, salah satu simptom yang paling kerap berlaku tetapi sering disalah anggap ialah pendarahan luar biasa.

Ini termasuk pendarahan selepas melakukan hubungan intim, pendarahan di antara kitaran haid atau haid yang lebih panjang dan lebih banyak daripada kebiasaan.

Ramai wanita menganggap keadaan ini sebagai gangguan hormon semata-mata dan tidak merujuk kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut.

“Selain itu, rasa sakit di bahagian pinggul atau pelvis turut menjadi antara gejala awal yang mudah diabaikan.

“Sesetengah wanita mungkin juga mengalami kencing yang kerap atau rasa sakit semasa membuang air kecil, yang sering kali disalah anggap sebagai jangkitan saluran kencing biasa,” katanya.

Keputihan yang luar biasa daripada segi warna, bau atau kuantiti juga boleh menjadi petanda awal kepada masalah yang lebih serius, namun kebanyakan wanita menganggapnya sebagai perkara normal yang tidak memerlukan rawatan.

STIGMA LAMBATKAN RAWATAN

Stigma sosial berkaitan penyakit yang melibatkan organ reproduktif wanita menjadi penghalang utama ramai pesakit lewat mendapatkan rawatan.

Ramai wanita berasa malu atau segan untuk berjumpa doktor apabila mengalami simptom berkaitan seksualiti.

Tambahan pula, kurang kesedaran mengenai tanda-tanda awal kanser serviks serta akses yang terhad kepada maklumat kesihatan menyebabkan ramai yang tidak menyedari risiko sebenar yang dihadapi.

“Jadi, ini menyebabkan mereka lambat mendapatkan rawatan dan bantuan. Jika kanser dikesan daripada peringkat awal, peluang untuk kembali sembuh adalah sekitar 80 hingga 90 peratus.

“Pengesanan awal memainkan peranan penting meningkatkan peluang untuk pulih sepenuhnya daripada kanser serviks,” katanya.

Oleh itu, vaksinasi HPV merupakan langkah pencegahan yang sangat berkesan. Di beberapa negara, kadar kanser serviks telah menurun dengan ketara selepas pelaksanaan program vaksinasi yang meluas dalam kalangan remaja perempuan.

Di Malaysia, walaupun vaksin ini telah mula diberikan di sekolah-sekolah, kesedaran mengenainya masih belum menyeluruh. Ramai wanita muda tidak tahu vaksin boleh didapati di hospital swasta, malah turut ditawarkan melalui program kesihatan kerajaan.

Vaksin HPV biasanya diberikan dalam tiga dos bagi tempoh enam bulan dan terbukti berkesan mencegah jangkitan yang boleh membawa kepada kanser.

Di samping itu, pemeriksaan saringan seperti ujian Pap smear dan ujian HPV DNA sangat digalakkan untuk wanita yang telah memulakan aktiviti seksual, bagi mengesan sebarang perubahan awal pada sel-sel serviks.

Dengan kemajuan teknologi rawatan, peluang untuk sembuh daripada kanser serviks kini jauh lebih tinggi berbanding dahulu, terutamanya jika penyakit ini dikesan pada peringkat awal.

“Rawatan seperti kemoterapi, radioterapi yang lebih tepat serta penggunaan ubat-ubatan baharu seperti imunoterapi dan terapi sasaran, membolehkan pesakit menjalani rawatan yang lebih berkesan dengan kesan sampingan yang lebih minimum.

“Bagi kanser yang masih berada dalam peringkat satu hingga tiga, peluang untuk sembuh adalah sangat tinggi, manakala bagi peringkat empat, fokus rawatan lebih kepada mengawal penyakit dan memperbaiki kualiti hidup,” katanya.

KAITAN GAYA HIDUP

Selain daripada pengesanan awal dan vaksinasi, gaya hidup harian turut memainkan peranan penting dalam pencegahan kanser serviks.

Wanita perlu sedar pilihan dalam kehidupan seharian, termasuk pemakanan, senaman, amalan seksual dan pengurusan tekanan, semuanya berkait rapat dengan risiko penyakit ini.

Salah satu langkah paling asas tetapi sangat berkesan ialah berhenti merokok.

Kajian menunjukkan wanita yang merokok mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk mendapat kanser serviks berbanding yang tidak merokok.

Ini kerana bahan kimia dalam rokok boleh melemahkan sistem imun dan menyebabkan perubahan sel pada serviks, sekaligus meningkatkan risiko jangkitan HPV berkembang menjadi kanser.

Pemakanan yang sihat juga tidak boleh dipandang ringan.

Walaupun tiada makanan khusus yang secara langsung menyebabkan atau mencegah kanser serviks, pengambilan diet yang seimbang dan kaya dengan nutrien mampu membantu tubuh melawan jangkitan serta menjaga kesihatan sel-sel dalam badan.

Makanan yang kaya dengan antioksidan seperti buah-buahan, sayur-sayuran hijau, tomato, brokoli dan makanan tinggi vitamin C dan E boleh membantu menguatkan sistem imun.

Begitu juga dengan makanan yang mengandungi folat dan beta-karotena yang terbukti dapat menyokong kesihatan sel reproduktif wanita.

Di samping itu, mengawal berat badan dan mengekalkan indeks jisim tubuh (BMI) yang sihat mampu mengurangkan risiko kanser serviks.

Obesiti bukan sahaja dikaitkan dengan risiko beberapa jenis kanser lain, seperti kanser payudara dan usus, malah ia juga boleh melemahkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan.

Wanita yang mengalami obesiti berisiko mengalami ketidakseimbangan hormon yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan rahim dan serviks.

Selain itu, aktiviti fizikal secara berkala merupakan komponen penting dalam gaya hidup sihat.

Wanita disarankan melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti aerobik sederhana setiap minggu, seperti berjalan cepat, berbasikal, berenang atau bersenam ringan.

Senaman bukan sahaja membantu mengekalkan berat badan yang sihat, tetapi juga meningkatkan sistem imun dan mengurangkan tekanan, yang semuanya memberi kesan positif terhadap kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Selain aspek fizikal, amalan pengurusan tekanan yang baik juga sangat penting.

Tekanan yang kronik boleh melemahkan sistem imun dan mengganggu fungsi hormon, yang seterusnya mempengaruhi kesihatan reproduktif.

Kaedah seperti meditasi, yoga, bernafas dalam-dalam, bersenam dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga boleh membantu menurunkan tahap tekanan dalam kehidupan seharian.

Daripada segi amalan seksual, wanita digalakkan mengamalkan hubungan seksual yang selamat termasuklah penggunaan kondom, mengelakkan hubungan seksual dengan ramai pasangan serta memahami dan mengurangkan pendedahan kepada risiko jangkitan kelamin.

Ramai tidak sedar seseorang boleh dijangkiti HPV walaupun hanya daripada satu pasangan seksual, terutamanya jika pasangan tersebut pernah mempunyai sejarah seksual yang meluas.

“Satu lagi langkah penting dalam penjagaan kesihatan wanita ialah dengan menghadiri pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Pemeriksaan seperti ujian pap smear dan ujian HPV DNA bukan sahaja dapat mengesan tanda awal kanser serviks, tetapi turut membantu mengenal pasti perubahan pada sel serviks sebelum ia menjadi kanser,” ujarnya.

Pemeriksaan ini tidak menyakitkan, cepat dan sangat berbaloi untuk kesihatan jangka panjang. Wanita yang telah memulakan hubungan seksual disarankan untuk melakukan Pap smear sekurang-kurangnya setiap tiga tahun atau mengikut saranan doktor.

Selain itu, dapatkan maklumat kesihatan daripada sumber yang sahih.

Dalam dunia hari ini yang penuh dengan maklumat, tidak semua informasi yang tersebar di media sosial atau internet adalah tepat. Mendapatkan pendidikan kesihatan daripada doktor, jururawat atau organisasi kesihatan yang diiktiraf boleh membantu wanita membuat keputusan yang lebih baik mengenai kesihatan mereka.

Ibu bapa perlu mula mendidik anak-anak perempuan tentang pentingnya menjaga kesihatan reproduktif sejak awal.

Memberikan mereka vaksin HPV pada usia remaja, sebelum mereka memulakan sebarang aktiviti seksual merupakan langkah pencegahan yang sangat bijak dan proaktif.

Didikan tentang nilai menjaga kesihatan, memahami tubuh badan sendiri dan berani untuk menjalani pemeriksaan kesihatan boleh membentuk generasi wanita yang lebih sihat dan peka terhadap diri sendiri.

Peranan masyarakat juga tidak boleh diketepikan. Usaha meningkatkan kesedaran tentang kanser serviks memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, majikan, pihak berkuasa kesihatan dan media.

Kempen kesedaran secara berterusan perlu disebarkan bukan hanya kepada wanita, tetapi juga lelaki kerana kesedaran dan sokongan daripada pasangan, keluarga dan rakan terdekat sangat penting dalam perjalanan seorang wanita untuk menjaga kesihatannya.

Sebagai kesimpulan, mencegah kanser serviks bukanlah sesuatu yang mustahil. Dengan pengambilan vaksin HPV, amalan gaya hidup sihat, pemeriksaan berkala dan kesedaran yang tinggi, wanita boleh melindungi diri mereka daripada penyakit ini. Kanser serviks adalah antara jenis kanser yang paling boleh dicegah dan dirawat jika dikesan awal. Namun, ia memerlukan tindakan yang proaktif bukan hanya dari individu itu sendiri, tetapi juga daripada masyarakat sekeliling yang memberi sokongan.

Tiada satu tindakan tunggal yang boleh menjamin perlindungan mutlak daripada kanser serviks.

Namun, gabungan langkah-langkah kecil dalam kehidupan seharian, seperti pemakanan sihat, senaman, pengurusan stres, amalan seksual yang selamat dan pemeriksaan kesihatan berkala, boleh membawa perubahan besar dalam risiko dan hasil kesihatan jangka panjang wanita.

Kesihatan adalah aset paling berharga yang dimiliki oleh seorang wanita, maka jagalah ia dengan penuh kesedaran, ilmu dan kasih sayang terhadap diri sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN