Kaedah jimat belanja dapur

Kaedah jimat belanja dapur

peranan ibu, isteri atau suri rumah bukan hanya mengendalikan urusan rumah tangga tetapi juga menguruskan perbelanjaan dapur dengan cekap. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar hari ini, suri rumah atau ibu-ibu memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan kewangan keluarga.

Antara tanggungjawab utama yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan perbelanjaan dapur.

Walaupun kelihatan seperti satu rutin biasa, hakikatnya cara merancang, membeli dan menggunakan bahan dapur memberi kesan besar kepada kestabilan kewangan isi rumah.

Perancang Kewangan, Afyan Mat Rawi berkata, langkah paling asas yang perlu diambil ialah mengenal pasti jumlah pendapatan isi rumah dan menetapkan bajet khusus untuk perbelanjaan dapur setiap bulan.

Mengetahui dengan jelas berapa yang boleh dibelanjakan akan membantu mengelakkan pembaziran.

“Suri rumah atau ibu-ibu juga perlu mula mencatat setiap perbelanjaan walaupun sekecil beli garam atau bawang supaya tahu ke mana duit mengalir.

“Boleh catat gunakan aplikasi seperti Money Manager atau dalam e-dompet. Tidak semestinya kena catat secara manual,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Secara umum, antara 15 peratus hingga 10 peratus daripada jumlah pendapatan boleh diperuntukkan untuk perbelanjaan makanan termasuk barang dapur.

Jika pendapatan RM3000 sebulan, anggaran yang munasabah untuk dapur adalah antara RM450 hingga RM600 sebulan bergantung kepada bilangan ahli keluarga dan tabiat makan.

AFYAN MAT RAWI

RANCANG MENU MINGGUAN

Rancang menu mingguan bagi memastikan bajet dapur tidak melebihi had.

Menu yang dirancang berdasarkan stok sedia ada bukan sahaja menjimatkan masa, malah dapat mengelakkan pembelian bahan yang tidak diperlukan.

Ada suri rumah moden yang memasak dalam kuantiti besar setiap hujung minggu dan menyimpan lauk-pauk dalam peti sejuk beku.

Konsep ini boleh dikatakan seperti frozen food DIY yang sangat praktikal terutamanya bagi wanita bekerjaya kerana pada hari bekerja hanya perlu memasak nasi dan memanaskan lauk yang telah tersedia.

Dalam membuat pembelian, penting untuk membezakan antara keperluan dan kehendak.

Barang keperluan seperti beras, minyak, telur dan bawang wajib ada untuk kelangsungan hidup.

Manakala, makanan ringan, minuman manis atau produk tular sering kali hanya dibeli kerana keinginan semata-mata.

Wanita yang bijak akan bertanya pada diri sama ada sesuatu barang itu benar-benar diperlukan atau hanya sekadar memenuhi keinginan sesaat.

“Kebijaksanaan juga perlu dalam menentukan waktu dan jenis pembelian.

“Barang tahan lama seperti beras, tepung dan rempah boleh dibeli sebulan sekali, manakala barangan mudah rosak seperti sayur-sayuran, ayam dan ikan lebih baik dibeli secara mingguan,” katanya.

Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan pengurusan dapur, malah mengurangkan risiko pembaziran makanan.

 

MANFAATKAN TEKNOLOGI

Peranan aplikasi kewangan atau expense tracker juga semakin penting dalam dunia digital hari ini.

Aplikasi seperti Money Manager atau MAE mampu mencatat setiap transaksi dan memberikan gambaran jelas tentang corak perbelanjaan.

Ia juga membantu memberi amaran jika perbelanjaan hampir melebihi bajet yang telah ditetapkan.

Namun begitu, penggunaan teknologi juga ada sisi negatif jika tidak disertai disiplin.

Misalnya, e-dompet yang menawarkan pelbagai promosi kadangkala boleh menyebabkan pengguna berbelanja lebih daripada yang dirancang.

Maka, setiap pembelian perlu dibuat secara sedar dan tidak terpengaruh dengan iklan atau promosi yang menggoda.

“Salah satu teknik yang boleh diamalkan ialah menunggu 24 jam sebelum membuat sebarang pembelian besar. Ini memberi masa untuk mempertimbang keperluan sebenar dan mengelakkan keputusan impulsif.

“Digalakkan tambah ilmu-ilmu kewangan contohnya melalui buku Wanita Bijak Mengurus Wang,” katanya.

Akhir sekali, disiplin diri adalah kunci utama dalam pengurusan kewangan dapur.

Gunakan sistem bajet mingguan, contohnya jika bajet bulanan ialah RM800, pecahkan kepada RM200 seminggu dan patuhi had itu.

Ini memudahkan kawalan dan mengelakkan perbelanjaan berlebihan pada awal bulan.

Kesimpulannya, menjadi suri rumah atau isteri bukan sekadar tentang memasak atau mengurus rumah tangga.

Ia tentang kebijaksanaan mengatur kehidupan seisi keluarga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN